Followers

Tuesday, April 22, 2014

POLITIK BERSIH PEMANGKIN KEJAYAAN MALAYSIA

 Sasterawan Negara, Usman Awang pernah menulis, “Perpaduan tidak memberi erti kalau sekadar dalam lafaz kata-kata semata. 

Perpaduan tidak wujud hanya dengan disuruh-suruh dan diseru-seru. Perpaduan harus diwujudkan atas kepentingan rakyat dan bukan kepentingan suatu pihak atau golongan sahaja.”


“Kepentingan rakyat” merupakan prinsip agung yang perlu diingati dalam setiap tindak-tanduk dan keputusan politik yang diambil. 

Setelah 15 tahun, KEADILAN yang bermula dengan gerakan reformasi telah tertumpu kepada usaha memenuhi prinsip agung ini.

15 tahun – Survival parti bergantung kepada kepercayaan rakyat, dan kepercayaan rakyat ini pula bergantung kepada keputusan-keputusan diambil oleh parti secara kolektif.

15 tahun – Survival negara harus berlangsung dengan idea-idea baru yang dikemukakan oleh pemimpin-pemimpin yang mampu membawa perubahan, dan tidak mengikut corak yang telah dibawa atau dipengaruhi oleh tradisi politik Malaysia yang ketinggalan zaman; tidak serasi, lagi tidak relevan dengan masa depan yang diingini buat generasi Malaysia yang mendatang.

KEADILAN memperjuangkan sebuah arena politik yang bersih; KEADILAN mahukan pertandingan dan perbincangan yang sihat tanpa menggunakan taktik yang tidak berbudaya untuk menumbangkan lawan. 

KEADILAN perlu menjadi pemacu kepada budaya berbahas menggunakan hujah.

Masalah-masalah yang selama ini telah ditimbulkan oleh ketidakupayaan Barisan Nasional untuk memtadbir dengan baik bukanlah sesuatu yang mudah untuk dibetulkan. 

Isu-isu seperti pendidikan, kemiskinan, pencemaran institusi kehakiman dan penzahiran nilai-nilai politik yang berkait telah menjadi semakin parah selepas hampir 60 tahun Malaysia diperintah sebuah kerajaan yang tidak ada keazaman politik untuk membetulkan keadaan. 

Saban tahun, keputusan-keputusan yang diambil semakin menekan rakyat. 

Keputusan-keputusan yang diambil cuma untuk mengekalkan waris-waris mereka dalam kelompok berkuasa.

Pendidikan di Malaysia amat mendukacitakan kita semua. Apakah yang akan terjadi kepada Malaysia sekiranya ini dibiarkan untuk terus reput dimamah pemikir-pemikir yang lapuk? 

Perubahan ini perlu bermula dengan memperbudayakan politik baru, dan mendidik rakyat dengan budaya baru ini.
Isu kualiti pendidikan ini juga berkait rapat dengan isu kemiskinan. 

Tanpa pendidikan yang berkualiti, orang-orang miskin sukar keluar daripada kepompong kemiskinan yang amat menakutkan. Bank Amerika Merrill Lynch telah meramalkan bahawa Malaysia akan menjadi muda dan miskin menjelang 2030. 

Dr Fatimah Kari telah meramalkan penarikan subsidi akan memberikan kesan yang amat besar kepada orang yang berpendapatan rendah, terutamanya orang Melayu. 

Pada masa ini, Kerajaan cuma gah dengan kononnya angka kemiskinan tegar cuma pada 1.7 peratus sahaja, walhal, rakyat semakin tersepit dengan bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat. 

Pengenalan GST pada tahun 2015 kelak tentunya akan terus menjerumuskan rakyat ke arah kemiskinan.

Hakikatnya, dendam kesumat kerajaan terhadap mantan Timbalan Perdana Menteri yang enggan bergelumang dalam kancah politik dan ekonomi kroni yang tidak mempunyai batasan. 

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ayahanda yang saya kasihi, sekali lagi berdepan dengan hukuman penjara. 

Tidak cukup dengan hukuman penjara lima tahun, dirayu lagi oleh kerajaan supaya hukuman itu ditambah semaksima yang boleh. Begitu terdesak mereka mahu menghukum Datuk Seri Anwar.

Sekiranya ini boleh berlaku kepada Anwar Ibrahim, ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Kes fitnah ini jelas menunjukkan betapa parahnya barah yang sudah melanda institusi kehakiman. 

Bukti-bukti dan fakta-fakta kes yang jelas menunjukkan bahawa Datuk Seri Anwar tidak bersalah langsung tidak diambil kira. 

Prosedur-prosedur mahkamah semuanya dilanggar oleh para hakim. Kesemua ini menunjukkan campurtangan yang tidak boleh dibiarkan.

Benar, masalah-masalah ini bukanlah boleh kita selesaikan dalam masa satu atau dua hari sahaja. 

Apakah yang akan terjadi kepada Malaysia sekiranya kita tidak mempunyai pemimpin yang berkebolehan untuk menunjukkan jalan keluar, dan jalan yang betul daripada isu-isu yang sudah melarat ini? 

Kita perlu memilih pemimpin-pemimpin yang boleh membawa kearah kejayaan Malaysia dalam pilihanraya ke 14.

Bermula dari hari ini, saya mempunyai suatu iltizam untuk menjadikan masa depan sebagai pemangkin semangat untuk menjadikan KEADILAN sebagai batu asas kejayaan Malaysia.

Budaya berpolitik secara berterusan bukanlah jalan keluar untuk membetulkan negara, tetapi, kita perlu memfokuskan masa yang ada untuk menentukan arah tuju dan masa depan, bukan sahaja untuk parti, tetapi untuk Malaysia dan rakyat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.