Kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor sudah hampir sampai ke
penghujungnya. Sebagaimana yang dilaporkan oleh media hari ini, Istana
Selangor akan mengadakan majlis angkat sumpah jawatan ketua kerajaan
negeri itu pada pagi Selasa, 23 September jam 10 pagi. Kad jemputan
kepada wakil-wakil rakyat, pemimpin politik, orang kenamaan dan
sebagainya sudah pun mula diedarkan.
Serentak itu, teka-teki mengenai siapa yang bakal mengisi jawatan itu
bagi menggantikan Khalid Ibrahim turut menjadi perbualan ketika ini. Di
media sosial pula ketika ini sarat dengan pelbagai jangkaan dan tekaan
mengenai siapa yang bakal dipilih oleh Sultan Selangor untuk mengetuai
kerajaan negeri itu.
Ada yang tetap memilih Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pilihan dan ada
pula yang merasakan Azmin Ali akan dilantik. Tidak kurang juga yang
meramalkan Sultan akan melantik Adun Pas sebagai Menteri Besar kali ini
setelah tiada kesepakatan yang jitu mengenainya di kalangan ketiga-tiga
parti dalam PR.
Adakah pilihan Sultan Selangor nanti ialah Dr Wan Azizah Wan Ismail yang
sudah mendapat sokongan majoriti 30 Adun? Atau mungkinkah Azmin Ali
atau lain-lain Adun daripada PKR?
Mungkinkah juga Sultan Selangor akan melantik mana-mana Adun Pas,
terutamanya Pesuruhjaya Pas negeri, Iskandar Abdul Samad yang dicalonkan
oleh Haji Hadi Awang sebelum ini?
Dalam masa yang sama, oleh kerana seiring dengan pengumuman tarikh
majlis angkat sumpah ini terdapat pula teguran daripada Istana Selangor
terhadap Anwar Ibrahim mengenai pencalonan hanya satu nama yang dianggap
tidak tepat dan mengelirukan, ramai pula beranggapan ianya sebagai
signal bahawa Dr Wan Azizah bukanlah pilihan untuk mengangkat sumpah
Selasa ini.
Teguran terhadap Anwar itu adalah tanda Sultan Selangor tidak memberi
perkenan terhadap pencalonan Dr Wan Azizah, demikian tafsiran ramai
pemerhati politik sama ada yang gemar melayan sembang di coffee house
hotel, di kedai-kedai mamak mahupun sekadar di alam maya Facebook dan
Twitter.
Jika benar Dr Wan Azizah bukan pilihan Sultan, nama yang paling hampir
tentulah Azmin Ali. Ini kerana Dr Wan Azizah Presiden PKR, Azmin pula
timbalannya. Walaupun beliau sebelum ini menolak pencalonan untuk
jawatan itu, tetapi jika Sultan memilihnya, tentulah mustahil Azmin akan
menolak. Apa yang ditolaknya selama ini hanyalah pencalonan parti,
bukannya pemilihan oleh Istana Selangor.
Bersama Azmin, nama lain yang turut disebut sebagai pengganti Khalid ialah Dr Idris Ahmad, Nik Nazmi dan Yaakob Sapari.
Selain wakil daripada PKR, nama Adun daripada Pas juga turut
disebut-sebut akan dilantik tetapi kebarangkaliannya lebih tinggi
jawatan ini kekal diserahkan kepada PKR. Istana juga tentunya sedia
maklum bahawa semua parti dalam PR telah pun menyatakan secara jelas
bahawa jawatan Menteri Besar adalah milik PKR.
Melantik Adun Pas yang hanya mempunyai sokongan 13 Adun lebih
memungkinkan berlakunya kemelut yang berpanjangan, bahkan tidak mustahil
berlarutan sehingga berlakunya undi tidak percaya dalam DUN nanti. PKR
dan DAP yang telah jelas mempunyai blok 30 Adun mustahil akan berdiam
diri.
Lagi pula, jika Adun PKR juga yang dilantik sebagai Menteri Besar,
kemelut yang sudah lama berlarutan ini lebih mudah didamaikan. Dr Wan
Azizah yang tidak dipilih lebih mudah untuk dipujuk dan disejukkan
hatinya jika yang dipilih itu daripada PKR juga, tak kiralah sama ada
Azmin, Dr Idris atau sesiapa saja.
Namun demikian, tidak mustahil juga sebenarnya Sultan Selangor akan
bertindak memilih Dr Wan Azizah yang sudah mempunyai sokongan majoriti
itu sebagai Menteri Besar Selangor yang baru. Jika ini dilakukan, ia
pastilah lebih bertepatan dengan kehendak undang-undang dan perlembagaan
yang mengatakan sokongan majoriti sebagai asasnya.
Mungkin juga teguran Istana Selangor terhadap Anwar itu sekadar
peringatan semata-mata dan tidak menjejaskan kedudukan Dr Wan Azizah
yang sudah ada sokongan majoriti. Lagi pun, Anwar juga sudah meminta
maaf sekali lagi kepada Sultan Selangor berhubung kenyataannya itu. Jika
itu yang berlaku, suatu sejarah baru akan tercipta iaitu buat pertama
kalinya seorang wanita dilantik sebagai ketua kerajaan negeri Selangor.
Apa pun, bersabarlah menunggu detik yang ditunggu ini dan Adun-Adun yang
disebut-sebut namanya ini janganlah ssmpai ada yang tak lena tidur dan
hilang selera makan menanti ketibaan Selasa ini. - SH 18/09/2014.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.