KUALA LUMPUR - Kemelut dalaman Pas yang menyaksikan barisan
kepemimpinan utamanya bertelagah secara terbuka rentetan kemelut jawatan
Menteri Besar Selangor adalah sesuatu yang malang bagi parti itu.
Presiden Parti India Bersatu Malaysia (MIUP), Senator Datuk Seri S.
Nallakaruppan berkata, walaupun Pas telah mengharungi pelbagai ujian
sejak penubuhannya pada 1951, masalah yang berlaku sekarang lebih parah
kerana berpunca daripada penyusupan sekumpulan pemimpin pro-Penasihat
Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, beliau tidak perlu menamakan siapa pemimpin berkenaan kerana
identiti mereka bukanlah satu rahsia bagi mana-mana rakyat Malaysia yang
peka dengan perkembangan politik pembangkang.
"Kiblat politik pemimpin ini dipamerkan secara terbuka apabila
berlakunya kemelut jawatan Menteri Besar Selangor sehingga sanggup
menyanggah pendirian Presiden parti mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
melalui media dan ceramah.
"Inilah bukti Anwarinas semakin berkuasa dalam Pas hasil penyusupan
berbelas tahun lalu sehingga berjaya menduduki jawatan strategik,"
katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sejak kemelut jawatan Menteri Besar Selangor tercetus, terdapat pemimpin
kanan Pas membuat kenyataan yang berbeza dengan pendirian Abdul Hadi
walaupun Presiden Pas itu sebenarnya telah bertindak mengikut kelulusan
Majlis Syura Ulama yang menjadi pembimbing hala tuju politik parti
berkenaan.
Abdul Hadi yang secara terbuka menegaskan isteri Anwar, Datin Seri
Azizah Wan Ismail tidak layak menjadi Menteri Besar Selangor bagi
menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kemudiannya dikecam secara
terbuka oleh sekutu pembangkang, PKR dan DAP.
Dalam pada itu, Nallakaruppan menyatakan simpati kepada Abdul Hadi yang
diserang bertubi-tubi kerana mempertahankan pendiriannya yang tidak mahu
memenuhi cita-cita politik Anwar.
Katanya, masalah di Selangor juga bukan disebabkan oleh parti Islam itu
tetapi dicipta oleh PKR namun kesan negatifnya ditanggung oleh Pas,
iaitu parti terawal yang mendukung Anwar selepas dia dipecat daripada
jawatan dalam kerajaan Pusat pada 1998.
"Dalam banyak ceramah, saya selalu cakap Pas akan terima akibat jika
berkawan dengan Anwar dan sekarang hal itu berlaku. Apa nilai setiakawan
bagi Anwar, dahulu saya jadi mangsa, sekarang Khalid dan Pas yang
mengalaminya," katanya.
Nallakaruppan berkata, kemelut jawatan Menteri Besar Selangor juga
adalah kemuncak sikap besar kepala PKR terhadap Pas yang selama ini
bersabar dan lebih banyak berkorban berbanding DAP.
Malah katanya, selama ini pun PKR menumpang kekuatan Pas khasnya di
peringkat akar umbi dan tidak keterlaluan jika dikatakan separuh
daripada kekuatan PKR sebenarnya disumbangkan oleh jentera parti Islam
itu.
Sementara itu, beliau berharap ahli Pas menilai kenyataannya berkaitan
perkembangan semasa parti itu secara berlapang dada kerana masalah lebih
besar akan berlaku jika Abdul Hadi tidak disokong secara mutlak oleh
akar umbi. -
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.