KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam,
Khalid Abdul Samad sedang menimbang untuk mengambil tindakan
undang-undang terhadap media yang menyalah petik kenyataan beliau
berhubung kuasa Sultan dalam perlantikan Menteri Besar Selangor.
Menurut Khalid, beliau secara peribadi
tidak mengeluarkan kenyataan mempersoal kuasa mutlak Sultan Selangor
dalam perlantikan Menteri Besar seperti dilaporkan media.
Sebaliknya, beliau hanya menyatakan pandangan awam dari pengguna internet.
"Media salah petik kenyataan saya. Saya berkata itu pandangan pengguna internet. Bukan pandangan saya.
"Hakikat bahawa saya sebut PAS beri dua
nama jelas menunjukkan saya tiada masalah dgn amalan memberi dua nama tu
dan saya sebut "ada pandangan...." Bila ditanya pandangan siapa, maka
saya jawab "di alam maya, luar sana, ahli akademik, Tun Mahathir,"
katanya kepada Harakahdaily.
Jelasnya beliau lagi, beberapa media
telah membetulkan semula laporan mereka selepas ditegur termasuk The
Malaysian Insider dan Malaymail.
"Tapi New Straits Times (NST) dan Free Malaysia Today (FMT) masih mengekalkan yang tidak betul.
"Saya memberi peluang kepada mereka untuk membetulkan laporan mereka. Jika tidak, saya akan mengemukakan notis saman," katanya.
Semalam beberapa media melaporkan
kononnya Khalid menyatakan bahawa Sultan Selangor tidak sepatutnya
diberi kuasa mutlak melantik menteri besar.
Laporan itu didakwa dibuat Khalid pada satu sidang media semalam.
Ekoran itu juga, PAS melalui setiausaha
agungnya Datuk Mustafa Ali mendakwa kenyataan Khalid itu hanya bersifat
peribadi dan bukan pendirian rasmi PAS.
Dalam pada itu, Khalid turut memuat naik rakaman video sidang medianya semalam di blog beliau www.khalidsamad.com.
Dalam video itu menunjukkan, beliau ditanya wartawan tentang siapa memberi pandangan begitu.
"Di dalam internet di luar sana, di alam maya, di mana-mana, daripada ahli akademik, Tun Mahathir.
"Kamu ini saja nak kena sebut nama," jawabnya sambil ketawa.
- HARAKAHDAILY
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.