SHAH ALAM: Ketua Pembangkang Negeri Selangor, Datuk Mohd Shamsudin Lias
menyelar tindakan ADUN Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang
mempersenda usaha kerajaan mencari pesawat MH370 yang hilang.
Katanya, Wan Azizah membuat satu tuduhan yang tidak tepat dan tidak berasas.
“Kenyataan yang diberikan oleh Wan Azizah itu merupakan satu kenyataan
yang tidak matang,” katanya mengulas kenyataan beliau ketika membahaskan
titah ucapan Sultan Selangor di Dewan Undangan Negeri Selangor semalam.
“Mana boleh kita sebagai negara kecil, memaksa
negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, dan Australia untuk
membantu kita, siapa kita?” tempelak ADUN Sungai Burong itu.
Semalam Wan Azizah Wan Ismail seolah-olah mempersenda kerjasama di antara Malaysia dan negara luar dalam usaha mencari pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Wan Azizah mendakwa bahawa penglibatan 26 negara luar dalam operasi
mencari pesawat MH370 tersebut disifatkan sebagai terpaksa semata-mata
dan bukan kerana mereka mempunyai kerjasama yang baik dengan Malaysia.
“Usaha mencari (pesawat MH370) melibatkan banyak negara adalah kerana
terpaksa, bukan Malaysia baik sangat,” kata Wan Azizah yang juga
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Wan Azizah turut mempertikaikan usaha serta reaksi kerajaan dalam
menangani insiden tersebut yang kononnya mencetuskan pelbagai tanda
tanya antaranya berkenaan prosedur standard, sistem radar dan pasport
curi melibatkan dua penumpang MH370.
Bagi ADUN Permatang, Sulaiman Abdul Razak, tindakan ADUN Kajang itu
memperlihatkan sikap sebenar Presiden PKR itu yang selalu mencari
kesalahan pihak lain.
Tambahnya lagi, kerjasama di antara Malaysia dan 26 negara lain dalam
usaha mencari pesawat MH370 dibuat atas pendirian serta persetujuan
kesemua negara terbabit.
Jelasnya lagi, kesemua negara terlibat turut membantu dengan
mengeluarkan pelbagai aset negara masing-masing dan juga kelengkapan
masing-masing termasuk menanggung kos perbelanjaan yang tinggi.
“Kita semua sedar bahawa kos mencari pesawat MH370 melibatkan kos yang tinggi.
“Sebagai pemimpin, kita perlu bersama-sama, bersatu hati dan terus
memberikan sokongan dalam usaha pencarian pesawat yang hilang
ini,”ujarnya. ~fmt
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.