Followers

Saturday, April 26, 2014

Benteng Umno di Buluh Kubu mulai robek ASLANI M


KOTA BHARU: Flat Buluh Kubu tidak  jauh dari Pasar Besar Siti Khatijah satu-satunya kawasan di parlimen Kota Bharu yang tidak pernah kelihatan bendera PAS setiap kali kempen pilihan raya.

Rumah flat tersebut dibina kerajaan  Barisan Nasional (BN) ketika mentadbir Kelantan. Sejak 1990 sehingga sekarang, Umno mendominasi kawasan berkenaan. Namun malam tadi situasi itu tiba-tiba bertukar.

Seramai 62 ahli dan penyokong Umno yang menjadi penggerak jentera Umno di situ mulai menilai semula perjuangan lama. Diketuai bekas Setiausaha Cawangan Buluh Kubu, Mohd Nor Hashim Che Naim, 48 mereka menyerah borang menyertai PAS.

Borang tersebut diserah kepada Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa pada ceramah yang diadakan di perkarangan flat tersebut. Ramai penduduk tempatan hadir.

Malam tadi mencatat sejarah baru apabila PAS berjaya mengadakan program ceramah di situ. Terdapat lebih 200 keluarga yang mendiami beberapa blok flat terbabit.

Turut hadir meraikan penghuni anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Muhammad Fadzli Hassan, Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Ketua Pemuda PAS Kota Bharu, Dr Rosli Alani Abdul Kadir dan Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Kelantan, Lim Guan Seng.

Nor Hashim berkata, ramai lagi penghuni Flat Buluh Kubu tidak sempat mengisi borang menyertai PAS untuk diserah pada ceramah tersebut.

“Selepas ramai  tahu saya mahu meninggalkan Umno dan menyertai PAS mereka datang menemui saya bagi mengikut jejak langkah saya.

“Saya tidak pernah menjanjikan mereka  apa-apa tetapi kerana datang dengan kesedaran sendiri. Mereka tahu hanya sekadar menjadi alat setiap lagi kempen pilihan raya diadakan.

“Pemimpin  peringkat bahagian hanya datang ketika musim  kempen sahaja. Tetapi pemimpin PAS lain, biar pun mereka tahu di sini kubu Umno namun mereka tetap datang. Saya sudah lama perhatikan perkara  itu,”  katanya ketika ditemui .

Beliau dilantik sebagai Setiausaha Umno Cawangan Buluh Kubu sejak empat penggal lalu. Beliau berada dalam Umno selama 25 tahun.

Menurutnya juga biar pun lama berada dalam Umno namun  tidak pernah meminta diberi sebarang jawatan atau projek di bawah kerajaan pusat.

“Saya hanya ikhlas untuk membantu Umno. Kalau ada penduduk hendak dapatkan tandatangan pemimpin peringkat bahagian, saya pergi cari mereka untuk pastikan hasrat penduduk tercapai.


“Namun sekarang saya sudah menilai apa yang saya lakukan selama ini. Tidak  selamanya saya membiarkan diri saya menjadi alat pemimpin. Saya memikirkan semula perjuangan lama, lebih-lebih lagi memikirkan soal agama,” ujarnya.

Katanya beliau bukan orang berada, hanya mencari rezeki dengan berniaga di pasar bagi mencari rezeki yang halal.

Pada majlis itu juga beberapa penghuni Flat Buluh Kubu yang uzur menerima kerusi  roda dan tongkat disampaikan Pusat Khidmat Dun Kota Lama.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.