Followers

Friday, September 5, 2014

Awas Dengan Kemunculan 'Golongan Baru' Dalam PAS


Bagi saya, sebagai seorang yang telah berada dalam PAS selama 30 tahun lebih, saya melihat PAS sedang berhadapan dengan masalah dalaman yang agak kronik sepertimana tidak pernah di hadapi sebelum ini. Saya sebenarnya lebih selesa berhujjah dari melabel mana-mana kumpulan sekalipun. 

Walaubagaimanapun saya terpaksa berbuat demikian setelah melihat munculnya golongan baru, yang tidak diketahui secara tepat kefahaman mereka berhubung kaedah dan pendekatan perjuangan PAS dalam membawa mesej Islam. 

Mereka merupakan muka baru yang muncul kebelakangan ini, iaitu pada tahun-tahun akhir 90an dan awal 2000. Tindakan mereka dilihat tersusun dan mengikuti strategi tertentu ke arah mencapai matlamat tertentu.

Matlamat disebalik strategi yang sedang dilaksanakan adalah supaya pendekatan inklusif yang diguna-pakai sekian lama oleh PAS sejak terlaksananya konsep kepimpinan ulama' akan ditukar dengan pendekatan yang lebih syadid dan tertutup. 


Ke arah tercapainya matlamat ini maka beberapa langkah dilaksanakan mengikut strategi mereka. Saya menamakan strategi ini ‘Langgar Golongan Profesional’.

LANGKAH PERTAMA STRATEGI ’LANGGAR GOLONGAN PROFESIONAL’
 
Langkah pertama mereka adalah menaikkan panji 'kepimpinan ulama' yang mana maksud dan tafsirannya adalah terpesong dari kefahaman asal golongan yang memperjuangkannya, termasuk diri saya sendiri.

Matlamat dari kefahaman asal tercapai dengan penubuhan Majlis Syura Ulama yang memantau perjalanan Parti untuk menentukan parti tidak terkeluar dari landasan syariat. 


Kefahaman ini memberi ruang yang begitu luas bagi semua yang ingin memperjuangkan Islam untuk menyertai PAS dan berperanan diperingkat perlaksanaannya, termasuk golongan profesional dan aktivis masyarakat. Maka cogan-kata "gandingan ulama' dan profesional" sering kedengaran pada zaman itu.

Kefahaman yang dibawa golongan baru adalah lebih mirip kepada fahaman 'Theocracy Barat' di mana yang bergelar ulama' (sebenarnya ustaz) perlu diberikan jawatan dan kedudukan walaupun mereka sendiri tidak begitu mahir dalam bidang yang ingin ditugaskan kepada mereka. 


Kononnya mereka sebagai 'pewaris Nabi' disebabkan ada ijazah dari Azhar, atau sebagainya, termasuk lulus 4 sanawi lebih layak walaupun jawatan yang diinginkan lebih bersifat eksekutif atau perlaksanaan. 

Ianya menyempitkan ruang keterlibatan semua pihak dan dengan sendirinya cogan-kata "gandingan ulama' dan profesional" sudah lama tidak kedengaran.

Setelah ahli biasa mula keliru berhubung konsep kepimpinan ulama', maka langkah kedua dilaksanakan.

LANGKAH KEDUA STRATEGI ’LANGGAR GOLONGAN PROFESIONAL’
 
Setelah menggelar diri mereka sebagai ulama' atau pembela kepimpinan ulama', golongan baru memulakan serangan terhadap pimpinan lama, khususnya yang terdiri dari golongan profesional yang pro-PR. 


Mereka bergerak melalui saluran tertentu di dalam Parti, melabel pimpinan sasaran mereka ini dengan label kononnya menentang ulama’, tidak wala’ pada Presiden, lebih wala’ pada PR/PKR, liberal, penaja projek langgar Presiden dan sebagainya. 

Pimpinan sasaran mereka, adalah terdiri dari golongan profesional yang kuat menyokong pendekatan tahaluf siyaasi dan kerjasama melalui PR.

Hujjah mereka disebar luas melalui program tertutup dalam mana pemikiran golongan muda diracuni untuk memusuhi pimpinan tertentu ini. Dengan menggunakan emosi dan sentimen, harapan mereka adalah supaya pimpinan sasaran mereka ditolak ahli PAS.

Pada masa yang sama, hubungan rapat antara profesional dan ulama’ juga dirosakkan dengan dimasukkan jarum syak dikalangan ulama’ terhadap profesional. 


Segala perbezaan pendapat yang merupakan suatu kebiasaan tempoh hari, ditonjolkan sebagai tindakan biadap terhadap ulama’ dan sebagainya. Mereka akan digambarkan sebagai lebih wala’ pada DSAI dari TGHH sendiri. Sedangkan mereka adalah ahli PAS dan bukan ahli PKR!

Dengan itu, harapan golongan baru adalah golongan profesional yang pro-tahaluf siyaasi bersama PR akan tersisih dari golongan ulama’ dan ahli biasa dan tidak lagi serapat seperti dahulu.

LANGKAH KETIGA STRATEGI ’LANGGAR GOLONGAN PROFESIONAL’
 
Setelah langkah kedua mula berkesan, golongan baru ini akan mulakan langkah ketiga.

Langkah ketiga adalah menyerang rakan PAS dalam PR. Pada awalnya PKR dan kemudiannya DAP juga. Peribadi Anwar Ibrahim turut menjadi sasaran sehingga tidak dapat dibezakan serangan mereka dengan serangan UMNO/BN terhadap beliau. 


Ketegangan antara parti PR adalah matlamat mereka dan dengan penuh emosi dan sentiment mereka laungkan “PAS yang terkuat, kita tidak perlukan PR, PAS dikudakan PR, tiada makna bersama PR” dan sebagainya, kesemuanya sama seperti yang dilaungkan macai UMNO.

Keadaan menjadi begitu keliru sehingga seolah-olah kesanggupan menyerang DSAI, PKR dan DAP menjadi bukti kesetiaan dan wala'nya seseorang kepada Presiden dan parti. 


Yang tidak sanggup menyerang dilihat sebagai kurang jelas fahaman mereka dan yang membela dan mempertahankan akan dilabel tidak wala' atau lebih wala' pada PR dari PAS. 

Akhirnya PAS dilihat lebih berlawanan dengan PKR dan DAP dari dengan UMNO/BN. Dan UMNO/BN sekadar melihat dan mentertawakan.

Oleh kerana usaha mereka ditumpukan kepada menyerang pimpinan Profesional pro-PR dan juga rakan-rakan dalam PR, golongan baru ini langsung tidak berperanan dalam menyerang UMNO/BN. 


Malahan sikap mereka terhadap UMNO/BN itu sendiri kelihatan lebih lunak dan mesra berbanding terhadap pimpinan sasaran mereka dan rakan dalam PR. 

Tidak salah kalau dikatakan bahawa sejak kemunculan golongan baru ini, UMNO/BN merasakan jauh lebih selesa kerana kerja UMNO sedang dilakukan oleh golongan ini!

Berselindung di sebalik slogan ‘cintakan Presiden, cintakan ulama’ dan sebagainya, mereka mengapi-apikan sentimen ahli untuk bersama mereka. Sedangkan yang dibawa mereka bercanggah dengan apa yang telah dan sedang diperjuangkan Presiden dan TGNA selama ini. 


Mereka membawa isu seperti ‘senario satu’, 'menjentik bukan Islam' dan ‘ketuanan Melayu’ yang kesemuanya begitu asing bagi PAS dan hasil pemikiran otak yang jauh terpesong dan terkeluar dari PAS.

MATLAMAT DI SEBALIK STRATEGI ADU-DOMBA GOLONGAN BARU
 
Mereka begitu konsisten dengan usaha melaga-lagakan di antara pimpinan dan juga antara PAS dan PR maka semestinya adanya matlamat tertentu yang ingin dicapai. 


Melalui strategi yang tersusun sebegini akhirnya kehendak mereka sebenar, iaitu untuk PAS tinggalkan PR, akan tercapai. Tinggalkan PR, samada untuk PAS bersama dengan UMNO atau bersendirian, itu belum jelas lagi. 

Dan semestinya, sekiranya bersama UMNO adalah apa yang diinginkan, mereka sudah pasti tahu bahawa ianya tidak mudah dilakukan dalam suasana sekarang. Oleh itu ianya akan dinafikan dan dinafikan tetapi hakikatnya serangan terhadap UMNO/BN semakin tidak kelihatan.

Namun yang jelas, yang diinginkan adalah supaya PAS tinggalkan PR dan dengan itu, secara sedar atau tidak sedar, UMNO/BN akan kembali bernafas lega. Igauan UMNO selama ini akan berakhir. 


Ini adalah kerana yang mampu mengalahkan UMNO/BN setakat ini adalah hanya PR. Oleh itu sesiapa sahaja yang berusaha menggagalkan PR sebenarnya membantu UMNO/BN.

Saya tidak tahu samada golongan baru ini sengaja ingin menggagalkan PR atas sebab mereka disokong UMNO/BN atau mereka berpegang kepada fahaman chauvanis-Islam seperti ISMA atau fahaman dan pendekatan yang seakannya.

INGATAN KEPADA SEMUA AHLI PAS

 
Saya mengingatkan ahli dan pimpinan supaya berwaspada dengan golongan baru ini. Siapa mereka sebenar tidak diketahui. Satu ketika dahulu, ahli-ahli PAS diberi amaran supaya awasi golongan ‘musta’jiluun’, iaitu golongan gopoh yang ingin membawa perubahan melalui kekerasan. Ahli diingatkan, mereka mungkin SB yang telah menyusup dalam PAS pada tahun 80an.

Hari ini saya juga ingin memberikan amaran, supaya ahli PAS supaya berwaspada dengan golongan baru ini. Mereka juga mungkin SB atau diperalat SB. Apa yang saya gambarkan di atas semua dapat lihat bahawa ianya sememangnya sedang berlaku. 


Kalau golongan baru ini bukan SB sekalipun, mereka paling kurang merupakan orang yang mahu merongkai kembali segala yang telah dibina PAS selama ini.

Dengan itu akan hilang segala yang tercapai sekian lama, termasuk kejayaan PAS menzahirkan corak politik Islam yang berprinsip, bersih, adil dan bebas perkauman.

Mungkin tanggapan saya terhadap mereka sebagai SB dan sebagainya tersilap, tetapi yang pasti mereka muka baru dengan sikap dan pendekatan baru. 


Dan sikap dan pendekatan mereka adalah kontra sikap dan pendekatan yang dibawa pimpinan lama. Sikap dan pendekatan mereka, sepertimana yang dizahirkan melalui ‘senario satu’, ‘jentik bukan Islam’ dan ‘ketuanan Melayu’ lebih mirip kepada Islam-chauvanis yang dibawa ISMA.

JEMPUTAN BERDEBAT/BERFORUM DENGAN GOLONGAN ADU-DOMBA
 
Untuk mengatasi masalah adu-domba melalui amalan label-melabel ini, saya di sini mengesyorkan supaya diadakan satu forum/debat tertutup di antara golongan yang digelar ‘profesional, erdogan, anwarinas’ dan sebagainya dengan golongan yang kononnya menggelarkan diri mereka sebagai penyokong ulama’ tersebut. 


Mari kita bertemu di medan perbahasan ilmiah dan tidak lagi di medan FB dan Blog. Biar hujjah kedua-dua pihak diuji kesahihan dan keabsahannya dimedan perbahasan secara bersemuka supaya dengan itu akan berakhir segala amalan tuduh menuduh yang merosakkan jemaah.

Melalui debat/forum ini akan kita nilai sejauh mana hujjah mereka tepat dan benar atau hanya sekadar ingin membawa kearah perpecahan demi agenda tersirat. Adakah mereka sanggup dan berani? InsyaAllah saya sanggup.

Saya mengalu-alukan sekiranya ada mana-mana pihak sanggup menganjurkannya, lebih-lebih lagi sekiranya di bawah naungan Dewan Pemuda Pusat.

 
WaLlahu 'Alam
 
KHALID SAMAD

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.