Followers

Thursday, August 14, 2014

KEPUTUSAN MESYUARAT AJK PAS PUSAT SUDAH 'BOCOR' SEBENARNYA?




SEPAKAT pertama, Kerusi MB Selangor diserahkan kepada PKR.  Itu yang diketahui sewaktu Mesyuarat Majlis Presiden PR yang telah diadakan kali pertama sejurus isu penukaran MB Selangor.  
Waktu itu, Pas diwakili oleh Timbalan Presiden, Tuan Hj Mat Sabu beserta 5 orang lagi dari PAS jika tidak silap termasuk SUA Tn Hj Mustafa Ali, Naib Presiden Us Tn Ibrahim, AJK Pas Pusat dan juga Sdr Suhaizan Kayat, Ketua Pemuda Pas Pusat.

Betul atau tidak PR sepakat dan memberi persetujuan bahawa Kerusi MB adalah untuk PKR?.  Cuma, calon yang dicadangkan oleh PKR iaitu Presidennya DS Wan Azizah itu saja yang masih belum dimuktamadkan oleh Pas dan DAP kerana masing-masing ingin membawa ke mesyuarat parti masing-masing terlebih dahulu.

Mungkin dalam perjalanan Mat Sabu pulang dari perjalanan, Tok Guru Presiden yang tidak hadir mesyuarat itu bersuara sebelum AJK Pas Pusat dan Majlis Syura bersidang dengan menyatakan Pas tetap akan menyokong TS Khalid sebagai MB Selangor atas alasan beliau tidak terlibat atau disabitkan dengan sebarang salah laku.  Ok, itu hak Pas dan kita wajib hormatinya.

Pas mengadakan Mesyuarat Majlis Syura iaitu badan tertinggi PAS serta merta agak ganjil kerana lazimnya Mesyuarat AJK Pas pusat dulu yang bermesyuarat kemudian akan dibawa ke badan tertinggi iaitu Majlis Syura untuk diputuskan.  
Kali ini aku rasa agak pelik tetapi tidak usah dipertikaikan kerana Pas yang lebih arif tentang prosedur parti mereka.

Mesyuarat Majlis Syura membuat keputusan selari dengan Tok Guru Presiden.  Ertinya, menyokong TS Khalid dikekalkan sebagai MB atas alasan yang sama.  
Manakala Mesyuarat AJK Pas Pusat pula asalnya mahu diadakan pada 10 ogos, kemudian ditunda pada 13 Ogos dan ditunda lagi ke 17 Ogos ini.  
Aku sudah tidak fokus sangat lagi bila Mesyuarat AJK Pas Pusat akan bermesyuarat kerana keputusannya telah diketahui umum iaitu keputusan dari Majlis Syura yang telah bersidang awal.  
Umpama pengadil telah meletakkan keputusan, maka para pemain masuk padang sekadar untuk panaskan badan.  Itu pun jika betul perumpamaan aku.  Jika tidak betul, ertinya keputusan Mesyuarat AJK Pas Pusat mungkin boleh mengubah keputusan Majlis Syura.  Boleh kah begitu?

Itu kita tidak perlu pertikai kerana itu juga urusan Pas.  Kita tidak tahu apakah di dalam mesyuarat pada 17 Ogos (jika tidak tangguh lagi) nanti semua AJK Pas Pusat hanya diberikan salinan keputusan Majlis Syura kemudian angguk dan balik.  
Itu tidak pasti.  Itu semua urusan Pas yang sudah lebih 50 tahun pengalaman di dalam berpolitik dan tentunya bertambah baik perjalanan parti itu.

Apa yang mahu disebut, PKR dan DAP yang telah sepakat menyokong DS Wan Azizah sebagai MB Selangor tidak perlu mendesak jauh sekali memaksa PAS untuk membuat keputusan yang telah 'bocor' itu.  
Apa yang patut dibuat, jangan ganggu proses yang akan Pas lakukan sebaliknya mesti bersedia dengan langkah seterusnya.  

Buat ahli-ahli PKR pula khasnya, kita mesti bersedia menerima apa saja keputusan dan arahan parti selagi tidak memaksa kita melakukan perkara-perkara yang menyalahi hukum agama.  
Menukar pemimpin atas sebab-sebab tertentu atau disiplin bukan satu perkara keji atau maksiat.  Itu proses biasa, dan parti hanya perlu berunding dengan rakan-rakan PR sepertimana yang telah pun dilakukan itu.  Hak memecat ahli, itu hak parti dan ini semua mesti dihormati sesama PR.  
Semua parti pernah pecat ahli masing-masing dan kita tak perlu soal jawab dengan banyak.  Parti tidak semudah dan sebodoh itu untuk pecat ahli apatah lagi ahli yang berjawatan tinggi seperti MB.  Tentu ada sebab musababnya. 

Kini, TS Khalid telah dipecat.  Beliau kini Bebas.   Bebas bukan dari PR.  Muafakat PR selama ini adalah menyokong sesama kita.  
Apakah ianya berlaku sekarang?  Tidak.  Mengapa tidak?  Adakah kita sanggup khianat rakan?  Belum tentu khianat.  
Habis tu, bagaimana kedudukan sekarang?  MB kini orang Bebas.  PR mahu sokong Bebas atau tidak?  PKR tidak sokong dan DAP tegas tidak sokong Bebas.  Bagaimana dengan PAS?  Tunggu 17 ogos....itu jawapannya.  
Apa ada pada 17 Ogos?  Jawapannya ada pada keputusan Majlis Syura yang lalu sekiranya Pas tidak melakukan "U-Turn".  

Aku tetap yakin, sebagai sebuah parti Islam, mustahil Pas tergamak memungkiri persefahaman yang terjalin.  Sedangkan Nabi pun taat kepada perjanjian bila berurusan dengan puak kafir. 


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.