Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali tidak akan mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang sekiranya Putrajaya masih berdegil mahu mansuhkan Akta Hasutan.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali tidak akan mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang sekiranya Putrajaya masih berdegil mahu mansuhkan Akta Hasutan.
Datuk Ibrahim Ali hari ini mengumumkan tidak akan lagi mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang sekiranya Putrajaya masih berdegil mahu mansuhkan Akta Hasutan.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) itu berkata tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tersebut kerana menyifatkan pendirian kerajaan itu akan menyebabkan parti Umno-BN sama dengan parti pembangkang.
"Saya secara peribadi tidak akan mengundi Umno-BN meskipun saya hanya ada satu undi dan ia tidak begitu penting.
"Buat apa saya hendak mengundi Umno-BN kalau mereka sama seperti pembangkang. Semua hendak dimansuhkan, jadi apa gunanya?" katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Bercakap ketika mengumumkan kempen 'Kekalkan Akta Hasutan' yang dilancarkan Barisan Perpaduan Nasional, Ibrahim berkata Akta Hasutan sepatutnya dilihat sebagai isu keselamatan negara yang bukan hanya melindungi Melayu, tetapi semua kaum.
"Akta ini merupakan isu keselamatan negara, keselamatan bukan hanya bagi orang Melayu tetapi juga bagi Cina dan India," katanya.
Kempen tersebut merupakan tindak balas kepada beberapa suara menyeru akta tersebut dimansuhkan seperti Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) oleh 112 pertubuhan bukan kerajaan, kempen Mansuh Akta Hasutan oleh PKR dan satu lagi kempen serupa oleh Majlis Peguam.
Ibrahim berkata sekiranya akta tersebut dimansuhkan, ia pasti akan menjejaskan keharmonian hubungan antara kaum di negara ini dan tidak mustahil tragedi 13 Mei akan berulang.
Beliau berkata kempen kekalkan Akta Hasutan yang bakal dilancarkan pada 18 Ogos ini turut melibatkan pengumpulan tandatangan rakyat Malaysia yang menyokong akta tersebut dan akan dijadikan sebagai memorandum untuk dihantar kepada kerajaan.
Katanya, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, beberapa bekas hakim negara dan bekas ketua polis negara dijangka hadir pada hari pelancaran tersebut.
"Kita akan kumpulkan tandatangan untuk kenalpasti jumlah rakyat Malaysia yang mahukan akta ini dikekalkan, kita tidak main-main kerana itu kita mahu angka tersebut," katanya.
Presiden Perkasa itu juga berkata selain mengumpul tandatangan, memorandum tersebut juga akan mengusulkan penambahbaikan Akta Hasutan dengan meminda perlindungan berkaitan agama Islam.
"Akta Hasutan 1948 perlu diperbaiki dengan memasukkan Perkara 3 dan 11 (agama Islam) ke dalam Seksyen 3(1) supaya tidak ada pihak berani mencabar dan menghina kesucian agama Islam sebagai agama Persekutuan," katanya.
Beliau juga menyeru rakyat tidak keliru dengan Akta Keharmonian Nasional dan Akta Hasutan kerana ia merupakan dua akta berbeza.
"Akta Hasutan 1948 adalah berkenaan dengan Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Keharmonian yang dicadangkan itu berkaitan dengan perpaduan rakyat. Jangan kita kelirukan.
"Kita masih memerlukan Akta Hasutan 1948 yang patut dipinda mengikut pertukaran zaman walaupun kita ada Akta Harmoni, tetapi itu untuk perpaduan," katanya.
Beliau berkata akan menganjurkan forum ke seluruh negara mengenai isu tersebut.
"Kita akan jelajah turun ke akar umbi menerangkan pentingnya untuk kekalkan Akta Hasutan," katanya.
Ibrahim berkata, kempen itu mendapat sokongan 18 NGO kanan lain, antaranya Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan NGO bukan Melayu iaitu Pertubuhan Kebajikan dan Amal India Baru Malaysia (Perimbam) dan Persatuan Era Baru Cina Malaysia (Percisma).
Susulan daripada penahanan besar-besaran terhadap ahli politik pembangkang, ahli akademik, portal berita dan wartawan mengikut Akta Hasutan, sebuah gerakan Ghah dibentuk bertujuan mendesak pembubaran akta berkenaan.
Terdahulu Majlis Peguam Malaysia juga melancarkan Kempen Mansuhkan Akta Hasutan yang dijalankan selama setahun.
Ghah diwakili 112 NGO menyatakan bantahan penggunaan berterusan undang-undang zalim Akta Hasutan 1948 yang dianggap cara penindasan dan keganasan politik. – 5 September, 2014.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.