Followers

Thursday, April 10, 2014

"APA NAMA APA NAMA; SAYA TAK INGAT !!"

Isu Memali: Dr. Mahathir Jawab Musa Hitam


[AA] KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengatakan beliau tidak ingat apakah bekas timbalannya, Tun Musa Hitam ada menasihati beliau supaya menangguhkan lawatan kerja ke China susulan insiden berdarah di Memali pada 19 November 1985.

"Saya tidak ingat yang Tun Musa datang berjumpa saya untuk saya tidak pergi ke Beijing tetapi beliau berada di lapangan terbang bersama dengan ramai orang yang ingin ucap selamat pemergian saya ke Cina.

"Di waktu itu pun saya tidak ingat yang Tun Musa menasihat supaya saya tidak pergi luar negeri," katanya dalam satu makalah di blognya, chedet.cc.

Dr. Mahathir berlepas ke Beijing sehari selepas kejadian Memali untuk mengepalai rombongan swasta yang amat besar untuk katanya, meninjau peluang dagang dengan negara China yang baru sahaja dibuka untuk penyertaan peniaga luar.

Beliau juga yakin Musa sebagai Timbalan Perdana Menteri dapat menangani keadaan "sehingga saya lantuk beliau sebagai Pemangku Perdana Menteri" dan sepanjang berada di luar negara, tidak ada apa-apa yang berlaku yang tidak boleh ditangani oleh Timbalan Perdana Menteri yang memangku jawatan Perdana Menteri.

Dr. Mahathir menulis makalah itu sebagai menjawab kenyataan Musa baru-baru ini bahawa bekas Perdana Menteri itu berada di tanahair semasa kejadian Memali dan beliau bukan memangku tugas Perdana Menteri.

Isu siapa yang ada dan tidak ada di dalam negara pada masa kejadian itu timbul semula selepas Musa dalam satu forum di Kota Bharu, Kelantan pada 27 Mac lepas mendedahkan bahawa Dr. Mahathir berada di Kuala Lumpur "dua tiga hari" selepas insiden itu berlaku.

Dalam satu penjelasan lebih kurang seminggu selepas forum itu, Musa berkata beliau memohon Dr Mahathir supaya menangguhkan lawatan ke China selepas kejadian tersebut atas tiga alasan: kejadian itu melibatkan orang Melayu beragama Islam, kejadian berlaku di Kedah, negeri Dr. Mahathir sendiri dan ketiga, dengan menangguhkan lawatan ke China, Dr Mahathir memperlihatkan sifat mengambil berat terhadap peristiwa yang telah berlaku di dalam negeri.

Menurut Dr. Mahathir, soal beliau kononnya tidak ada dalam negeri semasa kejadian itu berlaku bukan disebarkan oleh dirinya sendiri. Malah dalam bukunya pun, beliau tidak sebut perkara itu, katanya yang dilihat merujuk kepada memoirnya,A Doctor in the Houseyang juga diterjemahkan dengan judulDoktor Umum.

Jelas Dr. Mahathir, apa yang diketahui umum ialah Musa pada masa itu merupakan Menteri Dalam Negeri yang juga Timbalan Perdana Menteri.

"Sebagai Menteri Dalam Negeri rundingan dan laporan oleh Ketua Polis Negara dibuat kepadanya. Menteri Dalam Negeri juga terlibat dalam memutuskan tindakan yang diambil.

"Jika hanya apabila semua berjalan dengan baik pengakuan bertanggungjawab dibuat, tentulah ini kurang manis," katanya.

Menurut Dr. Mahathir, semasa beliau jadi Perdana Menteri, masalah keselamatan negara dipikul bersama oleh beliau dengan Timbalan Perdana Menteri dan antara mereka, masing-masing memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan atau Menteri Dalam Negeri.

"Amalan ini disebabkan soal keselamatan negara begitu penting," katanya.

Dr. Mahathir juga menarik perhatian kepada tugas Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab atau sekurang-kurangnya merestui tindakan terhadap ancaman keselamatan negara yang besar.

"Tun Musa telah akui beliau bertanggungjawab. Dalam sistem kabinet yang kita amalkan semua anggota kabinet, terutama Perdana Menteri bertanggungjawab," katanya.

Dr. Mahathir juga mempertahankan Musa apabila berkata beliau tidak fikir Musa telah meramalkan akan berlaku kehilangan nyawa dalam kejadian di Memali hasil keputusannya sebagai Menteri Dalam Negeri.

Pada pagi 19 November 1985 itu, polis membuat operasi di Memali untuk menahan Ibrahim Mahmood atau lebih dikenali dengan nama Ibrahim Libya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa terlibat dalam kegiatan memecah-belahkan umat Islam.

Dalam serbuan itu, empat anggota polis terbunuh bersama-sama 14 penduduk kampung termasuk Ibrahim.

"Harus diingat bahawa anggota polis dibunuh sebelum polis menembak balas. Amat malang sekali sementara kematian Ibrahim dan pengikutnya diingati, bahkan dilaung sebagai syahid, kematian anggota polis yang menjaga keselamatan kita dilupakan," kata Dr. Mahathir.

Bekas Perdana Menteri itu juga mengakui kejadian itu tidak sepatutnya berlaku tetapi beliau bertanya apakah ia harus dibiarkan melarat sebelum diambil tindakan. - 10/4/14
Duniacacamarba

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.