DATO' Paduka Mukhriz Mahathir mencatat sejarah tersendiri apabila
menjadi Menteri Besar yang tidak menetap di Kedah. Beliau hanya
‘membujang’ di Kedah sedangkan anak isterinya tinggal di Kuala Lumpur.
Sebab itu isteri Mukhriz jarang bersama dalam majlis-majlis rasmi
anjuran kerajaan.
Setahun menjalani kehidupan seperti itu menyebabkan beliau mula menerima
kritikan daripada para pemimpin kerajaan serta rakyat negeri ini.
Mereka nampak Mukhriz semacam tidak serius untuk menjadi anak Kedah
tulen. Tidak munasabah Menteri Besar Kedah tidak menetap di Kedah
bersama keluarganya.
Mungkin kerana itu beliau membuat keputusan untuk tinggal di kediaman
rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon. Menteri Besar Kedah yang terakhir
tinggal di rumah rasmi kerajaan itu ialah Dato’ Syed Omar. Tujuh
menteri besar selepas itu, termasuk Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan tidak
tinggal di Seri Mentaloon.
Yang mencetuskan kontroversi ialah apabila ubah suai yang dilakukan
kerajaan BN terhadap kediaman rasmi tersebut, termasuk landskapnya
adalah berjumlah RM4.3 juta! Ubah suai itu pula dilakukan hanya selepas
tiga tahun kediaman itu diubah suai.
Dalam peristiwa banjir besar yang melanda Kedah pada 2010, Seri
Mentaloon adalah antara kawasan yang turut diharung banjir. Maka selepas
banjir terpaksalah dibaik pulih. Pada Mac dan April 2011, Seri
Mentaloon diubah suai sekali lagi.
Kali ini adalah untuk menyediakan
penginapan yang sesuai (dengan keperluan Istana Negara) bagi menyediakan
'Istana Tetamu' untuk kegunaan DYMM Seri Paduka Baginda YDP Agong,
Sultan Mizan Zainal Abidin yang melakukan lawatan rasmi tiga hari ke
Kedah sempena berakhirnya perkhidmatan baginda. Gantinya adalah KDYMM
Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Sultan Kedah sebagai YDP Agong ke-13.
Kerajaan Kedah bersiap selaras dengan sambutan yang wajar sebuah negeri
kepada lawatan rasmi oleh ketua sebuah negara. Tiada hotel bertaraf lima
bintang atau yang setara dengan keperluan Istana Negara di Alor Setar.
Kediaman itu juga pernah menjadi 'Istana Tetamu' kepada Duli-Duli yang
Maha Mulia Sultan beberapa negeri, termasuk Almarhum Sultan Johor dan
Sultan Brunei sewaktu menghadiri acara di Kedah sebelum itu. Ubah suai
yang dilakukan terhadap bangunan dan landskap itu menelan belanja RM1.4
juta, menjadikan kediaman rasmi itu bertaraf ‘lima bintang’.
Belanja RM1.4 juta itu, bukanlah pengubahsuaian bangunan, penambahan
beberapa ruangan baharu dan hiasan dalam sahaja, malahan termasuk
kerja-kerja di luar bangunan.
Di bahagian luar dibina kolam air pancut
berlampu, jalan pejalan kaki, ubah suai landskap, lampu-lampu dipasang
di tembok pagar dan pokok-pokok di bahagian hadapan.
Bekas Setiausaha Politik Menteri Besar, Muhammad Sanusi Mohd Noor
mendedahkan bahawa angka RM1.4 juta itu mencetuskan kemarahan Ustaz
Azizan. Baginya, jumlah tersebut terlalu mahal. Namun apa nak dikata,
angka itu sampai ke pengetahuan Ustaz Azizan selepas kerja-kerja
diselesaikan.
Kini kerajaan BN melakukan pengubahsuaian tanpa berlaku sebarang
kerosakan pun. Memang tiada keperluan untuk melakukan ubah suai. Menurut
maklumat yang dibocorkan, orang yang ‘mengatur’ perhiasan dalaman serta
peralatan mewah yang perlu dimasukkan ke kediaman itu ialah isteri
Mukhriz sendiri.
Kontraktor dikatakan terpaksa merujuk kepada mahligai
Mukhriz di Kuala Lumpur bagi mengenal pasti bahan-bahan yang akan
digunakan dalam pengubahsuaian di Seri Mentaloon. Maksudnya, bagi
memenuhi cita rasa isteri seorang menteri besar. Semua peralatan adalah
jenama mewah dan mahal.
Pengubahsuaian kediaman sahaja bernilai RM1.4 juta. Manakala untuk
bahagian landskap (luaran) kosnya adalah sebanyak RM2.9 juta. Bermakna
jumlah keseluruhannya RM4.3 juta, jumlah yang cukup untuk membina
sebanyak 215 unit rumah kos rendah yang bernilai RM20,000 sebuah.
Apa istimewanya landskap sehingga mencecah hampir RM3 juta? Ia cuma
sebuah taman yang ditanam dengan pohon-pohon kurma. Mungkin mereka
mendapat idea membuka ‘ladang kurma’ setelah melihat pokok kurma di Kota
Bharu berbuah lebat.
Bolehlah rasanya kerajaan BN Kedah meneruskan
agenda Belanda Timur yang diasaskan Ustaz Azizan, Kedah muncul sebagai
negeri pengeluar kurma yang utama di Malaysia. Cuma kos menanam pokok
kurma sangat mahal, sepohon pokok bernilai hingga puluhan ribu ringgit.
Semua ini menjadi bahan jenaka yang 'diviralkan' di media maya.
HARAKAHDAILY 2/9/2014
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.