Followers

Sunday, July 6, 2014

Masa untuk Najib buang dinasour daripada kabinetnya Shahbudin Husin

"Menteri-Menteri Dinasour" Dalam Kabinet Najib

 
 
SUARA LANTANG: Cara Menteri Pembangunan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberi reaksi dan mahu bertindak terhadap golongan gelandangan dan pengemis di ibukota menyerlahkan bahawa beliau tidak sesuai lagi menjadi menteri atau berhadapan dengan isu-isu yang melibatkan rakyat bawahan.


Beliau  boleh dianggap "menteri dinasour" yang sudah ketinggalan zaman dengan pemikiran semasa, kontemporari, realistik  serta terbuka dalam menyelesaikan sesuatu isu.  Jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selalu mengingatkan bahawa "era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berakhir",  Datuk Seri Tengku Adnan sebaliknya masih lagi berfikiran "kerajaan sentiasa betul selama-lamanya".
Sebab itu, tidak menghairankan pelbagai label dihamburkan kepada ideanya mengenai usaha mahu menghapuskan golongan gelandangan dan pengemis itu, malah Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi  Ideris tanpa ragu-ragu menyifatkan kenyataan Menteri Pembangunan Wilayah Persekutuan itu sebagai bodoh dan tidak masuk akal.
Dalam usaha mahu membersihkan golongan gelandangan, Tengku Adnan mahu NGO Dapur Jalanan yang selalu memberi makanan kepada golongan itu agar menghentikan amalan itu kerana ia menyebabkan golongan itu menjadi terus malas serta menyebabkan kekotoran. Beliau kemudiannya mensyaratkan jika mahu melakukan juga pemberian makanan itu, ia mestilah di luar 2 kilometer jaraknya daripada Kompleks Lot 10 di Bukit Bintang.
Mengenai pengemis pula, beliau melarang orangramai daripada terus menderma kepada golongan itu dah jika didapati berbuat demikian akan disaman serta-merta oleh DBKL dengan nilai kompaun sehingga RM150.
Memandangkan kenyataan dan larangan ini dikeluarkan dalam bulan Ramadan yang memang digalakkan umat Islam menderma, bersedekah dan membantu golongan susah, Tengku Adnan akhirnya berhadapan dengan kecaman yang berterusan daripada pelbagai pihak. Malah dua menteri kabinet sendiri iaitu Khairy Jamaluddin dan Datuk Abdul Rahman Dahlan turut tidak bersetuju dan membantah pendirian Menteri Pembangunan Wilayah Persekutuan itu.
Bagi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, selain menolak aktiviti pemberian makanan itu mengotorkan kawasan, beliau juga mahu DBKL dan Kementerian  Pembangunan Wilayah Persekutuan agar sentiasa bekerjasama dengan NGO yang bertindak sukarela memberi makanan itu supaya  program kemanusiaan itu sentiasa dapat diteuskan.
Katanya, apa yang perlu difokuskan oleh kerajaan dan DBKL ialah membasmi kemiskinan dan bukannya menutup pandangan orangramai daripada melihat rakyat yang miskin.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan pula berkata, kewujudan gelandangan adalah fenomena biasa di mana-mana juga bandar besar di dunia ini dan kerajaan seharusnya bersikap prihatin serta melindungi mereka  selagi mereka tidak terlibat dengan kegiatan jenayah atau merosakkan harta benda awam.
Dalam isu gelandangan ini, Tengku Adnan dan DBKL sepatutnya berterima kasih kerana adanya NGO yang sanggup memberi makanan secara sukarela tanpa mengharapkan duit daripada kerajaan. Mereka ini mencari sendiri tajaan atas nama kemanusiaan. Seharusnya DBKL bekerjasama dengan menyediakan tempat yang sesuai, meletakkan tong sampah dan menghantar pekerja untuk membantu menjaga kebersihan persekitarannya.
Tengku Adnan dan DBKL mungkin boleh melarang NGO Dapur Jalanan itu menjalankan aktivitinya jika kerajaan sudah menyediakan rumah perlindungan dan makanan yang mencukupi untuk mengawal golongan tersebut. Isunya ialah adakah semua usaha-usaha itu dilakukan oleh kerajaan?
Begitu juga dengan aktiviti pengemis, kenapa mahu dilarang orangramai daripada menderma dan bersedekah sedangkan kerajaan sendiri tidak pernah serius mahu membersihkan golongan tersebut?  Bersih dan bebaskan dulu ibukota daripada golongan pengemis ini sebelum bercakap yang menyakitkan hati mahu mendenda mereka yang menderma dan bersedekah. Hak menderma dan bersedekah dan kepada siapa ia mahu disumbangkan adalah kebebasan individu yang tidak boleh sama-sekali ditentukan, apatah lagi dikompaun oleh kerajaan.
Dengan dua menteri muda yang lebih berfikiran terbuka dan memahami bagaimana kerajaan bertindak terutamanya yang melibatkan gelandangan, orang susah dan pengemis, Tengku Adnan jelas semakin tersisih daripada keperluan zaman. Beliau hanyalah menunjukkan wujudnya seorang lagi "menteri dinasour" dalam pentadbiran kerajaan sekarang setelah rakyat sudah cukup terseksa dengan sikap beberapa menteri seperti antaranya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hassan Malek sebelum ini.
Datuk Seri Zahid selaku Menteri Dalam Negeri sebelum ini membenarkan polis menembak dulu penjenayah sebelum menyiasat manakala baru-baru ini pula mengatakan insiden kepala lembu yang diletakkan di hadapan rumah ADUN Seri Delima, RSN Rayer adalah sebagai balasan atas keceluparannya mengatakan "UMNO Celaka" sebelum ini.
Wajarkah seorang menteri yang bertanggungjawab terhadap soal keselamatan negara dan ketenteraman awam memberikan reaksi remeh, tidak masuk akal dan di luar daripada konteks kewajaran sebahagian daripada kehidupannya sebagai menteri dibayar melalui wang cukai rakyat dan bukannya daripada tabung UMNO?
Datuk Seri Hassan Malek, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pula sebelum  ini menyarankan rakyat jangan makan ayam, sebaliknya memilih ikan atau daging apabila memberi reaksi mengenainya harga ayam yang semakin meningkat ketika Hari Raya tahun lalu. Hairannya, walaupun sebagai menteri, beliau seolah-olah tidak tahu bahawa harga ikan dan daging tempatan jauh lebih mahal berbanding ayam.
Selain Datuk Seri Zahid dan Datuk Seri Hassan, beberapa lagi menteri turut layak digelar "menteri dinasour" apabila didapati memberi kenyataan tidak wajar, tidak masuk akal dan hanya menjadi bahan ketawa masyarakat seperti memberi komen agar rakyat menanam sayur di rumah masing-masing dan belajar di luar negara jika tidak suka dengan sistem pendidikan yang ada.
Kini, tidak diragukan lagi bahawa Tengku Adnan turut layak dimasukkan dalam senarai "menteri-menteri dinasour" itu yang seharusnya Perdana Menteri tidak perlu berfikir panjang lagi untuk menyingkirkannya jika inginkan program-progtam transformasinya menghasilkan kejayaan serta diterima rakyat.mKewujudan pemimpin-pemimpin seperti mereka ini hanya mencacatkan lagi kedudukan kabinet yang sudah banyak dipertikaikan dengan saiz besarnya yang merangkumi 35 orang menteri setakat ini.
Tidak guna mempunyai saiz kabinet yang besar jika hanya dipenuhi dengan "dinasour-dinasour"  yang tidak mampu hidup dan menyesuaikan diri dengan perubahan zaman serta menjadi kemarahan rakyat saja. Jika ingin BN terus berkuasa, inilah masanya untuk Datuk Seri Najib bertindak dan menilai semula menteri-menteri lantikannya sebelum rakyat membuang mereka bersama dengan Perdana Menteri sekali.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.