Mahkamah
Rayuan Putrajaya hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang
memerintah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membayar ganti rugi
RM12,320 kepada Majlis Peguam kerana menceroboh dan menurunkan tiga
sepanduk yang dipasang di premisnya bagi menyambut Hari Hak Asasi
Manusia pada 2007.
Panel
tiga anggota dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Wahab Patail sebulat suara
menolak rayuan DBKL supaya diketepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Hakim-hakim Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Hamid Sultan Abu Backer turut menganggotai panel.
Pada
2009, Majlis Peguam memfail tindakan sivil terhadap Datuk Bandar Kuala
Lumpur dengan mendakwa beberapa pegawai DBKL memasuki premisnya di Jalan
Leboh Pasar Besar di Kuala Lumpur pada 9 Disember 2007 dan menurun
serta merampas sepanduk berkenaan.
Majlis itu mendakwa tindakan pegawai DBKL itu menyalahi undang-undang dan perlembagaan.
Tiga
sepanduk itu menyebut ‘Stop the Patronage, Stop the Rot', ‘As I Believe
Freedom of Expression through Art, Music, Culture and Conscience...' dan
‘Rakyat Hakim Negara'.
Majlis
Peguam berkata akibatnya ia menanggung kerugian dan kerosakan dan
memohon ganti rugi khas, ganti rugi am teruk dan teladan.
Dalam pembelaannya, datuk bandar Kuala Lumpur menafikan tindakan pegawai-pegawainya menyalahi undang-undang.
Beliau menegaskan mereka memasuki premis itu kerana majlis
tersebut gagal mendapatkan lesen untuk memasang sepanduk itu
sebagaimana menurut Undang-undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982.
Pada 26
Sept tahun lepas, mahkamah membuat penghakiman memihak kepada Majlis
Peguam, dan menganugerah ganti rugi khas RM320 dan ganti rugi am
RM12,000.
Ia memutuskan bahawa sepanduk
mengenai hak asasi manusia itu tidak termasuk dalam takrif 'iklan' yang
memerlukan lesen dari DBKL, seperti terpakai pada produk atau
perkhidmatan komersil.
DBKL diwakili peguam B Thangaraj sementara majlis itu oleh peguam-peguam Ranjit Singh, Razlan Hadri Zulkifli dan Jamie Wong./Bernama
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.