Sebenarnya kedai yang orang ramai pergi beratur di Pekan Ipoh itu adalah nasi ganja.
Terlebih dulu saya nak bagi tau saya biasa pakai perkataan Pekan Ipoh sebagai menggantikan Bandar Ipoh. Begitu juga kalau di Butterworth atau Georgetown saya suka menggunakan perkataan Pekan berbanding perkataan Bandar.
Terutamanya di kawasan bandaraya lama seperti Ipoh, Melaka, Pulau Pinang, Perak atau mana mana saja yang dah lama berdiri gagah sampai sekarang, saya lebih suka sebut sebagai Pekan.
Ia ada satu makna istimewa yang melambangkan warisan sejarah apabila saya sebutkan perkataan Pekan berbanding Bandar.
Mungkin dah terbiasa dan rasa selesa dan mengingatkan kembali asal kedudukan semua tempat yang dah menjadi bandaraya sekarang ini bermula daripada status pekan.
Jadi kalau ada yang prihatin dengan penggunaan istilah di dalam blog ini saya mohon maaf.
Kenapa panggil nasi Ganja
Berbalik pada tajuk utama yang nak menceritakan tentang nasi ganja di Pekan Ipoh, saya ada bertanya sedikit pada orang Ipoh kenapa dinamakan sebagai nasi ganja.Jawapan yang saya dapat adalah sebagaimana yang saya jangkakan. Ada unsur ketagihan di situ apabila sekali pergi makan nasi ganja, terasa nak pergi makan sekali lagi.
Biasanya bila dah biasa pergi pekena nasi ganja, sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu mesti nak pergi makan lagi. Disebab rasa ketagihan itulah yang membuatkan nama nasi ganja diberikan.
Ada terfikir juga samada nasi ganja itu mendapat nama disebabkan adanya resepi serbuk atau daun ganja di gunakan sebagai salah satu daripada ramuan masakan mereka. Tapi ternyata iatu hanyalah satu andaian saja.
Banyak juga makanan lain di tempat lain yang orang akan berikan gelaran ganja di belakangnya seperti Laksa Ganja di Utara sana.
Ada yang kata laksa itu dimasukkan sedikit daun ganja sebagai salah satu daripada ramuan sayur selain daripada salad, bawang, timun, bunya kantan dan lain-lain.
Laksa itu sekali makan akan terus diingati dan nak pergi makan lagi. Begitulah ceritanya, tapi tidak ada bukti dan tak ada siapapun yang dapat sahkan kesahihannya. Itu semua tinggal andaian sahaja.
Elok kita ambil pakai nama ganja itu sebagai kesan ketagihan yang diberikan oleh makanan dan bukannya dalam erti kata fizikal.
Sekali makan nasi ganja nak makan lagi
Kalau nak dikatakan ada rasa ketagih, saya tak berapa pasti. Tapi sepanjang dua hari pergi semula ke Ipoh atas urusan kerja, saya pergi beli bungkus nasi ganja sebanyak dua kali tengahari.Setiap kali bungkus saya bungkus sebanyak 6 atau 7 bungkus. Untuk saya sendiri, untuk anak-anak dan juga isteri. Mereka juga suka makan nasi ganja yang dibungkus macam ramai lagi orang lain.
Kali ini saya mencuba dua jenis lauk. Satu lauk ayam dan satu lagi lauk daging. Ternyata kedua-duanya sedap sampai menjilat jari.
Sebagai mana mamak-mamak lain, kuah akan dicampur dan mereka masukkan juga telus masin dengan secalit sambal kelapa.
Masakan lauk daging rasanya lebih sedap berbanding masakan lauk ayam madu atau ayam ros.
Mungkin sebab saya lebih suka daging berbanding ayam membuatkan saya pilih daging.
Tapi macam manapun, kalau makan ayamnya saya tak akan biarkan apa-apa tinggal di celah tulang ayam tersebut. Kalau boleh tulangpun nak di kunyah. Memang sedap.
Jalan ke Restoran Nasi Ganja
Alamat tempat beroperasinya kedai makan nasi ganja itu adalah seperti berikut:Kedai Kopi Yong Suan,Memang mamak itu berniaga di kedai cina dan minuman yang disediakan adalah dari kedai cina tersebut.
No 2, Jalan Yang Kalsom,
Taman Jubilee,
30300 Ipoh, Perak
Keistimewaan minuman kedai cina itu adalah minuman Teh Ais Peram. Itupun sama juga, kata orang kalau sekali pekena teh ais peram Kedai Kopi Yong Suan, tidur malam teringat-ingat pada nyonya kedai itu dan nak pergi lagi.
Nak mudah anda google saja nama kedai kopi Yong Suan itu akan terpampang jalan ke sana.
Saya tak tahu bagaimana rasanya teh ais peram yang dikatakan amat lazat itu sebab tak makan ais dan dah bertahun-tahun tak minum teh ais.
Saya hanya minum minuman panas sahaja samada air suam atau air panas lain. Bukan pantang, tapi sengaja tahan diri dari minum apa-apa minuman berais kecuali sekali sekala ada juga pekena ais kacang dan cendol.
Pendapatanda.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.