KUALA LUMPUR -
Umno Selangor memberi alasan kononnya laporan yang mengelirukan oleh
akhbar Cina sebagai punca mereka menarik balik usul berkaitan
perlaksanaan hudud di Selangor seperti diumumkan hari ini.
Ketua
Pembangkang Selangor Datuk Mohd Shamsudin Lias berkata banyak akhbar
Cina menghubunginya dan telah salah faham berhubung usul asal yang mahu
dibawa ke Dewan Negeri Selangor itu.
"Ia bukan rang
undang-undang persendirian. Ia hanya bertanya kepada kerajaan (negeri)
sama ada mereka mahu laksanakan hudud (atau tidak)," kata beliau dipetik
Malaysiakini.
Dalam pada itu,
satu sumber yang dekat dengan Umno Selangor memberitahu Harakahdaily,
punca sebenar penarikan itu adalah kerana usul yang pada asalnya mahu
memerangkap PAS Selangor itu telah "makan tuan".
"Pada asalnya
mereka menyangka speaker (Hannah Yeoh) dari DAP sudah pasti akan menolak
usul tersebut kerana DAP sejak awal konsisten menolak hudud.
"Jika benar
berlaku penolakan oleh speaker, maka mereka akan menjadikan itu sebagai
bukti bahawa PAS benar-benar tunduk kepada DAP dengan membenarkan usul
itu ditolak.
"Namun
sebaliknya pula berlaku apabila speaker membenarkan usul tersebut
dikemukakan dan kali ini Umno pula terperangkap dengan jerat yang dibuat
sendiri," katanya yang tidak mahu namanya didedahkan.
Sebelum ini
Adun Umno Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malik membawakan usul itu
di bawah Peraturan 26, Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor.
Usul tersebut berbunyi:
"Bahawa Dewan
yang mulia ini menggesa kerajaan negeri Selangor mengkaji kebarangkalian
pelaksanaan undang-undang hudud pada masa hadapan di negeri Selangor
selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan perkara 3 iaitu Islam
sebagai agama Persekutuan".
Penerimaan usul itu bagaimanapun memberi tamparan hebat buat bukan sahaja kepada Umno, malah BN secara keseluruhan.
Ada cakap-cakap
dari dalaman Umno sendiri bahawa usul yang dibawa itu mencerminkan
sikap "tidak cerdik politik" pemimpin Umno Selangor.
Selain
mengingkari pandangan presiden parti, Datuk Seri Najib Razak yang
menegaskan Malaysia tidak akan melaksanakan hudud, tindakan Umno
Selangor itu juga disifatkan "terlebih sudu dari kuah".
Ini kerana
dakwa mereka, Kerajaan Pusat telahpun menubuhkan jawatankuasa teknikal
membincangkan isu ini, namun Umno Selangor seperti mahu mendahului
jawatankuasa ini.
"Mengapa yang
baru jadi Ahli Dewan Undangan Negeri sepenggal dua, solat pun
kadang-kadang tertinggal galak sangat mahu membicara hudud ini?
"Bagaimana Umno
akan menjawab pertanyaan parti lawan mengapa usul ini dibawa ke Dun
Selangor bukannya Dun Johor, Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Sabah dan
Negeri Sembilan yang mana Umno mempunyai majoriti untuk
melaksanakannya," soal beberapa blog pro-Umno. - HARAKAHDAILY
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.