RAYUSA
BLOGGER
dan wartawan veteran, Dato' Kadir Jasin meminta orang Melayu jangan
berkecil hati dengan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa mereka
malas. Tidak pasti adakah Kadir seorang Melayu tulen atau bukan.
Jika
Kadir Melayu tulen, benarkah beliau langsung tidak tersinggung dengan
dakwaan Mahathir itu? Adakah beliau memang mengaku semua orang Melayu di
Malaysia malas atau semata-mata mengampu/membela kerana Perdana Menteri
keempat itu mengupahnya untuk mengkritik kerajaan pimpinan Najib Razak?
Sebagai
manusia yang waras, mustahil orang Melayu tidak berkecil hati dengan
kata-kata keras tersebut, apatah lagi jika mereka sebenarnya rajin
bekerja dan berusaha.
Dakwaan
Mahathir tidak tepat. Jika malas, sudah lama bangsa Melayu hilang di
dunia. Jangan kerana segelintir, seperti yang ditegaskan oleh Pengarah
Pusat Penyelidikan Kebangsaan Antartika, Universiti Malaya, Prof Dato' Dr Azizan Abu Samah, seluruh bangsa dilabel sebagai malas.
Dr
Azizan yang juga Timbalan Pengarah IOES dan Naib Presiden Jawatankuasa
Sains Penyelidikan Antartika menegaskan sedemikian dalam forum bertajuk
'Dunia ialah Pentas Kita' (sepatutnya 'adalah'), anjuran Persatuan
Penulis Nasional Malaysia (Pena) di Rumah Pena, 20 September lalu.
Forum
itu diadakan bersempena dengan Mesyuarat Agung Tahunan ke-51 Pena
(Mesyuarat Agung (pemilihan Jawatankuasa Pena 2014-2016)). Langkah Pena
yang diketuai oleh Presidennya, Dr Mohammad Saleeh Rahamad (yang dipilih
semula dalam Mesyuarat Agung tersebut) menganjurkan forum yang membawa
isu panas itu wajar dipuji.
Sebenarnya,
tidak salah untuk orang Melayu tersinggung atau marah kerana dakwaan
Mahathir itu bersifat menyeluruh. Memang tidak adil dan melampau beliau
melabelkan orang Melayu malas berdasarkan pencapaian dalam satu bidang
sahaja.
Saya
fikir dakwaan Mahathir itu hanya berdasarkan bidang ekonomi. Bagi
beliau, disebabkan malas, orang Melayu masih tidak memonopoli ekonomi
negara. Saya fikir Mahatihir hanya mahu orang Melayu kaya, bukan halal
haram cara menjadi kaya.
Jika
benar begitu, Mahathir tidak wajar melabelkan sedemikian kerana bidang
lain seperti seni dan sukan telah membuktikan orang Melayu rajin.
Azizan
dalam ceramahnya memberi contoh penyanyi Yuna yang telah sedikit demi
sedikit mencatat kejayaan di Amerika Syarikat. Katanya, Yuna telah
membuktikan kemampuan dan akan datang boleh memilih untuk beraksi di
mana sahaja.
Beliau
tidak menyebut kejayaan Dato' Siti Nurhaliza dan Shila Amzah. Mungkin
mengetahui dan tidak menafikannya, cuma terlupa untuk menyebut. Yang
penting, kejayaan tiga diva negara itu membuktikan orang Melayu kuat
berusaha. Kalau malas, adakah ketiga-tiga mereka akan berada pada
kedudukan sekarang?
Dalam
bidang sukan pula, ada atlet Melayu yang menjadi legenda seperti
Allahyarham Abdul Ghani Minhat dan Allahyarham Dato' Mokhtar Dahari
untuk bola sepak (walaupun gagal beraksi di Piala Dunia).
Ghani
digelar Raja Bola Malaya. Mokhtar yang mendapat jolokan SuperMokh pula
turut mencipta rekod menjadi pemain bola sepak tanah air yang pertama
menerima anugerah Olahragawan Negara (1976). Adakah Ghani dan Mokhtar
malas?
Badminton
amat dikenang pada era 90-an, khususnya 1992 apabila adik-beradik
Sidek, iaitu Rashid, Razif, Jalani dan Rahman Sidek membawa skuad negara
kembali memenangi Piala Thomas selepas 25 tahun.
Razif
dan Jalani juga mungkin menjadi juara beregu dunia jika 'servis S'
ciptaan mereka tidak diharamkan oleh Persekutuan Badminton Dunia. Servis
tersebut sangat mengelirukan lawan hingga menerbitkan rasa cemburu
(mungkin) yang membawa pada pengharamannya atas alasan cepat merosakkan
bulu tangkis.
Dalam
lumba basikal tanah air pula muncul legenda seperti Allahyarham Daud
Ibrahim pada era 70-an dan Rosman Alwi (80-an). Shalin Zulkfili pula
adalah ratu boling negara.
Adakah
mereka orang Melayu yang malas? Tentu tidak kerana faktor nasib amat
kecil peratusannya. Faktor yang membawa kejayaan cemerlang tetap juga
usaha keras dan berterusan.
Tegas
Azizan, sebenarnya yang malas pada orang Melayu ialah malas ditipu oleh
orang yang 'patut-patut' (berkuasa dan berwewenang).
Mereka, tambahnya, malas mendengar dianggap malas meskipun keluar awal pagi menangkap ikan atau menoreh.
"Orang
Melayu malas melihat kekayaan negara diberi kepada orang lain, mendengar
pemimpin mengutuk bangsa sendiri, dan melihat orang Melayu berjawatan
tinggi atau kaya raya kerana memecah amanah menyelewengkan wang rakyat,"
tegas Azizan.
Sambil
menegaskan bahawa Mahathir bukan Tuhan yang tidak boleh disanggah,
tambah beliau, wajarkah orang Melayu dianggap malas jika mereka mampu
menerajui Petronas dan Khazanah Nasional Berhad.
"Majoriti
pensyarah di universiti yang mencerdikkan rakyat Malaysia tanpa mengira
kaum juga adalah orang Melayu. Begitu juga yang menjayakan DEB dan
Felda. Selain itu, 50 peratus pakar perubatan dan pakar undang-undang
adalah orang Melayu," kata Azizan lagi.
Bagi
beliau, kejayaan Malaysia adalah kejayaan orang Melayu. Katanya, orang
Melayu telah berjaya menurunkan kadar kemiskinan mereka dari 30 peratus
ke empat peratus. Mereka menyediakan prasarana dan pentadbiran awam yang
menyumbang pada pertumbuhan ekonomi.
Lebih menarik, tambah Azizan, pengguna dalam kalangan orang Melayu yang banyak mendukung ekonomi kaum Cina di Malaysia!
Bagaimanapun,
Azizan menegaskan orang Melayu yang berwibawa dan berwawasan terpaksa
menghadapi dua musuh, iaitu orang Melayu sendiri yang hasad dengki SERTA
banyak memperlekehkan kejayaan bangsa, dan cauvanis Cina yang iri hati.
Kedua-duanya, kata Azizan akan cuba membunuh kerjaya.
Dalam
hujahnya menyanggah dakwaan Mahathir, Azizan menegaskan tiada kajian
yang menunjukkan sesuatu bangsa bodoh atau cerdik, rajin atau malas
kerana ia sangat bergantung pada nilai hidup seseorang.
Untuk
mengatasi sindrom jaguh kampung pula, Azizan menegaskan orang Melayu
mesti berani berfikiran besar SERTA menerokai dan bersuara di pentas
dunia. Mereka, katanya, mesti berbangga dengan kejayaan sendiri, dan
memerdekakan minda daripada belenggu saki-baki penjajahan minda.
Jelas
Azizan, orang Melayu tidak perlu bimbang kerana dunia kini terbuka untuk
mereka terokai. Sebenarnya, kata beliau, orang Melayu sudah mempunyai
kemampuan ekonomi dan kematangan pemikiran untuk menjadi pemimpin dunia
membangun.
Azizan
menegaskan negara kita sudah mempunyai ramai Mahathir dalam banyak
bidang selain politik. Cuma, beliau curiga adakah orang Melayu akan
memerdekakan diri mereka yang sebenar-benarnya - tidak menjadi seperti
burung sangkar yang setelah dilepaskan akan terbang semula ke sangkar
atau berkeliaran di sekitar sangkar tersebut hingga akhirnya mati
dibaham oleh kucing.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.