Followers

Sunday, September 21, 2014

Kubu Umno Johor tak runtuh, adab PAS yang berguguran

 
Hasrat asalnya ialah “menggerunkan” Umno sambil memingit pengundi di Johor agar bertambah yakin dengan kehebatan PAS. Maka Muktamar PAS ke-60 pun diadakan di negeri itu dengan sasaran “mengkuburkan Umno di negeri kelahirannya”.
 
Bagaimanapun, setelah enam hari berkampung di Darul Takzim apa yang lebih menonjol ialah sisi “sakit” parti itu yang agak longlai memahami dan menangani masalah ikhtilaf atau perbezaan pendapat sesama ahli.
 
Ia juga mempamerkan kegagalan PAS menterjemahkan konsep kesatuan dan perpaduan serta cara terbaik mengakuri arahan dan keputusan kepimpinan seperti yang dianjurkan oleh Islam.
 
Lantas di penghujung Muktamar di Batu Pahat itu, pemimpin-pemimpin PAS kelihatan “terkial-kial” cuba mencerah dan menyuburkan kefahaman dan penghayatan perpaduan khususnya di kalangan penyokong ulama dan profesional.
 
Mesej pemimpin PAS berpusar kepada diri sendiri
 
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dilihat bersungguh-sungguh di majlis penutup Muktamar untuk mentautkan kembali kiambang politik ulama dan profesional yang dibelah biduk muktamar kali ini.
 
Beliau cuba berfalsafah dengan memberi versinya tersendiri berhubung mesej Albert Einstein dengan berkata “tanpa ulama, PAS buta dan tanpa profesional, PAS adalah cacat”. 
 
Mustafa juga berusaha mencerahkan hubungan ulama dan profesional dengan menggunakan perumpamaan golongan Rumi dan Jawi yang masing-masing akan merujuk kepada ulama jika perlukan panduan dalam melaksana kerja politik PAS.
 
Malangnya beliau melebarkan lagi persilangan fikrah dalam PAS apabila cuba menonjolkan satu lagi entiti yang turut menyumbang kepada usaha perpaduan dan pengukuhan PAS iaitu kumpulan aktivis seperti Mazlan Aliman. 
 
Silapnya, kesimpulan yang cuba dibuat oleh Mustafa tentang kerjasama ketiga-tiga golongan itu semuanya berpusar kepada dirinya sendiri yang “menjadi rujukan baik Timbalan Presiden, Naib-naib presiden dan juga Mazlan”.
 
Timbalan Presiden, Mat Sabu juga cuba menjernihkan keadaan. Beliau bercerita betapa dalam Pilihanraya Umum lalu beliau berkorban masa dan tenaga untuk “memenangkan Presiden di Marang dan bekas Ketua Pemuda, Nasrudin Hasan di Temerloh”. 
 
Akibatnya, beliau kurang beri tumpuan berkempen untuk dirinya sendiri di Pendang dan tewas. Ini semua demi membuktikan betapa akrabnya hubungan profesionalseperti beliau dengan ulama.
 
Suara sinis dan ejekan gagal kendurkan ketegangan ulama-profesional
 
Namun sambutan perwakilan agak hambar. Ramai yang belum dapat memadamkan igauan syor Mat Sabu sebelum Muktamar supaya ulama tidak terlalu menggunakan “alasan agama” menghalalkan tindak tanduk mereka. 
 
Begitu juga dengan suara sinis dan ejekan yang diterima oleh Ketua Lujnah Undang-undang PAS (LUHAM), Hanipah Maidin, yang sedikitpun tidak mengendurkan ketegangan di antara dua puak berbeza itu. 
 
Beliau juga dicemuh apabila mendakwa Majlis Syura PAS melangkaui kuasanya dengan masuk campur dalam kemelut krisis pelantikan Menteri Besar Selangor itu.
 
"Kami berpandangan bila Majlis Syura Ulama nyatakan pendirian sokong presiden dan terlibat dalam urusan kes Selangor, dari sudut pandangan perlembagaan PAS, ia telah melangkaui atau melebihi perlembagaan PAS.
 
“(Tetapi) Tidak pernah Luham dakwa pandangan Luham adalah yang paling betul dan perlu diikut. Tak ada," ujarnya.
 
Namun Hanifa menegaskan tidak timbul isu LUHAM bertindak biadap terhadap Majlis Syura atau menolak kepimpinan badan itu.
 
"Ada orang tanya kenapa LUHAM buat kenyataan terbuka bersabit krisis Menteri Besar Selangor, sekarang saya mahu tanya mengapa Majlis Syura buat kenyataan terbuka sebelum ini?
 
"Adakah kenyataan kami ini salah jika kami ini dilihat tidak menyokong Majlis Syura?, " tanya Hanipa.
 
PR akan hilang Selangor jika PAS terus “berdegil”?
  
Ujarnya, jika PAS terus “berdegil” untuk menerima jawatan itu besar kemungkinan kerajaan negeri yang diketuai parti itu tidak akan kekal lama dan berakhir dengan sebuah pilihan raya negeri.
  
"Adakah kita mahu kerajaan (negeri) yang kita bina itu rapuh? Sebab kita tidak mendapat sokongan daripada rakan-rakan kita yang lain, DAP dan PKR. Bagaimana mahu jadi kerajaan (negeri) yang kuat?
   
Hanipa turut mempersoalkan bidang kuasa Presiden, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang yang bertindak sendirian mengemukakan nama Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad kepada Istana Selangor tanpa berbincang dengan Jawatankuasa PAS Pusat.
 
Menurutnya Muktamar PAS pada 1993 meluluskan pindaan yang menghalang pemusatan kuasa kepada individu yang melemahkan gerak kerja parti.
 
"Tidak ada peruntukan (kuasa) khusus yang diberikan kepada presiden. Saya tak nafikan presiden boleh buat keputusan. Tapi dari segi amalan dan semangat perlembagaan, kebiasaannya presiden akan rujuk pada AJK PAS Pusat," kata beliau.
 
Kemana perginya adab ahli dan pemimpin PAS?
 
Muktamar PAS ke-60 menyerlahkan persoalan yang agak mengecewakan. Ke manakah perginya adab ahli (yang juga pemimpin) PAS yang menyertai persidangan tahunan itu?
 
Sekaligus ia juga mendorong umum untuk mempersoalkan apa sudah jadi dengan proses tarbiyah (latihan) perkaderan ahli dan pemimpin PAS sehingga agak terlucut daripada syaksiah Islamiah yang diharapkan?
 
Banyak contoh dapat diketengahkan untuk mengukuhkan pandangan bahawa PAS gagal melatih ahli dan pemimpinnya menurut konsepfi sabilihi tsaffan ka annahum bun ya num martsus (barisan teratur seakan bangunan yang tersusun).
 
Dalam muktamar itu yang menonjol ialah bibit perpecahan, perseteruan dan juga dendam sesama sendiri. Malah ini mendorong muktamar digunakan sepenuhnya untuk menyindir dan menghina golongan yang tidak sehaluan.
 
Malah ada yang tergamak meletakkan nilai dan piawaian adab anggota PAS lebih rendah daripada saingan mereka, Umno, lantaran amat benci dan marah pada sesama ahli yang dianggap khianat.
 
Jika adapun natijah positif yang nampak daripada cara PAS melatih ahli dan pemimpinnya selama ini ialah, ia berjaya memampatkan cara PAS memperlekeh dasar perjuangan dan akhlak ahli-ahli Umno, dengan melontarkannya ke atas sesama ahli melalui ejekan dan sindiran pedas. 
 
Senjata mukmin ialah doa. Hasil “tarbiyah” melampau PAS kebelakangan  ini, ada pemimpin PAS yang mengajak perwakilan untuk menadah tangan berdoa dan memperlekehkan dan “membaruahkan” dua ahli yang pernah disanjung sebagai pemimpin.
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.