Followers

Sunday, May 4, 2014

Bersatunya Umno dengan PAS tidak semestinya kita berjaya – Aspan Alias


 

Berbagai cara dilakukan oleh pembangkang bagi menggulingkan parti pemerintah sekarang ini dan begitu juga berbagai-bagai “intrigue” politik dilakukan oleh kerajaan untuk mengelak mereka digulingkan.

Masing-masing pihak bermain politik 100%, satu untuk menggulingkan yang ada dan satu pihak yang lain untuk mempertahankan kuasa yang dipegangnya sejak negara mencapai kemerdekaan.

Umno mencengkam kuasa dengan menggunakan kuasa eksekutifnya yang ada dan pihak pembangkang menggunakan tunjuk perasaan bagi mengekalkan sokongan yang kadangkala menurun dan mencemaskan mereka.

Pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang lepas merupakan waktu yang terbaik bagi pembangkang untuk mendapat mandat kerana semasa itu mereka dalam ketiga-tiga parti bersatu dan tidak nampak kesalahan masing-masing.

Semuanya nampak hebat malahan pimpinan tertinggi pihak pembangkang sudah merasakan yang kuasa sudah pasti berada dalam tangan mereka dan berlagak seperti pihak yang sudah berkuasa.

Begitulah lagak mereka dan ada pemimpin yang sudah bersedia dengan memberikan amaran keras kepada badan-badan kerajaan yang mereka akan diambil tindakan selepas sahaja mereka dapat mengambil alih BN sebagai kerajaan di Putrajaya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah bercakap seperti Perdana Menteri dan lagak “glamour” seperti beliau menjadi timbalan perdana menteri dahulu sudah mula menyerlah kembali.

Tetapi rakyat juga yang akhirnya memberikan penentuan yang mereka belum sampai masanya untuk berkuasa.

Tentunya di sebalik kegagalan itu ada hikmahnya, jika tidak untuk Anwar dan penyokongnya, hikmah itu mungkin untuk rakyat yang ramai.

Pada pembangkang mungkin ada juga hikmahnya kerana jika mereka mendapat kuasa dalam PRU13 yang lalu, kita tidak dapat bayangkan betapa kelam-kabutnya parti-parti dalam Pakatan Rakyat, kerana sekarang jelas-jelasnya mereka bukanlah “coalition” yang bersatu terutamanya dalam hal agama dan perkauman.

Jika Pakatan Rakyat menjuarai Putrajaya tidak mungkin PAS dapat bersuara dalam hal hukum hudud kerana parti-parti dalam komponennya tidak bersetuju dengan tindakan melaksanakan hukum hudud walaupun ianya hanya untuk negeri Kelantan.

Tetapi hikmah bagi PAS, kekalahan Pakatan Rakyat itu mempunyai hikmah dalam hal hudud ini kerana seburuk-buruk Umno, PAS lebih mudah untuk bercakap tentang hudud ini kerana ahli-ahli Umno itu beragama Islam walaupun pemimpin-pemimpinnya lazim melanggar hukum asas agama seperti larangan rasuah dan sebagainya dilanggar tanpa halangan.

Oleh kerana orang Melayu merupakan kaum majoriti di negara ini jika berkurangan perbezaan diantara PAS dan Umno maka adalah tidak salah jika dikatakan yang Umno akan terus menjadi pemerintah negara dalam jangka masa yang agak lama lagi.

Hanya jika Umno masih dipimpin oleh mereka dalam kumpulan sekarang ini, yang kita khuatiri negara kita akan jahanam dan merundum dalam semua bidang.

Oleh itu sekarang ini rakyat ada pilihan, samada mahu negara ini jahanam di bawah BN atau jahanam dibawah pimpinan Pakatan Rakyat.

Tetapi bagi orang Melayu mereka rela jahanam di bawah BN dari jahanam di bawah Pakatan Rakyat kerana Melayu akan tergugat dan akan hilang segala identitinya di bawah tadbiran Pakatan Rakyat kerana pengaruh bukan Melayu yang lebih kuat dan jelas di bawah Pakatan Rakyat.

Kelemahan Umno itu juga membawa hikmah kerana dengan kelemahannya, ia membolehkan ramai dikalangan pimpinan parti itu terpaksa mengakui yang ia memerlukan sokongan PAS, maka bolehlah bercerita dan berbincang tentang hukum-hukum agama di antara mereka yang mempunyai agama yang sama.

Bagi PAS adalah lebih mudah baginya berbincang dengan Umno dalam matlamat hendak melaksanakan hukum dan kerajaan Islamnya dari parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Rakan-rakan dalam Pakatan jelas memberikan tentangan hebat terhadap usul persendirian di parlimen untuk melaksanakan hukum hudud itu.

Masalah yang ada di hadapan Umno dan PAS sendiri ialah untuk memberikan kefahaman tentang hukum hudud ini secara terperinci agar ia tidak dianggap oleh mana-mana kaum yang beragama bukan Islam hanya menganggap hudud itu sinonim dengan potong tangan dan hukum rejam sahaja.

Setakat ini PAS sendiri belum melakukan apa yang sepatutnya dilakukan untuk melaksanakan hukum hudud yang menjadi ketakutan bagi banyak pihak termasuk dalam PAS dan Umno itu sendiri.

Selagi penerangan tidak menyeluruh dan kefahamannya belum merata, maka hukum hudud ini tidak perlu dilaksanakan secara tergesa-gesa.

Tetapi yang penting sekarang Umno dan PAS perlu mengemukakan komitmen yang sahih bagi perlaksanaannya di Kelantan dahulu.

Jika ia terlaksana dengan baik di Kelantan dan terbukti boleh membawa keadilan yang lebih berbanding dengan hukum sivil yang ada pada hari ini maka proses penerangan dan penerimaan rakyat di negeri lain akan lebih mudah untuk dilakukan.

Tetapi hasil dari kepanasan isu ini secara politiknya akan memberikan kekuatan kepada Umno dan PAS dan idaman DAP dan PKR untuk duduk di Putrajaya itu elok dilupakan sahaja dan saya tahu pandangan ini membuatkan yang berada dalam DAP dan PKR tidak selesa mendengar pandangan seperti ini.

Jika DAP atau PKR menggunakan isu hudud ini sebagai isu politik ia akhirnya akan membunuh mereka sendiri.

Isu yang paling mampan bagi DAP dan PKR tetap isu rasuah dan salah guna kuasa yang merupakan isu yang hakiki bagi mendapatkan sokongan rakyat berpindah kepada mereka menggunakan isu hudud ini.

Situasi ini memperkuatkan Umno dan membawa sekaligus kekuatan untuk PAS membuat tuntutan untuk perlaksanaan sebahagian besar perjuangan asal parti itu.

Pokoknya sekarang, mampu kah Umno menunjukan kekuatan pemikirannya untuk menyatukan orang Melayu dengan kelemahan yang nyata yang terdapat dibarisan pimpinan parti itu?

Mampukah Umno mencari kepimpinan yang berkebolehan sebagai “planner” berkesan dalam meneruskan tanggungjawab sebagai parti yang memerintah sekarang ini?

Kita perlukan bukan setakat mampu menyatukan kaum Melayu, kaum terbesar dalam negara ini.

Jika sudah bersatu adakah ianya satu kejayaan tanpa menunjukan perbezaan untuk mencapai matlamat pembangunan negara dalam semua bidang termasuk menyatukan Melayu dengan kaum lain di negara ini.

Dulunya Umno berfungsi sebagai parti penyatu bangsa Melayu di samping menyatukan mereka bersama dengan semua kaum untuk membawa negara ke arah yang “ultimate”, iaitu “national unity” seperti yang kita pernah alami dahulu.

Tentunya ia memerlukan seorang pemimpin Melayu yang matang yang jiwanya hanya untuk bangsa dan negaranya, bukan setakat menunjukkan otot besar untuk membantutkan pertumbuhan pemikiran bangsanya sendiri. – aspanaliasnet.blogspot.com, 4 Mei, 2014.
 
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.