Followers

Saturday, August 23, 2014

“Untuk lawan kezaliman, tiada salah wanita jadi pemimpin” - (Oleh Fiza Abd Halim)

 black logo-01-01SHAH ALAM 22 OGOS: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, kepimpinan wanita merupakan salah satu penyumbang dalam pembentukan negara malah berjaya mengangkat agenda reformasi untuk golongan itu.

Ekoran itu, beliau mempersoal tindakan sesetengah pihak yang menggunakan hujah-hujah agama bagi menghalang dan menolak wanita dari terus menjadi pemimpin.

“Kita hairan mengapa sehingga ke hari ini masih ramai lagi di kalangan masyarakat kita yang masih anggap wanita selaku pemimpin dan ketua itu suatu yang asing dan taboo.

“Lebih-lebih lagi mereka yang menggunakan hujah agama bagi menghalang wanita dari terus memimpin,” kata Nurul Izzah dalam ucapan perasmian Kongres Nasional Wanita KEADILAN di Stadium Malawati Shah Alam, hari ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu malah menyokong usaha berani yang diberikan kepada wanita yang bertanding dan berkempen dalam arena politik dan menempa nama dalam sejarah politik tanah air.

“Sejarah telah membuktikan bahawa wanita turut mempunyai pengaruh yang besar dalam melakar corak pembentukan negara pada hari ini.

“Tokoh-tokoh seperti Shamsiah Fakeh, Tan Sri Paduka Seri (Dr) Aishah Ghani, Tan Sri Datin Sri Cempaka Kontik Kamariah dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang masing-masing telah memberikan sumbangan mereka yang tersendiri kepada Malaysia,” katanya mendapat tepukan gemuruh kira-kira 1,500 perwakilan seluruh negara.

Sehubungan itu, beliau menegaskan KEADILAN merupakan sebuah parti yang memperjuangkan keadilan buat semua dengan penumpuan mengurangkan jurang ekonomi sosial dan juga politik.

“Sasaran 30 peratus penglibatan calon wanita diterajui oleh KEADILAN dan jangan dilupa bahawa KEADILAN merupakan parti politik utama di Malaysia, di mana mempunyai seorang wanita sebagai Presiden parti.

“Jika yang dilawan adalah kezaliman, maka tiada salahnya perempuan untuk memimpin,” kata Nurul Izzah lagi.

Beliau merujuk pencalonan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Adun Kajang sebagai Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.


Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=62583

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.