Followers

Sunday, June 8, 2014

MB Johor buat pusingan ‘U’ bentang rang baru, pinda kuasa sebagai penasihat Sultan



Rang undang-undang perumahan kontroversi negeri Johor akan dipinda untuk mengubah keputusan awal dengan memberi kuasa penuh kepada Sultan, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Khaled berkata, peruntukan tersebut akan dimasukkan dalam Rang Undang-Undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) 2014 di mana Sultan akan membuat keputusan atas nasihat menteri besar, lapor The Star Online.

Khaled juga dilaporkan berkata, lain-lain klausa dalam Rang Undang-Undang yang menyebut Sultan Johor akan ditukar kepada "kuasa kerajaan negeri".

Ad by Web Shield
Rang undang-undang tersebut akan dibentang dalam sidang DUN esok.

Sebelum itu, laporan awal mendedahkan ia akan memberi kuasa penuh kepada Sultan untuk melantik ahli lembaga pengarah LPHJ, memantau akaunnya dan juga membubarkan lembaga itu.

Malah turut difahamkan, Sultan Johor juga boleh menentukan ganjaran ahli lembaga pengarah, meluluskan pelantikan pengarah dan meluluskan anggaran belanja setiap tahun berikut sebelum mendapatkan kelulusan kerajaan negeri terlebih dahulu.

Pengumuman Khaled tersebut selepas kritikan dua parti Pakatan Rakyat (PR), DAP dan PAS yang mendesak supaya rang tersebut digugurkan kerana ia membelakangi sistem Raja Berperlembagaan dan memberi kuasa eksekutif kepada Sultan.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong juga menggesa mendedahkan kepincangan dalam rang tersebut serta mendesak supaya ia ditangguhkan sebelum dibentang.

Antara kesilapan yang dikenal pasti adalah rang di dalam versi bahasa Inggeris yang mempunyai kesilapan ejaan seperti "business" tersalah eja sebagai "bossiness" serta beberapa perkataan lain hilang dalam rang tersebut.

"Ia membuktikan rang undang-undang tersebut belum bersedia untuk diluluskan," kata Liew.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu juga membidas campur tangan Istana Johor dalam pentadbiran kerajaan negeri dengan menyifatkannya mencemar sistem Raja Berperlembagaan yang menjadi amalan negara sejak merdeka.

Pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari tidak menolak konflik akan wujud antara istana dan kerajaan sekiranya diberikan kuasa langsung dalam pentadbiran.

Aziz berkata, tindakan tersebut akan menyebabkan kuasa yang diperuntukan dalam DUN berkurangan, sekaligus menganggu pentadbiran negeri Johor jika ia diteruskan.

Kritikan turut disuarakan oleh bekas Pengerusi Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim yang mendakwa Khaled akan terpaksa mengikut telunjuk Istana Johor jika rang undang-undang itu diluluskan.

Hasrat kerajaan negeri itu menimbulkan tanda tanya dan mendapat pelbagai reaksi termasuk tentangan sesetengah pihak.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga berkata cadangan pembentangan satu enakmen baru bagi penubuhan LPHJ mestilah membawa kebaikan, manfaat dan melindungi kepentingan semua terutama rakyat.

Najib menegaskan enakmen itu juga mestilah selari dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan yang mengangkat sistem Raja Berperlembagaan dan sistem Demokrasi Berparlimen serta amalan demokrasi negara ini. – 8 Jun, 2014.


http://www.themalaysianinsider.com/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.