Bekas
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) menegaskan bahawa ahli
Umno perlu berani menegur pemimpin jika pemimpin itu buat salah, dalam
masa yang sama memelihara kekuatan parti.
"Yang itu penting kerana kalau pemimpin buat salah, kita tegur. Tetapi
dalam masa yang sama kita juga harus jaga kekuatan parti.
Kalau kita tegur dan kita ambil tindakan yang melemahkan parti, tidak baiklah," katanya hari ini.
Beliau ditemui selepas menyampaikan ucap tama seminar “Tanah Tumpah
Darah Ku” anjuran Majlis Belia Negeri Sembilan di Seremban hari ini.
Katanya terdapat dua sifat dalam Umno iaitu menjadi pengikut yang taat,
sehingga kalau pemimpin buat salah pun mereka terima, manakala satu
pihak lagi tidak taat dan mereka mengambil tindakan keluar parti dan
sebagainya.
"Jadi ini yang menjadi masalah," kata Dr Mahathir.
Mengenai kemelut politik di Terengganu, beliau berkata perkara itu
tidak akan berlaku jika semua pihak bermuafakat (berunding) dengan baik.
"Jadi, apabila kita hendak bertindak kena ada rundingan dan sebagainya.
Tentukan dahulu perkara yang tidak diingini daripada berlaku
(implikasinya) dan tentukan juga tidak ada pihak yang berkecil hati...
itu cara yang terbaik.
Dr Mahathir berkata di Terengganu, mereka harus sedar bahawa kemenangan
Barisan Nasional (BN ) pada pilihan raya umum 2013, adalah kemenangan
yang tipis.
"Oleh itu, kalau mereka tidak bersatu maka akan jatuhlah kerajaan.
Sekarang ini kita (BN) dapat kemenangan yang tipis di Terengganu, kita
harus berhati-hati dalam menangani politik di negeri itu kerana jika dua
atau tiga wakil rakyat BN 'lari' maka akan jatuh kerajaan.
"Tetapi Alhamdulillah, kemelut politik ini dapat diselesaikan," katanya.
Ketika berucap pada majlis itu, Dr Mahathir berkata masyarakat di
negara ini didapati kurang bersyukur dan berterima kasih dengan nikmat
yang mereka peroleh dalam perubahan keadaan.
"Zaman orang Melayu dijajah dahulu, kita miskin dan kita dapat apa-apa
sedikit pun kita bersyukur. Dengan itu kita berusaha lebih kuat lagi,
tapi peluang pada masa itu kurang."
"Sekarang ini kita mendapat pelbagai kenikmataan termasuk biasiswa, cukup mudah.
"Jadi, kita kurang hargai. Apabila sesuatu itu datang dengan mudah,
kita tidak menghargai. Inilah keadaan yang berlaku sekarang.
“Jadi, kita dapati ramai lagi tidak bersyukur dan berterima kasih,
bahkan ada yang mengigit jari yang menyuapnya," kata Dr Mahathir.
Menyentuh isu perpecahan orang Melayu, beliau berkata jika di zaman
British dahulu mereka bersatu padu kerana sedar tentang ancaman terhadap
keselamatan dan negara.
"Tapi sekarang kita anggap tidak mengapa (sebab) memang ini hak kita.
"Kita tidak lagi memberi tumpuan kepada kebaikan negara atau pun
bangsa, tetapi kebaikan diri kita. Bermakna kalau kita hendak sesuatu
itu, kita terpaksa berpecah-belah pun tidak apa, asalkan kita dapat
untuk diri kita.
Dr Mahathir mengakui persekitaran baharu juga memainkan peranan kerana
negara sudah bebas dan Melayu dianggap berkuasa dan akan terus berkuasa.
– Bernama, 15 Mei, 2014.
Malaysia Insider.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.