Tun Mahathir Mohamad mengkritik kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak kerana telah merosakkan hubungan antara kaum, merosakkan ekonomi dan kewangan negara.
Mahathir berkata, beliau tiada pilihan selain menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu.
Tun Mahathir Mohamad menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas melihat prestasinya lebih buruk berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.
Mahathir berkata, beliau tidak sangka pencapaian Najib dalam pilihan raya umum lalu lebih buruk berbanding Abdullah dan “dasar dan tindakannya juga tidak lebih berkesan” berbanding pendahulunya itu.
“Harapan saya Datuk Seri Najib akan mengambil ikhtiar dari prestasinya yang buruk dalam pilihan raya umum ke-13,” katanya.
“Malangnya sehingga kini tidak ternampak apa-apa perubahan dari segi dasar atau pendekatan walaupun saya cuba menyampaikan pendapat saya, (yang juga pendapat ramai yang datang bertemu saya) secara langsung kepada Datuk Seri Najib.”
Justeru, menulis dalam blognya hari ini,
“Saya tidak ada pilihan selain dari menarik balik sokongan saya. Ini pun tidak berkesan. Oleh itu terpaksalah saya menegur,” katanya.
Mahathir antaranya mengkritik tindakan Najib “melayan tuntutan musuh” dengan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), bersikap rendah diri kepada negara jiran serta memberikan layanan tidak saksama terhadap kaum dan parti yang menyelamatkan kerajaan.
Lebih sayangkan negara
Bekas perdana menteri juga mengkritik penggunaan wang kerajaan untuk mempengaruhi sokongan dalam pilihan raya, pengabaian industri tempatan, pertambahan cuti dan kenaikan gaji minimum.
“Sesungguhnya banyaklah dasar, pendekatan dan perbuatan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib yang merosakkan hubungan antara kaum, merosakkan ekonomi dan kewangan negara.
“Semua ini disebabkan penyokong kerajaan tidak pernah menegur pemimpin,” katanya yang sebelum itu yang antaranya menceritakan kisah dongeng terkenal “kisah maharaja bogel”.
Mahathir berkata beliau rela menerima akibatnya akibat menegur pemimpin nombor satu negara itu.
“Jikalau tiada siapa yang sanggup menegur, biarlah saya menegur. Saya pernah dipecat oleh Tunku Abdul Rahman, dipulau oleh Datuk Seri Abdullah dan difitnah oleh ramai. Jika kerana menegur saya akan didera, terpaksalah saya terima.
“Bukanlah saya tidak sayang pemimpin. Tetapi saya lebih sayang bangsa dan negara saya,” katanya.
MBOnline
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.