Tanpa angin dan tanpa ribut, tiba-tiba saja Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali meluahkan kemarahannya kepada Umno dan PAS yang disifatkannya gagal dalam memperjuangkan nasib Melayu dan Bumiputera, sebaliknya asyik bertelagah sesama sendiri sehingga matlamat perjuangan itu menjadi terabai.
"Pemimpin kita banyak yang 'biol', patut dihantar ke Tanjung Rambutan. Apa yang bergaduh pun saya tak faham. Kereta besar, rumah besar, hidup mewah, mahu apa lagi?
"Semua ada, nak apa lagi? Yang kita tuntut sikit saja – kesatuan ummah dan memupuk silaturrahim. Kalau ini tidak dijaga, Melayu akan hancur," katanya dalam sebuah majlis di Puchong.
Beliau kemudian menubuhkan Perkasa untuk memperjuangkan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera tetapi langkahnya seringkali bersifat melampau sehingga tidak disenangi oleh banyak pihak. Dalam masa yang sama, kecondongannya kepada Umno, BN dan kerajaan juga amat terserlah.
Tetapi setelah hampir diketepikan dalam pilihan raya 2013 lalu dan dikatakan hanya setelah adanya campur tangan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyaksikan calon Umno di Pasir Mas tidak mengemukakan borang pencalonannya, barulah beliau menjadi calon Bebas yang disokong oleh Umno dan BN dalam pilihan raya umum lalu.
Beliau bagaimanapun tewas kepada calon PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan sejak kekalahannya dalam pilihan raya umum lalu itu, beliau mulai agak kritikal terhadap Umno, kerajaan dan Datuk Seri Najib Razak meskipun sebelumnya Perkasa memperolehi banyak manfaat dan menerima bantuan kewangan untuk program-programnya daripada kerajaan.
Dalam beberapa isu, terlihat Ibrahim dan Perkasa memuntahkan banyak serangannya terhadap Najib, Umno dan kerajaan.
Tetapi bila ada pilihan raya kecil, beliau selalunya berpatah balik menyokong Najib dan kerajaan serta menghalakan serangannya kepada pembangkang pula.
Sebab itu, ramai yang berkata, lebih-lebih lagi yang mengenali Ibrahim, serangannya kepada Najib, Umno dan kerajaan hanyalah "main-main" dan untuk menarik perhatian saja. Hati, cinta dan kasihnya tetap kepada kerajaan yang sedang berkuasa.
Cuma, bila kali ini beliau meluahkan kemarahannya kepada Umno dan PAS sekaligus dengan menuduh kedua-dua parti itu dipimpin oleh pemimpin yang “biol”, maksud muntahan perasaannya itu menjadi pelbagai.
Dengan karektor politiknya, tiada yang pelik jika beliau mendakwa Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan lain-lain pemimpin PAS sebagai “biol” tetapi tentulah agak pelik bila dalam masa yang sama, beliau juga mengatakan Najib, Muhyiddin dan pemimpin Umno lain turut sama “biol” sedangkan pemimpin itulah yang sering dipertahan dan ditemuinya sebelum ini.
Kenapa baru sekarang disedari mereka itu “biol” oleh beliau? Tidakkah beliau sedar bahawa Umno pernah menganiaya dan menyingkirkannya sebagai pemimpin sebelum ini?
Walaupun bersandarkan kekecewaannya terhadap nasib Melayu dan Bumiputera yang masih terabai, serangan “biol” ini tentulah lebih ditujukan kepada Najib dan lain-lain pemimpin Umno kerana merekalah yang sedang berkuasa dan mempunyai lebih peranan untuk dimainkan.
Ada pula seorang rakan lama Ibrahim bertanya, adakah sikapnya yang bertukar-tukar wadah perjuangan sehingga dicatat sebagai pemimpin Melayu yang paling banyak bertukar parti – daripada Berjasa, Umno, Semangat 46, Umno kembali, meminjam logo PAS, Bebas dan kini Perkasa – lebih “biol” dari segala “biol” kerana ia juga tidak menampakkan keinginan untuk memperjuangkan Melayu tetapi lebih kepada “survival” peribadi?
SH.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.