Mahkamah Tinggi Ipoh mengarahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu
Bakar menahan K Pathmanathan @ Muhd Ridhuan Abdullah dan mengambil anak
berusia enam tahun, Prasana Diksa dari jagaan lelaki tersebut.
Arahan tersebut perlu dilaksanakan dalam tempoh seminggu.
Arahan itu susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Lee Swee Seng yang mengeluarkan perintah mandamus supaya Khalid bertindak dan membuat tangkapan.
Hakim Lee juga menolak keputusan peguam kanan persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan arahan mandamus tersebut.
Ini berdasarkan satu tulisan MP Ipoh Barat, M Kulasegaran di Twitter. Kulasegaran merupakan salah seorang peguam yang mewakili guru tadika, M Indira Gandhi dalam kes penukaran agama sepihak dan perebutan hak jagaan anak.
Pendengaran di Ipoh itu dijalankan susulan permohonan semakan semula oleh Indira Gandhi pada Jun untuk mengarahkan Khalid menahan Ridhuan dan memulangkan anak tersebut kepada ibu berkenaan.
Ketua polis negara atau wakilnya perlu menjawab di mahkamah Ipoh bagi menjelaskan alasan untuk tidak membuat penahanan.
Laporan pada hari Rabu lalu menyebut, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Ridhuan untuk mendapatkan tempoh lanjutan bagi memfailkan memorandum rayuan selepas bantahan oleh peguam Indira Gandhi.
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.