Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai (gambar) mengesahkan maklumat dari kotak hitam pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di Ukraine tidak diganggu.
Beliau berkata pasukan siasatan antarabangsa sedang memperoleh maklumat termasuk suara rakaman dari kokpit selain kandungan data penerbangan yang akan didokumentasi.
“Kotak hitam dibuka dan ia tidak dirosakkan atau dicemari. Kandungan percakapan dalam kokpit boleh didengar dengan jelas.
“Butirannya akan dikaji jawatankuasa siasatan. Kita mahu kebenaran dari kejadian ini," katanya kepada pemberita sekembali dari Amsterdam di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) hari ini.
Kotak hitam itu dihantar ke Farnborough, barat daya London oleh Lembaga Keselamatan Belanda (OVV) yang mengetuai siasatan antarabangsa.
Liow berkata usaha memindah mayat mangsa dari kawasan nahas ke Belanda akan diteruskan hingga Ahad ini.
Beliau berkata lebih 20 anggota pasukan pengecaman mangsa bencana (DIV) dari Malaysia berada di Amsterdam bagi membantu pakar Belanda untuk mengenali mayat yang dikumpul dari kawasan pesawat terhempas.
“Bedah siasat bermula semalam dan ia akan mengambil masa kerana ia perlu dilakukan secara teliti. Kita meminta pihak Belanda untuk mempercepat prosesnya dan kita akan menghantar lebih banyak bantuan jika perlu," katanya.
Beliau berkata tiga pakar Malaysia mengumpul data dan bukti di kawasan nahas di timur Ukraine.
Liow turut menggesa badan antarabangsa untuk memberi sokongan bagi memastikan laluan selamat ke kawasan nahas untuk membolehkan pasukan penyiasat melakukan siasatan terperinci dan menyeluruh.
“Kita tidak mendapat akses penuh (ke kawaasn kemalangan). Kita tidak boleh memindahkan bangkai pesawat dan terdapat banyak sekatan. Kita mahu mencari dan melihat perkara ini," katanya.
Pesawat Boeing 777-200 itu dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia dipercayai ditembak dengan peluru berpandu dari bumi ke udara pada 17 Julai.
Ia yang membawa 298 orang terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine.
Mengenai punca nahas, Liow berkata ia akan dilakukan secara terperinci dan menyeluruh menerusi bantuan pasukan penyiasat antarabangsa.
"Kita akan melihat dari segenap sudut termasuk dari aspek jenayah supaya kita boleh mencari punca sebenarnya. Kita mahukan keadilan," kata beliau. – Bernama, 25 Julai, 2014.
themalaysianinsider.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.