Rang Undang-Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (RUU GST) 2014
diluluskan oleh Dewan Rakyat dengan 218 undi menyokong dan 81 undi
menentang.
RUU GST ditentang ahli Parlimen Pakatan Rakyat dengan hujah yang bernas
namun apabila diundi melalui proses belah bahagi, Barisan Nasional (BN),
dengan hujah yang dangkal masih menang dengan 218 undi.
Bagi pihak PAS, empat ahli Parlimen diberi peluang berhujah bermula Ahli
Parlimen Shah Alam, saya sendiri, Ahli Parlimen Marang iaitu Presiden
PAS dan Pokok Sena iaitu Datuk Mahfuz Omar.
Prinsip dalam percukaian adalah tiada percukaian tanpa perwakilan.
Dengan BN hanya perolehi 47% undi popular, maka mereka hakikatnya bukan
mewakili suara popular rakyat tentang GST.
Maka, bagaimana GST dikira suatu percukaian yang sah dan memenuhi prinsip yang saya katakan itu.
GST adalah cukai regresif. Cukai pendapatan sama ada individu atau korporat pula bersifat progresif.
Cukai progresif secara mudahnya bermaksud semakin tinggi pendapatan
individu atau korporat, semakin tinggi cukai yang mereka kena bayar.
Ini suatu yang munasabah kerana Ibnu Khaldun menyatakan di dalam
kitabnya yang masyhur "al muqaddimah", kerajaan perlu memikirkan
bagaimana pendapatan rakyat harus ditinggikan bagi mendapat cukai yang
tinggi daripada rakyat untuk mengisi perbendaharaan negara.
GST pusing ke belakang atau regresif kerana cukai dikenakan kepada
penduduk atau rakyat yang tidak berpendapatan atau yang berpendapatan
rendah.
Logiknya, rakyat yang susah dan miskin sewajarnya ditolong oleh kerajaan
kerana mereka tiada pendapatan atau berpendapatan rendah, tapi ini
tidak berlaku dalam rejim percukaian GST.
Dengan adanya GST, keadaan menjadi terbalik iaitu rakyat yang susah pula
disuruh menolong kerajaan dengan meminta semua rakyat tanpa kira miskin
dan kaya membayar cukai.
Memandangkan GST adalah cukai penggunaan yang dikenakan di semua
peringkat pengeluaran barang yang mana kerajaan perolehi hasil cukai di
semua rantaian penawaran barangan (supply chain), pengguna adalah pihak
yang paling teruk kerana kena membayar cukai atas penggunaan barang dan
tidak mendapat apa apa rebat.
Sebagai contoh kita ambil kes kopi. Bagi rantaian penawaran kopi,
kerajaan akan dapat hasil cukai daripada penanam kopi, pengilang kopi,
pedagang kopi, peniaga runcit kopi dan akhirnya pengguna atau pembeli
kopi.
Meskipun penanam, pengilang, pedagang dan peniaga runcit kopi dikenakan
cukai GST namun mereka berhak mendapat semula bayaran cukai tersebut
melalui rebat.
Pengguna kopi sahaja yang kena bayar GST dan tidak mendapat faedah
rebat. Yang lebih teruk lagi jika BRIM diberi setahun sekali, GST pula
dibayar semua rakyat setiap hari. GST dibayar 24 jam selama 365 hari
setahun.
Pakar ekonomi menyatakan segmen masyarakat yang paling teruk menerima
kesan daripada GST adalah golongan rakyat yang berpendapatan rendah dan
sederhana.
Golongan kaya tidak menerima kesan dan jika ada sekalipun ia hanya
menanggung kesan yang minima. Malahan dalam keadaan tertentu golongan
kaya mendapat manfaat dari GST.
Dalam penggulungan, Timbalan Menteri Datuk Ahmad Maslan menyatakan tidak
seperti Singapura yang tidak mengenakan pengecualian ke atas barangan
tertentu daripada dikenakan GST, Malaysia, katanya, memberikan
pengecualian GST ke atas barangan.
Saya bangun dan bertanyakan soalan berikut kepada beliau, "adakah
Timbalan Menteri sedar bahawa kerajaan Singapura menyatakan bahawa jika
GST dikecualikan ke atas barangan tertentu pihak yang mendapat manfaat
daripada pengecualian itu adalah golongan kaya kerana mereka hakikatnya
menggunakan lebih banyak dan kerap barangan yang dikecualikan GST
tersebut".
Menteri tak boleh jawab soalan saya itu.
Apa yang dikatakan oleh kerajaan Singapura itu ada meritnya. Meskipun
barangan asas seperti beras, tepung, gula atau barangan keperluan lain
dikecualikan GST, pengecualian itu terpakai kepada semua termasuk
golongan kaya. Jadi mereka yang untung.
Jika kita beli kek di kedai kek (dibuat dengan tepung dan gula) sebagai
contoh, rakyat miskin yang nak beli kek kini dikenakan cukai
dibandingkan sebelum GST dikenakan.
Jika anak atau isteri Menteri beli kek, mereka tidak ada masalah bayar
harga kek yang dikenakan GST tapi bagaimana anak orang susah?
Kerajaan berbangga 160 negara yang amalkan GST tanpa mengira negara yang
kuat ekonominya seperti Amerika Syarikat juga tidak setuju dengan GST.
Ya, banyak negara negara maju melaksanakan GST namun berapakah jumlah pendapatan per kapita mereka.
Kita ambil contoh Singapura. Pada tahun 2012, menurut Fox Magazine pendapatan per kapita rakyat Singapura sebanyak US$56,000.
Bagaimana dengan Malaysia? Dalam ucapan belanjawan 2014, menurut perdana
menteri pendapatan per kapita negara kita adalah sekitar US$9,500
sahaja. Malahan pada tahun 2020, Malaysia hanya menyasarkan pendapatan
per kapita US$15,000. Oleh itu, bagaimana kita nak tiru Singapura?
Singapura kenakan GST kerana cukai pendapatan individu dan korporat di
sana secara relatifnya masih rendah. Jadi kekurangan hasil cukai
pendapatan ditampung melalui GST.
Kadar cukai pendapatan di Malaysia sama ada individu atau korporat lebih
tinggi daripada Singapura. Itupun Singapura mulakan GST dengan kadar 3%
sedangkan kita terus mulakan dengan 6%.
Tetapi apa yang penting dengan jurang pendapatan rakyat miskin dan kaya
di Singapura lebih rendah berbanding Malaysia dan pendapatan per kapita
mereka jauh lebih tinggi dari kita, sudah tentu kuasa membeli dan
membayar cukai rakyat di sana lebih kuat daripada kita.
Begitu juga negara negara maju yang lain seperti Australia dan Kanada.
GST tidak begitu membebankan rakyat di sana kerana pendapatan per kapita
mereka yang tinggi.
Dan bagi negara maju yang melaksanakan GST, rakyat juga mendapat manfaat
dan faedah yang banyak hasil kutipan cukai tinggi di mana jaringan
keselamatan (safety net) bagi menjaga kebajikan rakyat jauh lebih baik.
Maknanya, berbaloi membayar cukai di sana meskipun tinggi.
Yang lebih penting lagi di negara negara maju tersebut kadar kebocoran
dan ketirisan ekonomi di sana jauh lebih rendah kerana amalan
pemerintahan yang baik (good governance) dan hampir bebas rasuah.
Di negara kita, kebocoran bilion ringgit akibat rasuah, ketirisan,
pembaziran, kronisme dan “rent-seeking” adalah fenomena wajib di dalam
laporan Ketua Audit Negara setiap tahun.
Jika poket seluar kita bocor, adakah patut kita minta orang lain bagi duit untuk diletakkan di poket yang bocor itu?
Umno bocorkan kantung wang negara tapi parti tak tahu malu ini masih
minta rakyat hulurkan duit untuk dimasukkan dalam kantung yang bocor
itu. Jawapan kita, jahit kocek yang bocor kemudian baru minta duit
daripada rakyat.
UTUSANKINI
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.