Followers

Monday, September 8, 2014

Sultan Selangor Terikat Deklarasi 1992, Perlu Lantik Wan Azizah - Aziz Bari



Pakar Perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari berkata Deklarasi Prinsip Perlembagaan yang ditandatangani ayahanda Sultan Sharafuddin Idris Shah sendiri mengatakan baginda perlu mengikut nasihat kerajaan negeri dalam melantik menteri besar Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insider, 1 September, 2014.

[The Malaysian Insider] Pakar Perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari berkata Sultan Selangor perlu melantik calon Pakatan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar (MB) kerana terikat dengan deklarasi pada 1992.

Kata Aziz, menurut Deklarasi Prinsip Perlembagaan yang ditandatangani ayahanda Sultan Sharafuddin Idris Shah sendiri, baginda perlu mengikut nasihat kerajaan negeri dalam melantik MB.

"Kandungan tersebut mengikat baginda hingga hari ini. Tiada kesan undang-undang dalam dokumen tersebut, tetapi secara moralnya akan memalukan baginda jika mengabaikannya.

"Jadi di Selangor, Sultan perlu melantik (Dr Wan Azizah). Meminta lebih nama serta enggan melantik beliau adalah membelakangi deklarasi 1992 dan lebih penting lagi, (membelakangi) perlembagaan itu sendiri," katanya.

Deklarasi tersebut ditandatangani sebelum ini bersama enam Sultan lain.

Minggu lepas, Sultan Selangor menangguhkan penerimaan peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan meminta lebih daripada dua nama sebagai calon MB baru.

Menurut setiausaha sulit Sultan Selangor, peruntukan mengikut Perkara LI (1), Perkara LIII (2) (a), (4) dan LV (2) (a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Sultan Selangor diperuntukkan dengan kuasa budi bicara mutlak di dalam pelantikan MB bagi kerajaan negeri Selangor yang pada pendapat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

"Sultan Selangor menitahkan agar setiap pemimpin parti PAS, PKR, dan DAP mencadangkan lebih dua nama daripada parti-parti PR sebagai calon MB bagi memudahkan baginda menentukan calon berkelayakan dan seterusnya memberi perkenan melantik mana-mana calon yang difikirkan layak."

Pakatan mengemukakan nama Dr Wan Azizah ke istana walaupun PAS, salah satu parti komponen, memilih menghantar lebih dari satu nama calon MB.

Sehingga kini Dr Wan Azizah masih menunggu untuk diperkenan menghadap Sultan.

Adun Kajang itu mendapat sokongan 29 daripada 56 wakil rakyat dalam DUN untuk memegang jawatan tertinggi di negeri terkaya di negara ini. – JENNIFER GOMEZ/1 September, 2014.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.