Bala, penyiasat persendirian yang menjadi saksi dalam kes pembunuhan
Altantuya, meninggalkan Malaysia secara tergesa-gesa selepas
menandatangani akuan bersumpah (SD) pada 2008 untuk menafikan
penglibatan Najib dalam kes tersebut.
The Malaysian Insider sudah melihat saman difailkan minggu ini di
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh balu Balasubramaniam, A. Santamil
Selvi dan anak-anaknya terhadap sembilan orang.
Mereka termasuk Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, adiknya Datuk
Ahmad Johari Abdul Razak dan Datuk Mohd Nazim Abdul Razak, peguam kanan
Tan Sri Cecil Abraham dan anaknya, Sunil Abraham, pesuruhjaya sumpah,
Zainal Abidin Muhayat, peniaga permaidani, Deepak Jaikishan dan peguam
M. Arunapalam.
Peguam mewakili keluarga sedang dalam proses menyerahkan surat mahkamah
kepada defendan, termasuk Cecil yang sedang berdepan prosiding
tatatertib oleh Jawatankuasa Lembaga Disiplin Peguam dan Peguamcara
(JDPP) kerana peranannya dalam SD kedua Bala.
Selvi dan anaknya sedang menuntut gantirugi terhadap kerugian ditanggung
semasa hidup dalam buangan di antara Julai 2008 dan awal tahun lepas.
Bala meninggal dunia pada 15 Mac lalu selepas serangan jantung, beberapa
minggu selepas pulang dari India.
Menurut saman itu, pihak keluarga berkata para defendan menyebabkan SD
kedua Bala "didraf tanpa arahan si mati dan menyebabkan si mati
menandatanganinya dengan ancaman dan paksaan”.
Keluarga menuntut sejumlah RM840,000 untuk 56 bulan hidup dalam buangan
dari Malaysia. Jumlah itu termasuk menyewa pangsapuri di India, yuran
sekolah, kehilangan pendapatan balu Bala sebagai guru tadika, pinjaman
perumahan, kos pengangkutan dan kerugian am dan khas lain.Saman itu
difailkan oleh peguam Bala, Americk Singh Sidhu.
Bala menjadi terkenal selepas bekerja untuk penganalisis politik
terkemuka, Abdul Razak Baginda dalam kes pembunuhan Altantuya. Beliau
menarik kembali SD pertamanya mengenai perkara itu pada 4 Julai 2008.
Dalam SD keduanya, Bala mendedahkan beliau mahu “menarik kembali
keseluruhan kandangan akuan bersumpah bertarikh 1 Julai, 2008."Saya
dipaksa mengeluarkan akuan bersumpah tersebut dalam keadaan terpaksa,”
katanya.
SD kedua itu juga menyatakan semua kenyataan dibuat sebelumnya tidak
tepat dan tidak benar.Semasa sidang media mengumumkan SD kedua itu di
sebuah hotel di Kuala Lumpur, Bala mendiamkan diri manakala peguam
barunya, Arulampalam, yang menjawab soalan wartawan.
Mereka meninggalkan sidang media selepas mengedarkan SD kedua.
Arulampalam mengatakan anak guamnya sedang tertekan dan sedih.Sehari
sebelum itu, pada 3 Julai, 2008 Bala memberitahu sidang media dipenuhi
wartawan anjuran Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai
kandungan SD pertama tentang penglibatan Najib dan beberapa yang lain
dalam pembunuhan Altantuya pada 2006.
Americk merupakan peguam Bala. Abraham berdepan dengan tindakan Majlis
Peguam kerana beliau mendraf SD kedua penyiasat persendirian itu.Majlis
Peguam mengemukakan aduan terhadap Abraham kepada jabatan disiplin tahun
lalu dan pengerusinya, Christopher Leong hadir pada Mac di depan
jawatankuasa itu memberi keterangan dalam sesi tertutup.
Deepak sebelum itu mengaku membantu Bala untuk menarik SD pertama dan
mencarikan peguam untuk mendraf SD kedua.Americk mendedahkan mengenai
perbalahan SD apabila beliau membaca kenyataan disediakan Mesyuarat
Agung Tahunan (AGM) ke-67 Majlis Peguam Malaysia tahun lalu, di mana
beliau berkata, "Tan Sri Cecil Abraham mengakui kepada saya dia adalah
orang yang menggubal akuan bersumpah kedua".
Americk kemudian memberitahu pemberita di luar AGM arahan kepada Abraham
datang daripada Najib, ketika itu timbalan perdana menteri.Dalam kes
pembunuhan Altantuya, dua bekas komando polis, Koperal Sirul Azhar Umar
dan Ketua Inspektor Azilah Hadri yang dituduh membunuh Altantuya
didapati bersalah dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Sabitan mereka bagaimanapun dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada tahun
lalu, dan keputusan itu dirayu Putrajaya. Abdul Razak, yang didakwa
bersubahat dengan mereka, dilepaskan pada 2008. ~tmi
Addin
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.