Kerajaan
DAP Pulau Pinang menjelaskan ia tidak pernah memberi kebenaran kepada
mana-mana pihak untuk menggunakan logo kerajaan negeri yang tertera pada
poster “Hudud for all in 2020” yang dipasang di tepi jalan raya George
Town.
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan
negeri Jagdeep Singh Deo berkata tindakan pihak tidak bertanggungjawab
itu jelas menyalahi undang-undang kerana menggunakan logo kerajaan
negeri tanpa kebenaran.
"Poster tersebut tiada kaitan dengan kerajaan negeri Pulau Pinang dan
laporan polis akan dibuat. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu
menurunkan kesemua poster ini," katanya hari ini.
Turut hadir calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh Deo.
Jagdeep, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Datuk Keramat,
berkata demikian bagi mengulas mengenai beberapa poster dengan tulisan
“Hudud for all” dan “Hudud in Penang 2020” yang turut menggunakan logo
kerajaan negeri, bendera DAP dan gambar Ramkarpal Singh.
Sementara itu, Ramkarpal berkata beliau mempunyai pendirian sama dengan
mendiang bapanya Karpal Singh dan DAP yang menolak pelaksanaan hukum
hudud di negara ini.
"Ini adalah pendirian DAP... tiada perubahan dan kami sentiasa konsisten," katanya.
PRK Parlimen Bukit Gelugor akan diadakan pada 25 Mei berikutan kematian
penyandangnya mendiang Karpal dalam kemalangan jalan raya di Kilometer
306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar,
Perak, 17 April lalu. – Bernama, 15 Mei, 2014.
Malaysia Insider.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.