Followers

Friday, May 9, 2014

BAGAIMANA MELAHIRKAN PEMBANGKANG YANG BAIK? - Mohammad Agus Yusoff

 
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgSOZRFjYkFe2MuNul-K7YZMBZGb-flL_HP1PwWgYhe2GMXRnegiDtvNrjlK1pxxBJrZ0JZuDzUvgibqXFmW9-Uiv_-frnvDeMCihJihB_nB_iIENrgdSAsRiV03asAKObV343Y5qGzgfdv/s400/dewan.jpg
Kita mendakwa negara kita demokrasi, tetapi kita alergik kepada kepembangkangan. 
 
Apabila pembangkang mengkritik sesuatu isu, kritikan mereka dikatakan tidak konstruktif. Jadi, bagaimana rupa kepembangkangan yang konstruktif itu? 
 
Saya juga mahu tahu supaya apabila saya menulis, misalnya, tulisan saya konstruktif.

Justeru alegiknya kita pada kepembangkangan, maka jadilah kita bangsa yang terbelah. Jadilah kita bangsa yang terpisah. 
 
Jadilah kita bangsa yang saling tidak mempercayai. Jadilah kita bangsa yang mempunyai krisis keyakinan yang tinggi. 
 
Kita dipaksa untuk membuat pilihan—sama ada sokong BN atau PR? Kita tidak boleh berkecuali, nanti dikata lalang dan lainnya.

Sedih! Mengapa kita tidak boleh bersatu dalam beberapa isu negara? Mengapa kita tidak boleh setuju untuk tidak bersetuju? 
 
Mengapa kita suka tuduh menuduh hingga akhirnya kita saling membenci dan mendendami? Beginikah bangsa yang hendak kita bina menuju 2020 yang kita banggakan itu?

Saya kembali kepada persoalan asal, bagaimana melahirkan pembangkang yang baik? Siapakah yang harus berperanan? 
 
Sememangnya kedua-dua pihak boleh berperanan, tetapi akan menjadi lebih berkesan jika teladannya ditunjukkan oleh kerajaan terlebih dahulu.

Pertama, ubah pendekatan lama dengan hanya pemimpin kerajaan sahaja yang meraikan upacara besar negara. Misalnya, jika kita menyambut Hari Kemerdekaan, ajaklah ketua pembangkang untuk sama-sama mengibar bendera negara pada hari tersebut? 
 
Susahkah? 
 
Apakah kita takut jika bersama begitu, maka pihak pembangkang akan mendapat sokongan rakyat? Saya fikir tidak. 
 
Percayalah, rakyat akan menyokong sesiapapun pemimpin dan mana-mana pun parti yang boleh membawa kebaikan kepada mereka dan negara.

Kedua, sekiranya negara menghadapi krisis besar seperti MH370, jemput sama pemimpin pembangkang untuk berbincang kaedah mengatasinya. 
 
Jangan kita kata parlimen sudah ada tempatnya. Berbincang di luar parlimen memberikan kesan yang berbeza. 
 
Di parlimen, peranannya ialah menggubal undang-undang negara, bukannya untuk memikirkan strategi mengatasi bencana yang menimpa negara.

Ketiga, elaklah dari menimbulkan rasa tidak senang hati pembangkang. Maksudnya ialah janganlah didiskriminasikan pembangunan di kawasan yang mereka menangi. 
 
Mereka membangkang atau menyokong kerajaan, mereka adalah rakyat kita. Jagalah semua rakyat seadilnya dan hormatilah hak politik mereka.

Keempat, janganlah bersikap double standard. Contohnya, jika sesiapa sahaja yang buat salah, uruslah mereka sebaiknya mengikut peruntukan undang-undang negara. 
 
Jangan rakyat nampak ada pendakwaan terpilih, siasatan terpilih dan lainnya. 
 
Selagi rakyat masih ada persepsi sebegini, maka sukar untuk kita mencari jalan penyatuan.

Yakinlah, jika kita dilihat adil dan betul-betul berlaku adil, maka tidak timbul lagi soal pembangkang yang tidak konstruktif. 
 
Jika pembangkang masih berterusan membangkang perkara baik yang dibuat kerajaan, rakyat pasti menghukum mereka dalam peti undi. 
 
Tetapi jika pembangkang dapat terus berperanan dengan baik untuk semak dan imbang kelakuan kerajaan, maka pembangkanglah yang disokong rakyat.

Rakyat sudah semakin cerdik dan terbuka. Maka, pemimpin politik perlulah lebih cerdik dan terbuka. Semoganya, tulisan ini konstruktif.
 
KedahLanie

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.