Laporan setebal 50 muka surat lebih, turut mempersoalkan integriti Menteri Besar selama dua penggal itu, akan mula diedarkan esok, kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Antara lain, nota tersebut turut menyentuh penyelesaian hutang Khalid berjumlah RM66.67 juta dengan Bank Islam menerusi penyelesaian luar mahkamah, selain penjualan tanah kepada pemaju Eco World di bawah kadar harga pasaran.
Saifuddin berkata, beberapa isu telah dibangkitkan yang meragui integriti Khalid selain turut menambah kepimpinan parti mendapati wujud keperluan untuk menjelaskan pendirian mereka.
"Saya harap nota ini dapat membantu membentuk gambaran yang lebih jelas dan diharapkan semua orang boleh faham atas asas dan alasan apa kami mahu menyingkirkan Khalid," kata Saifuddin di Ibu Pejabat PKR hari ini.
Sebelum ini, Saifuddin telah ditanya berhubung hasil pertemuan dengan beberapa orang pemimpin PAS semasa sambutan Aidil Fitri minggu lepas.
PKR telah mencetuskan 'Langkah Kajang' atau 'Kajang Move' untuk menggantikan Khalid dengan Presiden parti, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selepas banyak rungutan muncul terhadap bekas tokoh korporat itu mentadbir negeri mengikut kepala sendiri tanpa merujuk kepada pemimpin-pemimpin parti termasuklah pucuk pimpinan Pakatan.
Khalid, pada masa yang sama, enggan melepaskan jawatannya dan berikrar untuk terus kekal sebagai Menteri Besar sehingga tamat penggal ini.
Menjelaskan tentang urusniaga tanah, Saifuddin berkata, ia telah berlaku sebulan selepas Khalid mencapai persetujuan penyelesaian luar mahkamah dengan Bank Islam.
"Kami dapati wujud perkembangan yang mengukuhkan lagi kecurigaan kami terhadap urusniaga ini membabitkan keuntungan ratusan juta ringgit kepada Eco World Berhad, sebuah syarikat yang dikuasai oleh Tan Sri Rashid Manaf," kata Saifuddin.
Sambil menekankan tentang perlunya Wan Azizah menjadi calon tunggal untuk jawatan Menteri Besar menggantikan Khalid, Saifuddin turut berkata, Khalid gagal memberikan penjelasan yang memuaskan berhubung urusniaga yang amat mencurigakan itu, dan ini menyebabkan integritinya mula dipersoalkan.
"Khalid perlu memberikan penjelasan kepada kami. Kami telah memintanya untuk hadir tetapi kami masih belum mendapat sebarang jawapan yang memuaskan. Jadi, kami telah mencapai satu tahap di mana kami perlu memberikan penjelasan tentang hal ini," katanya lagi.
Menurut Saifuddin lagi, parti telah berusaha untuk melayan Khalid dengan menggunakan semua saluran yang ada selain memintanya untuk melepaskan jawatan secara baik.
Ketika ditanya sama ada Khalid akan dipecat daripada menjadi ahli PKR sekiranya terus berdegil enggan melepaskan jawatan, Saifuddin berkata, parti sedang mengkaji beberapa senario yang bersesuaian.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.