Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata tidak menjadi masalah untuk
melantik wanita sebagai menteri besar di sesebuah negeri, bagaimanapun
kredibiliti dan kebolehan individu tersebut menggalas tugas perlu
dipertimbangkan.
Bekas mufti Perlis
itu berkata, dalam konteks Islam bidang kuasa menteri besar terbatas
tidak seperti khalifah terdahulu yang menguruskan secara langsung
ketenteraan, peperangan dan sebagainya.
“Pandangan ini tidak bererti saya bersetuju jika Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi menteri besar Selangor,
tetapi apabila kita katakan wanita tidak boleh menjadi menteri besar,
kita kena beri alasan kenapa agama tidak membenarkan," katanya kepada
Sinar Harian Online.
“Secara umumnya ada perbahasan serius
di dalam kitab fiqah berhubung perkara ini dan majoriti para sarjana
Islam tidak bersetuju wanita jadi khalifah dan mereka syaratkan lelaki.
Tetapi kuasa menteri besar terbatas tidak seperti khalifah,” katanya.
Beliau berkata, wanita dilantik sebagai pemimpin kini sudah menjadi
perkara biasa asalkan mempunyai keupayaan mentadbir kumpulan, organisasi
mahupun negeri.
Asri berkata, kebiasaan lelaki sebagai ketua atau pemimpin adalah tabiat manusia yang mahukan ia berlaku.
“Seperti contoh, calon presiden Amerika
Syarikat melantik lelaki walaupun mereka membincangkan hak wanita
tetapi mereka tidak pernah melantik wanita pun jadi presiden,
menunjukkan memang untuk jadi pemimpin mesti lelaki.
“Tabiat wanita sendiri pun meletakkan lelaki sebagai pemimpin mereka dalam rumah tangga dan sebagainya.
"Tetapi apabila bercakap mengenai pengurusan, wanita juga mampu urus
banyak perkara dan terbukti ada wanita yang menjadi guru besar, ketua
pejabat, menteri dan isu ini sepatutnya tidak timbul,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menyentuh isu wanita tidak sesuai menjadi
menteri besar di Selangor kerana tidak boleh mengiringi Sultan Selangor
Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menunaikan solat Jumaat adalah
sesuatu yang tidak wajar disensasikan.
“Ikut Sultan solat Jumaat bukan tugas hakiki menteri besar. Yang menjadi
persoalan adalah, adakah Wan Azizah layak? Ia tiada kaitan dengan
gender tetapi kemampuan beliau menjaga negeri,” katanya.
PKR pada mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Pusatnya pada 22 Julai lalu
mencapai keputusan untuk meletakkan Dr Wan Azizah sebagai pengganti Tan
Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi jawatan menteri besar Selangor.
Anwar berkata, Dr
Wan Azizah yang juga presiden PKR mampu memberi kestabilan kepada PR di
Selangor selain bertujuan menyelesaikan isu di negeri itu yang semakin
meruncing.
Bagaimanapun, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan
sokongannya agar Khalid dikekalkan kerana menurutnya semua hujah dan
pandangan majoriti akar umbi PAS sudah didengar dan kebanyakan bersetuju
Khalid dikekalkan atas konsep amanah yang ditunaikannya.
Hadi disokong Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz
Nik Mat yang turut mempertahankan Khalid kerana tidak melihat ada
kesalahan yang dilakukan ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu untuk
digugurkan daripada kerusi menteri besar.
Nik Aziz berkata, tidak ada sebab Khalid perlu digugurkan selepas
sepenggal memimpin dengan cemerlang dan terus meningkat selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lalu. ~sinar
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.