Followers

Friday, April 18, 2014

Yang Kita Tunggu Menjelang Tiba.............

Isu Penahanan Kassim Ahmad Oleh Pihak Berkuasa Agama, Mahathir Macam Suruh Tangkap Dia Sekali !


Penahanan Kassim calar imej negara Islam sederhana Malaysia, kata Dr Mahathir [gambar fail]
Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyelar tindakan pihak berkuasa agama yang menangkap dan membicarakan aktivis sosial, Dr Kassim Ahmad kerana tindakan tersebut mencalarkan identiti Malaysia sebagai negara Islam sederhana.

Bekas perdana menteri itu berkata, dalam keadaan Kassim yang bertongkat dan tidak sihat, pegawai agama Islam dan dibantu polis tergamak menahan aktivis berusia 80 tahun itu.

"Acara ini memperlihatkan Malaysia, seolah-olah ingin menjadi negara Islam yang suka menggunakan paksaan bagi menentukan orang Islam hidup dalam ketakutan kerana mungkin ditangkap apabila melanggar fatwa pihak berkuasa," tulisnya dalam artikel di blognya chedet.cc.

Artikel bertajuk "Kassim Ahmad - 80" itu ditulis sebagai mengulas tindakan berkuasa agama yang menahan bekas presiden Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) itu, bulan lalu.

“Saya sedih. Saya sedih kerana Kassim umur 80 tahun, bertongkat dan sakit ditangkap dan akan dibicara.

Kenapa Kassim? Kenapa tidak orang lain? Yang menghina agama Islam di Malaysia ramai.

“Ada orang Islam memperlekeh Nabi Muhammad, menghina Allah dan mengembangkan ajaran sesat tetapi mereka tidak ditangkap.

Tetapi Kassim yang sudah tua, berjalan bertongkat dituduh anti-hadis,” katanya.

Sisters in Islam (SIS) dalam satu kenyataan pada hujung bulan lalu menyifatkan penahanan Kassim bercanggah dengan syariat Islam.

SIS berkata, penahanan Kassim menunjukkan sistem syariah yang tidak efisyen dan sikap pilih kasih jabatan agama Islam.

“Mengejutkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) boleh merentas sempadan menahan lelaki berusia 81 tahun dengan masalah kesihatan. Kassim disoal siasat hingga jam 3 pagi.

“Semasa dituduh di Mahkamah Syariah Putrajaya, peguam syariah meminta tidak diberikan ikat jamin dan mahu Kassim ditahan selama seminggu,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Mahathir berkata, bukan Kassim sahaja yang terang-terangan menunjukkan sifat anti hadis tetapi ramai juga yang tidak mempraktikkan sunnah Rasullah dalam kehidupan seharian.

“Yang anti-hadis ini ramai. Mereka tolak hadis dalam amalan mereka, tidak menurut banyak sunnah rasul.

Mereka tidak berjanggut.

Tetapi kita tahu dalam Islam ada dosa besar dan ada dosa kecil.

“Yang sunat tidak wajib, tidak berdosa jika ditinggal pun. Islam bukan keras, bukan begitu bengis.

Islam agama nasihat, agama sederhana yang tidak bertujuan menjadi beban kepada penganutnya. Islam bukan agama paksaan,” katanya.

Kassim dalam satu seminar di Putrajaya pada Februari membentangkan beberapa kesalahan umat Islam seperti mendewa-dewakan Nabi Muhammad dengan syahadah kedua serta rambut bukanlah aurat wanita.

Kassim berkata, rambut bukan aurat kerana ia anggota biasa seperti muka dan tangan yang perlu digunakan untuk mengambil wuduk.

Katanya, 30 tahun dahulu, wanita Islam tidak memakai tudung, sebaliknya hanya sehelai selendang “kerana rambut itu bukan aurat”.

"Saya pernah cakap yang Al-Quran menjelaskan ia sendiri. Method lama ialah menggunakan hadis untuk menjelaskan Al-Quran kurang baik kerana bermakna menganggap Nabi Muhammad itu tahu segala-galanya. Ini ridiculous, beliau hanya utusan Allah," kata Kassim dalam forum itu.

Dr Mahathir berkata, dengan penangkapan Kassim membuktikan wujud sesetengah pihak yang mahu melihat Islam itu sendiri sebagai agama yang kasar, tidak bertimbang rasa dan zalim.

Katanya, pihak berkuasa agama Islam di negara ini juga mahu memperlihatkan seolah-olah sunnah Nabi Muhammad dijadikan lebih tinggi dan lebih wajib dari firman Allah di dalam Al-Quran.

“Mereka ingin menjadikan Islam agama yang keras dan bengis. Islam adalah agama yang sederhana yang bertimbang rasa, agama nasihat dan adil.

“Kalau ia sudah jadi agama yang keras, zalim dan bengis dan mengutamakan mazhab lebih daripada ajaran Al-Quran, maka akan berpecah dan bermusuhlah orang Islam sesama sendiri,” katanya.

- The Malaysian Insider


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.