Followers

Sunday, June 8, 2014

Keluarga kru MH370 kongsi tangisan dan kenangan di majlis amal



Penyanyi Atilia Haron menyanyi lagu tema MH370 bersama ahli keluarga anak kapal di pentas.

Penjual kereta Lee Khim Fatt terpaksa menahan sebak ketika membacakan sajak bagi isterinya, pramugari Foong Wai Yueng, semasa malam penghormatan anak kapal pesawat Malaysia Airlines, MH370 semalam.

Lee berdiri di pentas berpakaian kemeja putih yang menjadi tema malam itu, dan membacakan sajak oleh Dr Timothy Sng dengan nada perlahan.

Ketika membacanya, suara Lee mulai serak. Beliau menangis ketika menghabiskannya, penuh dengan rasa kehilangan.

Ramai di antara hadirin majlis amal tersebut tidak dapat menahan air mata.

Bapa kepada dua anak berumur 4 dan 10 tahun adalah antara tiga ahli keluarga yang membacakan sajak dan nota cinta di majlis yang diadakan di Hotel Empire Subang itu.

Anak perempuan penyelia penerbangan Patrick Francis Gomes, Nicolette, dan adik perempuan pramugara Mohd Hazrin Hasnan, Syafinaz, juga membacakan nota cinta daripada kakak iparnya untuk Hazrin.

Nota itu ditulis pada hari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di Lautan Hindi, di selatan Perth, Australia.

Isteri Hazrin, Maizura Othaman turut hadir bersama Muhammad, anak kedua pasangan tersebut yang lahir baru 20 hari yang lalu.

Gomes, Hazrin dan Foong antara mereka yang hilang bersama 12 anak kapal dan 227 penumpang Boeing 777-200ER yang hilang dalam perjalanan ke Beijing pada 8 Mac.

Turut hadir semalam adalah keluarga Andrew Nari, Goh Sock Lay, Tan Ser Kuin, Wan Swaid Wan Ismail, Junaidi Mohd Kassim, Ng Yar Chien dan Tan Size Hiang.

Rakan sekerja mereka juga hadir untuk memberikan sokongan kepada ahli keluarga anak kapal, serta individu-individu dan syarikat yang menyumbang kepada majlis makan malam tersebut.

Acara semalam dianjurkan oleh Kesatuan Kebangsaan Penyelia Penerbangan Malaysia (Nufam) dan berjaya mengumpul RM50,000.

Presiden Nufam, Ismail Nasaruddin berkata malam penghormatan itu adalah satu cara untuk membantu keluarga kru MH370 pada masa yang sukar ini.

"Majlis makan malam ini bukan bertujuan berkabung untuk mereka tetapi untuk memberi harapan kepada keluarga-keluarga yang kehilangan orang yang tersayang."

Beliau berkata majlis tersebut juga adalah penghormatan kepada anak kapal MH370 yang digelar 'hero'.

Sokongan juga diberi oleh bekas menteri wanita, keluarga dan pembangunan masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang juga pengerusi Yayasan Kebajikan Negara.

Sementara pihak berkuasa berhenti sejenak dalam misi mencari dan menyelamat untuk bersedia untuk fasa seterusnya, keluarga penumpang MH370 tetap memberi tekanan kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan kebenaran.

Sarah Bajc, teman wanita Philip Woods yang juga antara penumpang MH370 berkata saudara maranya sedang melancarkan kempen 'crowdsourcing' untuk mengumpul dana bagi pemberi maklumat dan penyiasat persendirian untuk mendedahkan butiran penting tentang siasatan.

Kempen yang dinamakan 'Reward MH370: The search for the truth' akan dilancarkan esok pada laman web 'crowdsourcing' Indiegogo, dengan minimum derma US$5.

Kempen tersebut merupakan inisiatif ahli keluarga daripada US, Australia, New Zealand, Perancis dan India, dan tidak termasuk saudara mara penumpang China atau Malaysia, yang merupakan majoriti penumpang penerbangan tersebut. – tmi
 

Bloglist Malaysia

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.