Followers

Friday, April 25, 2014

Anwar Kemukakan 35 Alasan Rayu Ketepi Sabitan

PUTRAJAYA - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan petisyen rayuan terhadap hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan hari ini dengan mengemukakan 35 alasan rayuan kenapa sabitan dan hukuman terhadapnya perlu diketepikan.
   

Rayuan tersebut difailkan oleh peguam Zaleha Al-Hayat, iaitu seorang pembantu mendiang Karpal Singh kira-kira 2 petang, sejam sebelum tempoh pemfailan tamat.
  
Dalam alasan petisyen rayuan itu, peguam Anwar telah menyatakan panel hakim Mahkamah Rayuan telah tersalah arah apabila menyimpulkan dua orang pakar DNA dari Australia Dr David Lawrence Wells dan Dr Brian Mcdonald yang merupakan saksi pembelaan, bukanlah saksi-saksi berkompeten.
  
"Adalah jelas hakim-hakim Mahkamah Rayuan telahpun gagal memahami keterangan terutamanya SD4 (Dr Brian) yang jelasnya adalah kompeten.
  
"Terdapat keterangan mencukupi bahawa SD4 sememangnya memantau orang bawahan beliau yang melakukan analisis dan sudah tentunya kompeten di dalam penganalisaan yang dilakukan," jelas pihak pembelaan.

Di dalam alasan penghakiman bertarikh 14 April lalu, panel hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Balia Yusof Wahi ada menyatakan bahawa kedua-dua pakar (Dr Wells dan Dr McDonald) itu merupakan pakar yang hanya pandai berteori berbanding dengan keterangan ahli kimia pihak pendakwaan Dr Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon adalah berdasarkan fakta dan analisis terhadap sampel yang dijalankan mereka.
  
Dalam petisyen rayuan itu, pihak pembelaan menekankan panel hakim tersalah arah dari segi undang-undang kerana tidak "menikmati" keterangan Dr Brian secara mendalam kerana pakar itu berjaya menimbulkan keraguan yang serius terhadap keputusan terhadap analisis-analisis yang dilakukan Dr Seah dan Nor Aidora.

Pihak perayu mendakwa, terdapat keraguan sama ada sampel-sampel yang dianalisis Dr Seah (SP5) adalah sampel-sampel yang dikutip oleh tiga orang doktor di Hospital Kuala Lumpur selepas mangsa Mohd Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis mengenai kejadian meliwat yang didakwanya.
  
Mereka mendakwa terdapat keraguan yang serius mengenai DNA "Male Y" berdasarkan keterangan-keterangan daripada Dr Seah dan Nor Aidora.
  
Selain itu, pihak pembelaan menegaskan bahawa perayu (Anwar) berhak memberi keterangan di dalam kandang tetapi komen-komen panel dalam penghakimannya jelas menunjukkan para hakim terlalu memprejudiskan perayu.


"Hakim-hakim telahpun salah arahkan diri mereka dengan serius dalam membuat kesimpulan terhadap pihak perayu atas keputusan perayu untuk tidak memanggil saksi-saksi alibi," dakwa pihak pembelaan dalam alasan rayuan itu.
  
Selain itu, hujah mereka, panel hakim sepatutnya memutuskan sampel-sampel yang dikeluarkan daripada dubur perayu menimbulkan keraguan yang serius kerana berlakunya proses tercemar.
  
Pihak pembelaan juga menimbulkan isu pematahan rantai keterangan yang gagal diambil kira di tahap rayuan di Mahkamah Rayuan apabila permohonan mereka untuk memanggil semula pegawai penyiasat kes Superitenden Jude Blacious Pereira.
  
Pada 7 Mac lepas, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Januari 2012 yang membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful, 26, di sebuah unit Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
  
Anwar dipenjarakan lima tahun, tetapi dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan itu.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.