Tolak hudud: Saya bukan Dr Mahathir, Kata Anwar
[TMI] Model dan pelaksanaan hudud yang bakal diguna pakai oleh kerajaan
negeri Kelantan perlu difahami terlebih dahulu sebelum Pakatan Rakyat
(PR) mengambil keputusan bersama untuk mempersetujuinya, kata Datuk Seri
Anwar Ibrahim.
Ketua pembangkang itu berkata, kerajaan perlu membincangkan beberapa
perkara asas dalam Islam terlebih dahulu seperti masalah ajaran sesat
dan anti hadis sebelum membawa hudud ke satu peringkat yang lebih
serius.
“Kita sebagai orang Islam, kita tidak boleh pertikai undang-undang
Al-Quran. Saya bukan Mahathir. Kita kena terima. Hal ini harus difaham.
Kalau tunggu fatwa, semua fatwa kena pada kita.
“Curi duit tak nampak, kenyataan Mahathir tak nampak, Mahathir sokong
Kassim Ahmad anti hadis tak mengapa. Kita yang kena,” katanya ketika
berucap di hadapan kira-kira 1,500 hadirin dalam Himpunan Reformasi 2.0
di Kuala Lumpur, malam tadi.
Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat menyelar tindakan pihak berkuasa
agama menangkap dan membicarakan Kassim kerana tindakan tersebut
mencalarkan identiti Malaysia sebagai negara Islam sederhana.
Bekas perdana menteri itu berkata, dalam keadaan Kassim yang bertongkat
dan tidak sihat, pegawai agama Islam dan dibantu polis tergamak menahan
aktivis berusia 80 tahun itu.
“Saya sedih. Saya sedih kerana Kassim umur 80 tahun, bertongkat dan
sakit ditangkap dan akan dibicara. Kenapa Kassim? Kenapa tidak orang
lain? Yang menghina agama Islam di Malaysia ramai,” tulisnya dalam
artikel di blognya chedet.cc.
Anwar berkata, hudud hanya dapat dilaksanakan sekiranya pembaharuan
dilakukan terhadap jabatan agama Islam dan kaedah penguatkuasaan.
Katanya, hudud perlu dilaksanakan secara telus menepati kehendak ajaran
Islam sebenar dan tidak memberi kepentingan politik kepada pihak
tertentu.
“Kalau dilaksana digunakan undang-undang, curi RM500 juta dari Tan Sri
naik Tun. Kamu curi motor, tangan dipotong. Dalam Islam bukan begitu.
“Semua perubahan baru kita kena bincang undang-undang itu macam mana.
Saya saman Saiful, empat tahun Mahkamah Syariah tak sidang pun,” katanya
merujuk kepada bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.
Anwar yang baru tiba selepas memberi penghormatan terakhir kepada
mendiang Karpal Singh di Pulau Pinang berkata, pelaksanaan hudud di
Kelantan akan diteliti dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob
akan memberikan penjelasan.
“Itu yang kita jemput menteri besar Kelantan untuk datang dalam
mesyuarat kita mencari muafakat supaya (hudud) tidak digunakan untuk
menekan sesiapa dan menjamin undang-undang itu difahami,” katanya.
Berhubung isu kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, Anwar
mempertikaikan senarai kargo pesawat itu yang masih belum disiarkan
kepada umum.
Katanya, ekoran daripada sikap kerajaan yang enggan memberikan lebih
maklumat mengenai pesawat itu, Malaysia terus mendapat kecaman serata
dunia.
“Mengapa cuba tutup maklumat itu? Apa barang yang dibawa? Saya tanya
mana dia senarai kargo? Setiap kali ada penerbangan dikomputerkan. Bila
tanya, sampai hari ini tak dapat jawab.
“Sekarang saya tuduh, kamu sengaja menyembunyikan bukti. Ada bukti, kamu
padamkan. Dia kata ada manggis 4 tan tetapi tiada musim. Di Thailand
pun bukan musim manggis,” katanya yang berpakaian serba hitam malam
tadi.
Hujung bulan lalu, Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya
mengesahkan selain empat tan manggis yang dibawa di dalam pesawat itu,
ia turut memuatkan bateri lithium-ion.
Katanya, bateri lithium-ion pada asasnya bukan barangan berbahaya tetapi ia diisytiharkan sebagai bahan berbahaya di bawah ICAO.
“Kami bawa beberapa bateri kecil lithium-ion, ia bukan bateri yang besar
dan ia pada dasarnya diluluskan di bawah Pertubuhan Penerbangan Awam
Antarabangsa (ICAO) di bawah barangan berbahaya,” katanya. – Hasbullah
Awang Chik/ 21 April, 2014.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.