Followers

Monday, September 22, 2014

Kalau Aku Jadi 'Dia', Demi Parti Dan Maruah, Aku Letak Jawatan!

 


Aku kata: Pil kuda dan komunis belum lagi berjawab
Ini broker dan barua pula!

Haji Hadi Wajib Sahut Cabaran Shaari

Sesiapa pun yang melihat wajah Presiden Pas, Haji Hadi Awang ketika menggulung Muktamar Pas semalam, tentunya dapat merasakan api kemarahan yang sedang marak dan meluap-luap dalam dadanya. Wajah, mata, air muka dan gerak tangannya ketika menyampaikan ucapan jelas menggambarkan beliau sedang marah dan panas hati ketika itu.

Malangnya, kemarahan itu tidak ditujukan kepada UMNO dan para pemimpinnya yang memang menjadi musuh Pas selama ini. Bahkan dalam muktamar kali ini, UMNO paling beruntung kerana tidak menjadi serangan dan belasahan Pas sepertimana selalunya.

Dalam muktamar kali ini, tiada sentuhan yang pedih dan menyakitkan hati daripada Pas terhadap UMNO. Daripada perasmian, perbahasan oleh perwakilan sehinggalah kepada ucapan penutup, UMNO terkecuali daripada sasaran kecaman. 

Sasaran lebih ditumpukan kepada rakan-rakan sendiri dalam PR, terutamanya PKR, golongan profesional termasuk Mohamad Sabu dan tidak terkecuali dua Adun dari Selangor, Shaari Sungib dan Hasnul Baharuddin.

Dalam ucapan penggulungan yang penuh kemarahan itu, Haji Hadi juga turut membuat dakwaan bahawa kedua-dua Adun berkenaan dibeli untuk memberi sokongan dan manandatangai akaun bersumpah menyokong Dr Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Dalam tindakannya yang disifatkannya sebagai "mencuri" itu, beliau juga menuduh ada yang menjadi "broker" dan "barua" kepada kedua-dua Adun berkenaan.

Bagaimanpun hari ini, salah seorang daripada dua Adun berkenaan iaitu Shaari Sungib bingkas mencabar Haji Hadi agar mengemukakan bukti atas dakwaan yang dibuatnya itu.

Tindakan Shaari sebagai Adun Pas mencabar Presiden partinya sendiri mengenai sesuatu dakwaan memang dianggap luar biasa dan jarang-jarang berlaku, lebih-lebih lagi memandangkan Pas sebagai parti yang memperjuangkan Islam.

Tetapi di sudut yang lain, ia menyerlahkan kewajaran Haji Hadi untuk menyahut cabaran tersebut, jika beliau benar-benar mempunyai bukti. Apatah lagi dakwaan bahawa Shaari dibeli itu merupakan tuduhan yang berat yang melibatkan wibawa dan intergritinya.

Membuat dakwaan yang berunsur rasuah tetapi tanpa bukti adalah tidak wajar sama-sekali dan menjejaskan wibawa seseorang yang bertaraf Tuan Guru atau Presiden parti. Dakwaan tanpa bukti biasanya hanya dilakukan oleh pencacai atau macai politik yang banyak berkeliaran di lobi hotel dan kedai-kedai kopi tengah malam saja.

Namun Haji Hadi bukanlah pencacai atau macai. Tarafnya dalam masyarakat begitu tinggi. Beliau adalah ketua parti yang bertaraf ulama. Apabila beliau membuat dakwaan bahawa dua Adun berkenaan dibeli, tentunya anggapan ramai beliau mempunyai bukti mengenainya berasaskan bahawa seorang yang alim dan warak tidak mungkin membuat tuduhan tanpa bukti.

Oleh itu, apabila Shaari sudah melakukan cabaran, menjadi tanggungjawab Haji Hadi untuk menyahutnya. Beliau perlu kemukakan bukti-bukti yang beliau ada, bukan saja untuk mengesahkan dakwaannya tetapu juga memastikan Shaari dan Hasnul dikenakan tindakan oleh Pas. 

Seterusnya bukti itu boleh pula dibawa kepada SPRM agar tindakan sewajarnya dari segi undang-undang dapat diambil.

Ini kerana jika benar Shaari dan Hasnul telah dibeli, tiada sesiapa pun merestui dan menghalalkan permainan politik seumpama itu.

Dalam hal ini, Haji Hadi tidak perlu berlengah dengan masa untuk segera mengemukakan bukti mengenai wujudnya pembelian dan unsur rasuah itu. Semuanya kini terletak di tangan Haji Hadi untuk melonjakkan kembali imej dan reputasinya jika benar apa yang diperkatakannya itu adalah benar dan ada buktinya sekali.

Dalam masa yang sama, dakwaan Haji Hadi mengenai hal ini juga pantas mengingatkan orangramai kepada tuduhannya berkaitan pil kuda dan fahaman komunis terhadap calon PKR di Terengganu dan Selangor sebelum pilihanraya lalu yang sehingga ini masih gagal dibuktikannya.

Kedua-dua tuduhan berkaitan pil kuda dan fahaman komunis itu ialah untuk mewajarkan Pas ketika itu meletakkan calon bertindih daripada partinya, walaupun sudah ada persetujuan ia ditandingi oleh parti rakannya sendiri iaitu PKR.

Dalam isu pil kuda, Haji Hadi telah pun disaman dan perbicaraan awal telah dimenangi oleh calon PKR itu dan kini masih lagi dalam proses rayuan lagi. Mengenai dakwaan calon PKR berfahaman komunis pula, ia senyap begitu saja.

Apakah mungkin dakwaan wujudnya pembelian terhadap Shaari dan Hasnul juga bakal senyap sama? Atau mungkinkah setelah Shaari mencabar ini dan jika masih tiada bukti dikemukakan, beliau juga akan turut mengemukakan saman malu bernilai jutaan ringgit kepada Haji Hadi?

Apa pun alasannya, oleh kerana Haji Hadi membuat dakwaan itu di atas pentas rasmi parti, beliau secara moralnya wajib menyahut cabaran Shaari itu? Noktah. Berdiam diri atau memberi pelbagai alasan lain bukan lagi pilihan.

Tetapi jika beliau hanya mendengar desas-desus, khabar angin atau cakap-cakap orang saja mengenainya, amatlah memalukan sekali tindakan itu dilakukannya ketika ucapan penggulungan itu. Tidak wajar seorang presiden parti yang bertaraf ulama berbuat demikian.

Jika beliau sekadar mendengar desas-desus atau khabar angin mengenainya, beliau sepatutnya hanya menyebarkannya kepada pencacai atau macai untuk dijadikan tajuk perbualan di warung-warung kopi saja, bukannya diluahkan di muktamar parti. - SH 21/09/2014.


Posted by Shahbudin Husin.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.