Followers

Thursday, September 4, 2014

Jadi, Kerjasama PAS - UMNO Bukanlah Fitnah Ya? - Kelab Greenboc.



Ulama PAS akui 2 Adun gagalkan usaha kerjasama dengan Umno

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mohd Khairudin Aman Razali mengakui tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu menyokong pencalonan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor menggagalkan usaha mereka untuk mengekalkan Tan Sri Khalid Ibrahim melalui kerjasama dengan Umno.

Melalui satu tulisannya yang disiarkan dalam laman Facebook rasmi PAS semalam, Khairudin yang juga ahli Parlimen Kuala Nerus berkata tindakan dua Adun itu secara teknikalnya menyebabkan Khalid tidak boleh lagi dikekalkan sebagai menteri besar kerana bilangan majoriti Adun tidak memihak kepadanya.

"PKR dan DAP yang hanya mempunyai 28 Adun menyokong bertambah menjadi 30 Adun, hasil sokongan 2 Adun PAS.

"Secara teknikalnya Khalid hanya mempunyai sokongan 26 Adun termasuk 13 Adun PAS dan 12 Adun Umno yang menyokong tanpa syarat. Beliau tidak boleh lagi dikekalkan sebagai MB dalam situasi dan realiti ini.

"Ia mentafsirkan kenapa mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat memutuskan untuk menghantar 2 nama sebagai calon MB menggantikan Khalid," tulis beliau yang lebih dikenali dengan nama Takiri, sempena tempat kelahirannya di Seberang Takir, Kuala Terengganu.

Pengakuan Khairudin ini selari dengan apa yang dilaporkan The Malaysian Insider sebelum ini terdapat usaha daripada PAS untuk bekerjasama dengan Adun Umno bagi membentuk kerajaan di Selangor.

Dalam laporan itu, menurut seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS, Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri mengaku berbincang dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali untuk membentuk kerajaan bersama 12 Adun Umno di Selangor.

Namun Setiausaha Politik Presiden PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan berita itu dan berkata tidak pernah ada usaha sebagaimana yang dilaporkan.

Semalam, Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata, Umno sedang memancing PAS untuk bekerjasama dengannya di Selangor dan sasaran akhir mereka adalah untuk mendapatkan majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat bagi membolehkan persempadanan semula kawasan pilihan raya diluluskan atas nama kepentingan Melayu.

Dua Adun PAS Saari Sungib (Hulu Klang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) menandatangani akuan berkanun (SD) bagi menyokong pencalonan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor.

Dalam tulisannya bertajuk "Ke mana PAS mahu dibawa" ini, Khairudin berkata, isu dua Adun PAS yang menyokong PKR dan DAP berkenaan isu menteri besar Selangor sejak kebelakangan ini benar-benar menjolok kesabaran ahli parti yang prihatin dengan adab berjemaah anjuran Islam.

Katanya, keputusan Majlis Syura Ulama yang bersidang pada 6 Ogos 2014 yang mengambil ketetapan untuk mengekalkan Khalid sebagai menteri besar Selangor selagi tidak berlaku pelanggaran amanah sewenang-wenangnya dilanggar secara terang-terangan dua Adun tersebut.

"Lebih menjengkelkan apabila dilihat beberapa pimpinan kanan dalam jawatankuasa kerja PAS Pusat membuat kenyataan terbuka menyokong tindakan mereka berdua.

"Lebih jauh lagi, ada pula di kalangan pimpinan PAS Pusat ini yang mengandaikan mereka berdua bakal dianggap sebagai hero atau wira oleh orang terkemudian kerana bertindak kononnya menyelamatkan Pakatan Rakyat," kata Khairudin.

Khairudin berkata, tindakan pimpinan pusat ini menyokong Adun yang bersikap tidak mempedulikan keputusan Majlis Syura Ulama itu jelas satu lagi tindakan membelakangkan keputusan Majlis Syura Ulama PAS oleh kepimpinan tertinggi parti.

"Ia menjadi satu panduan dan ikutan buruk untuk ahli bawahan juga bertindak dengan cara yang sama," katanya.

Sehingga kini, katanya, berpuluh aduan dan usul dikemuka dan diluluskan pelbagai pihak dalam PAS sama ada mesyuarat agong kawasan, muktamar dewan dan mesyuarat badan perhubungan negeri mendesak tindakan tegas terhadap mereka.

"Namun, sangat jelas beberapa pimpinan ini sememangnya secara terang-terangan membela mereka berdua. Bertindak di belakang tabir? Menikam Tuan Guru Presiden dari belakang?" katanya.

Lebih mengejutkan lagi, Khairudin mendakwa ada perkhabaran yang bersedia untuk dibuktikan berkenaan tindakan kedua-dua Adun itu adalah arahan dan restu pimpinan kanan dalam jawatankuasa PAS Pusat.

"Ini sudah tersangat serius dan di luar jangkauan akal manusia yang waras," katanya.

Katanya, dalam keadaan itu, tiba-tiba ada pimpinan kanan cuba mengalih perhatian ahli dengan membangkitkan isu kononnya ada usaha ke arah kerjasama PAS dan Umno.

"Kononnya ada institusi tertentu cuba dikuasai 'team' Umno. Fitnah apa yang sedang dimainkan ini?" soal Khairudin yang dipercayai ditujukan kepada kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa.

Dalam kenyataan semalam, Husam mendakwa, beliau tahu ada usaha terancang daripada setengah kalangan Umno untuk menyerapkan agenda mereka ke dalam PAS, khususnya pasukan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Pasukan ini berpendapat, dengan menguasai institusi tertentu dalam PAS, PAS akan bergerak mengikut kehendak mereka. Mereka gagal memahami PAS adalah parti yang berbeza dengan Umno," dakwa Husam dalam tulisan itu.

Dalam tulisannya, Khairudin juga menyerang pimpinan tertinggi PAS apabila mereka berkata kenyataan Hadi parti Islam itu menyokong Khalid sebelum mesyuarat Pusat adalah kenyataan peribadi.

"Maka tidak menghairankan apabila ada pula pimpinan tertinggi yang menyifatkan kenyataan presiden dalam isu MB Selangor sebagai kenyataan peribadi.

"Walhal presiden menegaskan keputusan PAS sebelumnya pada Januari 2014 iaitu isu jawatan MB Selangor tidak berbangkit apabila PRK Kajang dipaksa berlaku oleh PKR," katanya.

Selepas PKR mengumumkan pencalonan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar, Hadi berkata, PAS tetap akan menyokong Khalid sebagaimana sikap Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad sebelum itu.

Susulan itu, sekurang-kurangnya dua pemimpin PAS iaitu Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, "ia kenyataan pribadi" kerana PAS hanya akan bermesyuarat selepas itu bagi membincangkannya.

Dalam mesyuarat selepas itu iaitu 17 Ogos lalu, mesyuarat Jawatankuasa PAS memutuskan untuk mencalonkan 2 nama untuk jawatan itu iaitu Dr Wan Azizah dan Azmin.



Ke mana PAS mahu dibawa? Oleh DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI


Isu 2 Adun PAS yang menyokong PKR dan DAP berkenaan isu MB Selangor sejak kebelakangan ini benar-benar menjolok kesabaran ahli-ahli PAS yang prihatin dengan adab-adab berjamaah seperti yang dianjurkan oleh Islam.

Keputusan Majlis Syura Ulamak PAS yang bersidang pada 6hb Ogos 2014 yang telah mengambil ketetapan untuk mengekalkan Tan Sri Khalid Ibrahim (TSKI) sebagai Menteri Besar Selangor selagi tidak berlaku pelanggaran amanah telah sewenang-wenangnya dilanggar secara terang-terangan oleh kedua-dua Adun tersebut.

Kesan secara teknikalnya TSKI tidak boleh lagi dikekalkan sebagai MB kerana bilangan majoriti adun tidak lagi memihak kepada beliau. PKR dan DAP yang hanya mempunyai bilangan 28 Adun menyokong telah bertambah menjadi 30 Adun. Secara teknikalnya TSKI hanya mempunyai sokongan 26 adun termasuk 13 adun PAS dan 12 Adun Umno yang menyokong tanpa syarat. 
TSKI tidak boleh lagi dikekalkan sebagai MB dalam situasi dan realiti ini. Ia mentafsirkan kenapa mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat memutuskan untuk menghantar dua nama sebagai calon MB menggantikan TSKI.

Lebih menjengkelkan apabila dilihat beberapa pimpinan kanan dalam jawatankuasa kerja PAS Pusat membuat kenyataan terbuka menyokong tindakan mereka berdua. Lebih jauh lagi, ada pula di kalangan pimpinan PAS Pusat ini yang mengandaikan mereka berdua bakal dianggap sebagai "hero" atau wira oleh orang terkemudian kerana bertindak kononnya menyelamatkan Pakatan Rakyat. 
Tindakan pimpinan pusat ini menyokong kedua-dua Adun yang bersikap membelakangkan keputusan Majlis Syura Ulamak ini adalah jelas satu lagi tindakan membelakangkan keputusan Majlis Syura Ulamak PAS oleh kepimpinan tertinggi parti. Ia menjadi satu panduan dan ikutan buruk untuk ahli-ahli bawahan juga bertindak dengan cara yang sama.

Sudahlah perbincangan di aplikasi whatsApp dibocorkan. Perbezaan pandangan dalam mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat dibocorkan sewenang-wenangnya. Hatta perbezaan dan pertelingkahan dalam mesyuarat yang memang menjadi sebahagian resam mesyuarat diriwayatkan secara terperinci oleh media. Siapakah pembocor rahsia ini. Amanahkah mereka? Adakah ini kualiti pimpinan tertinggi PAS Pusat dari sudut akhlak berjamaah dan bermesyuarat?

Sehingga kini berpuluh aduan dan usul telah dikemukakan dan diluluskan oleh pelbagai pihak dalam PAS sama ada mesyuarat agung kawasan-kawasan, muktamar dewan-dewan dan mesyuarat badan perhubungan negeri mendesak PAS mengambil tindakan tegas terhadap mereka berdua. Namun, sangat jelas beberapa pimpinan ini sememangnya secara terang-terangan membela mereka berdua. Bertindak di belakang tabir? Menikam Tuan Guru Presiden dari belakang?

Lebih mengejutkan lagi ialah apabila ada perkhabaran yang bersedia untuk dibuktikan bahawa tindakan kedua-dua Adun itu adalah dengan pengarahan dan restu pimpinan kanan dalam jawatankuasa PAS Pusat. Ini sudah tersangat serius dan di luar jangkauan akal manusia yang waras!

Dalam keadaan itu tiba-tiba ada pimpinan kanan cuba mengalih perhatian ahli dengan membangkitkan isu kononnya ada usaha ke arah kerjasama PAS dan Umno. Kononnya ada institusi tertentu telah cuba dikuasai oleh "team" Umno. Fitnah apa yang sedang dimainkan ini?

Sangat menarik apabila diperhatikan bahawa sebelum ini isu Unity Goverment selalu dibangkitkan setiap kali muktamar hampir menjelang. Isu ini dibangkitkan bagi menimbulkan kesangsian kepada pihak tertentu dalam PAS khususnya Presiden PAS.

Malangnya apabila Konsesus Nasional ala UG dibangkitkan oleh pimpinan tertinggi PKR ianya seolah direstui. Media tidak sekali melaporkan usaha-usaha Konsesus Nasional ala UG ini diusahakan oleh pimpinan tertinggi PKR dengan pelbagai percubaan pertemuan.
Menariknya ia tidak pula menggerakkan pimpinan ini untuk menimbulkan persoalan dan mempertikaikannya. Lebih jauh ada yang menulis menyokong Konsesus Nasional dengan pelbagai hujah. Adakah kerana ia datang dari PKR maka semuanya adalah betul dan perlu dijulang dan jika datang daripada sebahagian pimpinan PAS maka ia adalah salah?

Maka tidak menghairankan apabila ada pula pimpinan tertinggi yang menyifatkan kenyataan Presiden dalam isu MB Selangor sebagai kenyataan peribadi. Walhal Presiden menegaskan keputusan PAS sebelumnya pada januari 2014 iaitu isu jawatan MB Selangor tidak berbangkit apabila PRK Kajang dipaksa berlaku oleh PKR.

Akhir-akhir ini ada usaha untuk mencemarkan nama Presiden dengan pelbagai bentuk pemberitaan negatif. Usah dikira serangan di facebook walaupun oleh mereka yang mengaku sebagai ahli PAS. Media tertentu dipergunakan secara terancang untuk menegatifkan imej Presiden PAS. Tapi sehari dua ini pula kelihatan Presiden cuba dipuji dan dipuja. Apa strategi di sebalik semua ini?

Ke manakah PAS ini ingin dibawa? Masihkah sebahagian pimpinan PAS berkiblatkan al-Quran dan Sunnah dalam percaturan politik mereka? Tepuk dada tanya iman!


ULASAN GB

Maka hukum kebenaran dan keadilan pun berjalan...

Terdedah kebenaran dengan tulisan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mohd Khairudin Aman Razali di atas dan apa yang dilaporkan oleh TMI & MK sebelum ini nampaknya BERNAR dan bukan fitnah sepertimana yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Dan ternyata juga tiada bukti portal-portal berkenaan BERNIAT JAHAT seperti yang dituduh oleh phak tertentu.

Kebenaran apakah yang terdedah dengan tulisannya di atas?

Pertama soal kerjasama PAS UMNO. Menurutnya

"Secara teknikalnya Khalid hanya mempunyai sokongan 26 Adun termasuk 13 Adun PAS dan 12 Adun Umno yang menyokong tanpa syarat. Beliau tidak boleh lagi dikekalkan sebagai MB dalam situasi dan realiti ini.

Walaupun tidak dinyatakan berterus-terang kerjasama PAS-UMNO, namun perenggan di atas jelas. TSKI hanya mmempunya 26 sokongan, 13 PAS + 12 UMNO + 1 Bebas = 26. Yang tak sokong 15 DAP + 13 PKR + 2 PAS= 30.

Meminjam istilahnya, SECARA TEKNIKALNYA, angka 26 diperolehi apabila PAS dan UMNO bekerjasama untuk menyokong Khalid.

Kedua, beliau semacam melepaskan geram kerana rahsia mesyuarat bocor.

Sudahlah perbincangan di aplikasi whatsApp dibocorkan. Perbezaan pandangan dalam mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat dibocorkan sewenang-wenangnya. Hatta perbezaan dan pertelingkahan dalam mesyuarat yang memang menjadi sebahagian resam mesyuarat diriwayatkan secara terperinci oleh media.

Membuktikan bahawa beliau mengakui apa yang dilaporkan oleh portal-portal berkenaan. Laporan yang dianggapnya sebagai rahsia mesyuarat.

Tak perlulah beliau mengutuk dan menghina siapa AJK yang membocorkan rahsia. Beliau menuduh AJK yang membocorkan rahsia itu tidak ada adab jemaah, khianat dan tidak amanah.  


Hakikatnya, yang tidak ada adab jemaah, yang khianat dan yang tidak amanah ialah mereka yang bersekongkol untuk bekerjsama dengan UMNO! Mereka itulah yang tidak ada adab jemaah, yang khianat dan yang tidak amanah kepada ahli-ahli PAS yang telah memutuskan di dalam Muktamar bahawa PAS hendaklah memperkukohkan Pakatan Rakyat, bukan bekerjasama dengan UMNO.

Allah Yang Maha Berkuasa dengan hukum kebenaranNya tidak mengizinkan rahsia pengkhianatan dan tidak amanah pemimpin tertinggi PAS itu tersimpan, maka terbocorlah ia melalui seorang (atau beberapa orang) AJK yang dipilih Tuhan untuk membocorkannya. Maka terselamat PAS daripada menerima hukuman Allah.

Syariatnya, yang membocorkan itu ialah AJK PAS, tetapi hakikatnya ialah Allah jua.

Ketiga persoalan wala kepada Majlis Syura Ulama. GB sebelum ini pernah mencadangkan supaya peranan dan keanggotaan Majlis Syura Ulama disemak semula kerana majlis yang ada kini tidak dapat diterima oleh MAJORITI ahli PAS. 


Ini kerana terdapat unsur manipulasi golongan tertentu di dalam parti memperalatkan majlis berkenaan untuk tujuan-tujuan tertentu. GB dah ulas sebelum ini di dalam entri bertajuk: Majlis Syura Ulamak Ada Kuasa Ke Atas Ahli Parti Lain?

Saranan GB telah disambut oleh calon Ketua Pemuda PAS yang penah gambarnya di"anjing'kan oleh golongan yang mengaku pro-ulama, Zulhazmi-At-takanan di dalam kertas cadanganya nya bertajuk MEMANTAPKAN DAN MEMPERKUKUHKAN MAJLIS SYURA ULAMAK (MSU) PAS. Petikan cadangannya:


A) Ahli yang hendak dilantik menjadi Ahli MSU hendaklah benar-benar menepati kelayakan yang ditetapkan oleh Fasal 8 (3)

B) Ahli yang hendak dilantik menjadi Ahli MSU hendaklah tiada pertalian keluarga dengan mana-mana pimpinan tertinggi parti di peringkat Pusat.

C) Ahli yang hendak dilantik menjadi Ahli MSU hendaklah tidak memegang apa-apa jawatan di dalam mana-mana badan lain di dalam PAS seperti JKPP, DUPP, DPPP dan DMPP.

D) Ahli yang hendak dilantik menjadi Ahli MSU hendaklah di dalam bidang-bidang ilmu Islam yang berlainan. E) Dalam menjalankan tugasnya di bawah Fasal 8 (1), MSU hendaklah mengambilkira atau mendapatkan pandangan badan lain di dalam PAS yang mempunyai kepakaran berkaitan sesuatu perkara.

Semenjak isu MB Selangor ini timbul, GB dan beberapa yang lain telah dimaki, dicerca dan dihina terutama oleh golongan yang menamakan diri mereka penyokong ulama, (malah ada yang mencadangkan supaya GB dipecat dari PAS), namun itu semua tidaklah menjejaskan samasekali perjuangan GB untuk menegakkan kebenaran dan keadilan. 


Segala kutukan, cacian dan makian itu bakal kembali kepada orang yang melakukannya. Dan setiap orang yang berpegang kepada kebenaran dan keadilan, hatinya sentiasa tenang kerana yakin hukum Allah tetap berjalan sepanjang masa dan bahawa "sibghah Allah" itulah yang terbaik dan terindah senantiasa...


"Sibghah (pewarnaan/celupan) Allah. Siapakah yang lebih baik sibghahnya dari sibghah Allah. Dan hanya kepadaNyalah kami menyembah." (Surah Al-Baqarah, ayat 138).









No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.