Followers

Monday, March 31, 2014

VIDEO - Buka Semula Kes Memali Sebelum Jadi Isu Perkauman, Kata Bekas Polis

 


Mangsa peristiwa berdarah Memali 1985, Ibrahim Libya (kiri) bergambar bersama beberapa rakannya. Gambar fail milik keluarga Ibrahim Libya.
Mangsa peristiwa berdarah Memali 1985, Ibrahim Libya (kiri) bergambar bersama beberapa rakannya. Gambar fail milik keluarga Ibrahim Libya
Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim menggesa kerajaan membuka semula penyiasatan kes pembunuhan beramai-ramai di kampung Memali, Baling, Kedah pada 1985 yang meragut 18 nyawa termasuk empat anggota polis sebelum ia dijadikan isu perkauman.
Mat Zain berkata, jika kes pembunuhan beramai-ramai di Batang Kali atau "Batang Kali Massacre" pada 1948 yang melibatkan kaum Cina dan kerajaan British boleh dibuka semula, bukti baru didedahkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam minggu lalu mengenai Tun Dr Mahathir Mohamad berada di Malaysia semasa kejadian dan bukan di China seperti dipercayai sebelum ini, cukup kuat untuk dijadikan asas memulakan semula siasatan.

"Saya berpendapat jika kerajaan gagal atau sengaja enggan membuka semula penyiasatan tragedi Memali yang meragut 18 nyawa termasuk 4 anggota polis, selepas pendedahan mengejut yang dibuat oleh Musa beberapa hari lalu, ia mungkin akan dijadikan isu perkauman yang boleh menggugat ketenteraman awam lebih-lebih lagi dalam suasana politik negara hari ini," katanya kepada The Malaysian Insider, hari ini.

"Sekiranya kes ini tidak dibuka semula, besar kemungkinan ada pihak yang akan menimbulkan persoalan mengapa kerajaan sedia menyiasat semula Batang Kali Massacre dengan semua mangsa yang terbunuh adalah orang Cina, sedangkan kerajaan enggan menyiasat semula tragedi Memali kerana semua mangsanya adalah orang Melayu yang beragama Islam,” katanya.

Beliau berkata, Batang Kali Massaccre dibuka semula selepas 45 tahun laporan dibuat, manakala bagi kes Memali pula, ia ditimbulkan semula hanya selepas 29 tahun kemudian.

"Soal sama ada Dr Mahathir berada dalam negara atau berlepas ke China atau negara lain pada hari kejadian, atau ada di Malaysia tidak sepatutnya dijadikan isu kerana kedua-duanya, Dr Mahathir dan Musa dipercayai dimaklumkan dan mengetahui operasi Memali sebelum ia dilaksanakan pada 19 November, 1985,” katanya yang juga Ketua Polis Daerah Padang Terap, Kuala Nerang, Kedah pada ketika itu.

Balai polis itu terletak hampir dengan Balai Polis Daerah Baling, lokasi kejadian tragedi Memali berlaku.

Mat Zain berkata, beliau turut terlibat secara langsung dengan operasi menahan Ibrahim Mahmud yang juga dikenali sebagai Ibrahim Libya mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau berkata, Dr Mahathir dan Musa yang juga menteri dalam negeri pada ketika itu tidak boleh lari daripada mengambil tanggungjawab tertentu secara persendirian atau secara kolektif, di atas peristiwa berdarah tersebut, sama ada mereka berada di dalam atau luar negara.

"Sebelum peristiwa di Kampung Memali itu, daerah Padang Terap dianggap daerah paling 'panas' di Kedah, setelah tercetusnya peristiwa berdarah di Felda Lubuk Merbau pada pertengahan Januari 1985, dengan seorang penyokong PAS terbunuh ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan pada masa itu.

"Ketika kejadian, saya baru sahaja seminggu mengambil alih jawatan ketua polis daerah Kuala Nerang. Saya yang menangani kes di Lubok Merbau itu.

Peristiwa berdarah Lubok Merbau turut diambil kira semasa mesyuarat perancangan Ops Memali tersebut," katanya ketika mengulas artikel disiarkan The Malaysian Insider semalam bertajuk Luka Memali berdarah kembali.

Selepas 29 tahun peristiwa Memali berlaku, Musa mendedahkan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir berada di Kuala Lumpur, bukannya China sebagaimana yang diberitakan sebelum ini.

Musa mendedahkan perkara ini dalam Diskusi Politik Malaysia: Dulu dan Sekarang anjuran Kerajaan Negeri Kelantan yang diadakan di Kota Baru minggu lalu.

Turut serta dalam majlis itu sebagai panel adalah Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan moderatornya adalah Profesor Madya Datuk Dr Mohmamad Agus Yusof.

Musa ketika menjawab soalan Agus berkata, Dr Mahathir berada di Kuala Lumpur ketika kejadian itu bahkan, "Dua tiga hari selepas kejadian itu pun dia berada di Kuala Lumpur."

Ia disambut oleh Agus dengan berkata "Oh my God," dengan nada terkejut ekoran pendedahan Musa itu kerana media melaporkan Dr Mahathir berada di China ketika kejadian itu berlaku.

"Ok, my God, our God," kata Musa menyambut kenyataan Agus sambil ketawa dengan pendedahan itu.
Dalam diskusi itu, Musa berkata:"Titik hitam dalam politik saya adalah Memali, saya cakap terus terang."

Peristiwa berdarah Memali mengorbankan Ibrahim Libya dan 13 pengikutnya serta empat polis yang bertugas dalam operasi tersebut.

PAS menyifatkan Ibrahim Libya dan 13 pengikutnya mati syahid manakala Sultan Kedah yang kini merupakan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim pernah menziarahi kubur Ibrahim Libya dan pengikutnya serta menyiramkan air mawar di atas pusara mereka.

 

- The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.