Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikehendaki di bawah undang-undang meletak
jawatan ekoran pengumuman PAS menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail, dan timbalannya Mohamed Azmin Ali, sebagai calon
pengganti menteri besar (MB) Selangor, menurut seorang pensyarah undang-undang.
Professor Gurdial Singh Nijar dari Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya
berkata sekiranya Khalid enggan mengundur diri, jawatan MB dan jawatan
ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) dianggap dikosongkan, tanpa
perlu Sultan Selangor menyingkirkan mereka dari kedudukan tersebut.
Gurdial merujuk penghakiman Mahkamah
Persekutuan dalam kes Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Datuk
Seri Dr Zambry Abdul Kadir, di mana diputuskan: "Apabila menteri besar
dimaklumkan dia hilang kepercayaan majoriti anggota dewan undangan, dia
dikehendaki dengan cara yang mulia meletakkan jawatan beliau dan jawatan
majlis eksekutif.
"Jika menteri besar enggan atau tidak meletak jawatan beliau dan majlis
eksekutif, hakikatnya ialah majlis eksekutif dibubarkan (yang juga
termasuk menteri besar) disebabkan oleh menteri besar hilang kepercayaan
majoriti ahli Dewan Undangan," kata Gurdial.
"Oleh itu ia tidak perlu untuk Sultan... menyingkirkan Nizar (menteri
besar Perak waktu itu) dan ahli majlis eksekutif. Sultan hendaklah
melantik seseorang yang mempunyai keyakinan majoriti ahli Dewan
Undangan."
Tambah Gurdial, berdasarkan kes sebelum ini, yang tinggal kini hanya untuk Sultan melantik "seseorang" sebagai MB.
suara pakatan daily
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.