Followers

Tuesday, May 13, 2014

PKR akan mesyuarat, sedia hadapi pilihan raya Terengganu, kata Azmin

 
Pakatan Rakyat (PR) bersedia bila-bila masa sekiranya berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dan sehingga memaksa Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan, kata Mohamed Azmin Ali.

Menurut timbalan presiden PKR itu, pihaknya mahu menunggu keputusan DUN dahulu sebelum mengadakan mesyuarat dengan parti mengenai isu di Terengganu.

"Saya akan memanggil supaya diadakan perjumpaan dengan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Terengganu dan pimpinan tertinggi PKR untuk berbincang mengenai kedudukan parti serta calon," katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.

Menurut Azmin, setakat ini masih belum ada perbincangan antara parti dalam PR, namun menjangkakan mesyuarat tergempar Majlis Presiden akan diadakan dalam masa terdekat.

Mengulas mengenai krisis di Terengganu, Azmin berkata Umno sepatutnya menghormati mandat rakyat dan menggesa agar diadakan pilihan raya semula.

"Itu merupakan jalan terbaik selepas Umno gagal menyelesaikan masalah mereka sendiri dan kita sendiri tidak mahu peristiwa krisis perlembagaan di Perak berulang," katanya.

Khabar angin tersebar luas melalui media sosial seperti Facebook dan Twitter kononnya DUN Terengganu dibubarkan secara rasmi hari ini dan PRN Terengganu akan diadakan dalam masa 60 hari selepas bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said keluar Umno, dalam tempoh 24 jam selepas beliau meletakkan jawatan sebagai ketua eksekutif negeri.

Turut mengikut jejak langkah Ahmad menjadi wakil rakyat Bebas adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil Ghazali Taib dan Roslee Daud (Bukit Besi).

Barisan Nasional (BN) kini memegang 14 kerusi daripada 32 kerusi DUN, diikuti PAS (14), PKR (satu) dan Bebas (3).

Bagaimanapun Speaker DUN Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong menafikan spekulasi tersebut dan menegaskan DUN hanya boleh dibubarkan selepas menteri besar yang baru Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin untuk mendapat perkenan baginda.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.