ULASAN Memerhati dengan sabar episod demi episod krisis kepimpinan yang berlaku di Selangor ketika ini.
Pelbagai karenah dan sikap pemain politik di sana kadangkala membenihkan rasa jelik dan meluat anak-anak muda terhadap peristiwa ini.
SAMM Johor tidak mahu mengulas panjang kemelut yang berlaku ataupun menyebelahi mana-mana pihak. Sebaliknya ingin melihat kemelut ini segera berakhir demi mendepani kepentingan rakyat keseluruhannya.
Pertukaran menteri besar bukanlah sesuatu yang pelik dalam negara ini. Ia bolehlah dikira sesuatu yang normal untuk seorang pemimpin datang dan pergi.
Malahan, amalan demokrasi berperlembagaan juga tidak menyatakan kesalahan untuk proses pertukaran ini dilakukan. Sementara, kerusi menteri besar bukanlah milik mutlak mana-mana individu.
Ketika ini nampaknya kedua-dua pihak mendakwa mereka mendapat sokongan majoriti. Maka adalah lebih baik kedua-dua pihak bertentangan ini dengan jiwa besar segera mengadakan sidang khas Dewan Negeri Selangor bagi membincangkan perkara ini untuk membolehkan satu keputusan diraih sama ada undi tidak percaya mendapat sokongan atau tidak di dalam Dewan Negeri Selangor.
Mana-mana pihak yang tidak dapat sokongan nanti hendaklah bersedia untuk berundur dengan terhormat.
Adalah tidak berhemah apabila kedua-dua pihak hanya menggunakan persepsi dan media massa sahaja untuk menunjukkan tahap sokongan kepada mereka.
Ia harus diterjemahkan dengan keputusan di dalam Dewan Negeri Selangor yang mana akhirnya kredibiliti Kerajaan Negeri Selangor di bawah payung DYMM Sultan Selangor itu tidak terus tercalar dengan pelbagai cakap-cakap dan kontroversi.
Ataupun memohon perkenan DYMM Sultan Selangor untuk membubarkan Dewan Negeri bagi membuka jalan satu Pilihanraya Negeri Selangor diadakan dan rakyat Selangor sendiri akan menentukan kepada siapakah mandat memerintah itu akan diserahkan.
SAMM Johor sangat berharap kepada semua pihak yang terlibat dalam krisis kepimpinan ini untuk memikirkan kemaslahatan dan kesejahteraan negeri dan rakyat Selangor di kala pelbagai masalah yang sedang dihadapi mereka ketika ini.
Krisis ini telah pun melalui tempoh masa yang amat panjang.
Ketidakstabilan dan ketidaktentuan politik ini tidak akan memberikan impak positif kepada rakyat dan negeri Selangor malahan kepada keseluruhan Persekutuan Malaysia.
Tindakan melengah-lengahkan penyelesaian tuntas masalah ini hanya akan mengheret pelbagai lagi perkara-perkara yang tidak langsung memberikan nilai tambah kepada persekitaran politik tanahair yang telah sedia muram dan juga kepada kehidupan seluruh rakyat.
Malahan, krisis panjang ini juga telah melahirkan tindakan-tindakan yang pra-matang dan tidak rasional yang menjadi bahan tawa bukan sahaja rakyat tempatan malahan negara-negara jiran.
Pemimpin dan penyokong parti-parti politik pula perlu segera menghentikan pesta mencerca, melondeh dan memburukkan satu sama lain.
Krisis yang berlaku sudah pun cukup melukakan demokrasi negara. Tidak perlu lagi ditambah dengan perangai keanak-anakan.
Cukuplah dengan segala episod menjelikkan ini. Kembali kepada amalan demokrasi berperlembagaan dan dengarlah rintihan suara rakyat Selangor.
Bagaimanapun, SAMM Johor melihat krisis kepimpinan Selangor ini adalah satu lagi proses kematangan politik domestik.
Apa yang perlu ketika ini adalah semua pihak berjiwa besar dan mengambil pendekatan yang positif bagi menyelesaikan krisis ini dengan segera.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.