Followers

Wednesday, March 12, 2014

Maklumat, ulasan live mengenai MH 370 tambah menyerabutkan | Mohd Sayuti Omar

 
oleh: MSO

Benar kehilangan pesawat MH 370 yang sudah masuk hari kelima boleh dianggap aneh dan ia mengegarkan dunia. Para pemimpin dan ketua-ketua jabatan tertentu negara kita sendiri sudah pening dan bingung memikirkannya. 


Setakat ini tidak ada apa-apa 'solusi' berhubung kehilangan pesawat B777-200 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu.

Dari satu sudut kehilangan membingungkan semua orang itu telah membantu usaha memperkenalkan negara ini di mata dunia. Kempen Tahun Melawat Malaysia 2014, turut mendapat kesan kelabaan dari kejadian itu. 


Kenapa tidak, dalam sekelip mata saja nama Malaysia menjadi pertuturan negara-negara di seluruh dunia. 

Orang makin mengenali dan pandai menyebut perkataan MALAYSIA dan nama Malaysia Airline System juga menjadi butiran ratiban.

Tetapi sayangnya kehebatan nama negara kita dalam warna dan variasi yang tidak begitu menyenangkan. Negara kita mendapat kesan langsung atas tragedi itu. 


Kesan yang kita dapat ialah kesan negatif dan tidak berapa elok untuk sesebuah negara. Reputasi pembangunan dan kemajuan negara kita sedikit terjejas.

Dari beberapa aspek yang terkesan, ada dua aspek yang benar-benar dan menjadi perhatian dunia. Pertama, sekiranya kehilangan itu disebabkan perbuatan pengganas (rampasan), menyebabkan orang luar menyimpulkan tahap keselamatan dan kawalan di lapangan terbang kita tidak begitu ketat. 


Ia juga tidak profesional apabila terlolosnya orang-orang yang disuspek berniat melakukan perbuatan jahat.

Realiti ini dikuatkan lagi dengan kenyataan atau maklumat ada dua orang yang menaiki pesawat itu menggunakan pasport palsu. Pengenalan dua suspek yang dikatakan rakyat Iran menguatkan lagi persepsi buruk berkenaan. 


Kerana ia didedahkan sendiri oleh pihak Interpol, menyebabkan masyarakat luar tambah yakin kalau ada anggapan kawalan di lapangan terbang kita lemah. 

Alasan dua passport itu tidak ada dalam senarai Interpol tidak membantu untuk menolak kesangsian terhadap tahap kawalan keselamatan di lapangan terbang kita.

Sebenarnya sama ada dua orang penumpang berkenaan yang dikenali dengan nama Pouria Nour Muhammad Merdad dan Delavar Seyed Muhammad Reza masih belum sahih apakah mereka menaiki pesawat berkenaan, dan apa lagi bertanggungjawab dengan kehilangan itu. 


Jadi tanggapan buruk dan negatif kepada keduanya yang membawa kesan buruk ke atas negara kita dan MAS, tidak perlu diperbesar-besarkan atau 'gampang gelong' membuat kesimpulan yang mereka adalah pengganas.

Kesan kedua ialah dari segi penyebaran dan maklumat berhubung kejadian berkenaan yang diberi dari masa ke semasa. Apabila banyak sangat pihak yang hendak bercakap memberi maklumat maka berlakulah suasana yang kelam kabut dan tidak teratur. 


Akibat dari itu penyebaran maklumat yang palsu menjadikan keadaan makin haru biru.

Dalam situasi kritikal seperti hari ini semua orang khasnya keluarga mangsa terlibat sangat mendahagai maklumat. Maka kita memang memerlukan maklumat yang pantas serta pengkronologian kejadian itu, tetapi ia perlu dilakukan secara bersistematik dan tepat hingga tidak membedal balik dengan perkara tidak sepatutnya.

Gara-gara kelemahan menguruskan maklumat mengundang padah. Tidak perlu banyak pihak hendak mengambil bahagian dan diberikan ruang bercakap di hadapan media. 


Ratusan wartawan yang ada di sidang akhbar kita tidak kenal hati budi dan kulit perutnya, dan apakah tujuannya mereka membuat liputan. Jadi maklumat yang akuret, tepat dan telah disahihkan dari berbagai pihak sahaja perlu diberikan.

Apa yang berlaku dalam sidang akhbar semua pihak bercakap. MAS bercakap, DCA bercakap, Polis bercakap, Imigresen bercakap, Pemangku Menteri Pengangkutan bercakap, bahkan Menteri Pertanian dan Asas Tani yang tidak ada kena mengena pun turut sama bercakap. 


Mulanya Shahidan Kassim juga ikut sama memberi maklumat semasa. Tidak cukup dari itu Tentera yang dianggap entiti terakhir harus bercakap, juga ikut bercakap sama.

Akibat ramai sangat mulut maka berlakulah ketumpahan maklumat sehinggakan berbaur di antara yang palsu dengan yang benar, ilusi dan realiti. Di sini berlakulah percanggahan yang tidak sepatutnya berlaku.

Percanggahan paling melucu dan 'menderhakakan' ialah diantara DCA dengan Polis berhubung dengan status lima orang penumpang. 


Kata Pengarah DCA Azharudin Abdul Rahman lima penumpang tidak naik ke pesawat dan bagasi mereka dikeluarkan. 

Manakala kata KPN Khalid Abu Bakar pula, semua penumpang yang tempah pesawat berkenaan semuanya naik kecuali soerang yang terlepas kerana tersilap tarikh.

Percanggahan ini sesuatu yang tidak perlu berlaku dalam sidang akhbar bertaraf dunia yang hanya berlaku bila ada kejadian sebesar kejadian kehilangan pesawat itu sahaja. 


Apakah tidak ada penyelarasan di antara mereka. Apakah pihak MAS tidak memberi maklumat tepat terperinchi kepada DCA? 

Dan apakah perkara itu perlu dijelaskan oleh DCA yang tidak bertanggungjawab terhadap urusan naik turun penumpang?

Apa pun mengenai lima penumpang itu sudah selesai bila Khalid menjelaskan percanggahan itu dan selepas itu Azharuddin dirihatkan dari memberi apa-apa kenyataan tidak muncul-muncul lagi.

Tetapi maklumat yang tidak tepat yang dipetik oleh media arus perdana Berita Harian daripada Panglima Tentera Udara Rozali Daud konon menurut firasatnya (radar TUDM) pesawat MH 370 berpatah balik sehingga usaha mencari dan menyelamat terpaksa diperluas hingga ke Selat Melaka sesuatu yang sangat buruk kepada negara dan sistem maklumat negara ini. Ia juga menjejaskan TUDM itu sendiri.

Kenapa perkara ini boleh berlaku. Rozali menafikan yang beliau memberi penjelasan itu? Ertinya ia pandai-pandai Berita Harian sahaja dalam mengejar skop. 


Betapa laporan dibuat itu mengacau bilaukan pemikiran orang ramai. Iya lebih bahaya lagi apabila berita berkenaan dipetik oleh agensi Reuter dimana ia disebarkan di seluruh dunia. 

Kemudian laporan Reuter itu pula kita mengambilnya sebagai laporan yang tepat dan betul.

Soal SOP atau etika ini bukan sahaja perlu dipersoalkan kepada Polis, Imigresen, MAS dan DCA, tetapi media khasnya Berita Harian juga. 


Wajar atas kesalahan itu mereka bertanggungjawab di Berita Harian dihukum. Orang besar di Media Prima yang menaungi BH patut melakukan hara kiri dan Selat Teberau.  Kesalahan yang dibuat itu bukan saja menjejaskan imej TUDM tetapi negara seluruhnya.

Sebagai sebuah akhbar yang besar yang bernaung di bawah Media Prima, Berita Harian tidak harus tersilap melakukan kesalahan itu. Atau apakah kesilapan itu sebagai hukum karma di atas kebiadapan akhbar berkenaan?

Seperkara lagi yang saya melihat agensi menimbulkan kacau bilau berhubung kejadian ini yang menjadi racun  ialah saluran televisyen yang berebut-rebut membuat siaran langsung atau mengadakan slot khas melaporkan misi pencarian dan penyelamatan (SAR) ini untuk mendapat ranting penonton teramai. Mereka juga tidak adil memberi khidmat dan tidak cuba membawa mesej perpaduan dalam siaran mereka. 


Dalam saat negara berada dalam suasana 'darurat' dan kacau bilau minda ini mereka masih terus dengan sikap kolot dan kejamnya berlaku diskriminasi dalam memberi ruang.

Saya tidak tenguk media mengambil pendapat dan pandangan daripada pihak pembangkang. 


Tidak ada tokoh-tokoh pembangkang yang ditanya atau diminta pandangan. Semua golongan dan profesyen diberikan ruang melemparkan pandangan mereka hatta ianya bertaraf sampah. 

Dari pakar penerbangan, (aviation) keselamatan, pakar psykologi, tukang masak, pramugari, pilot hatta artis diminta pandangan. 

Sikap terus melaku mengasingkan pembangkang inilah satu sikap tidak profesional yang tidak wajar diamalkan oleh media massa yang berfilsofi pembentuk pemikiran massa rakyat.

Apakah pembangkang tidak boleh berkongsi kesusahan dengan rakyat dan rugikah kerajaan kalau mereka turut menyatakan simpati dan komitmen mereka? 


Kalau institusi media yang dianggap sebagai institusi yang adil dan saksama, makenisme rakyat yang utama, terus bermain politik dalam hal-hal kritikal begini, apa lagi diharap kepada institusi lain yang selalu menafikan hak pembangkang.

Saya percaya kalau media massa bersikap adil dan terbuka dengan turut sama memberi ruang untuk pembangkang memberi pandangan, beban berat negara kini dapat dikongsi dengan lebih ramai lagi. 


Dengan  menggelapkan wajah dan suara mereka, menjadikan orang akan menganggap media Malaysia khasnya eletronik hanya media propagandis semata-mata. Jadi apa-apa juga maklumat termasuk mengenai kehilangan pesawat MH 370 itu akan diragui dan disangsi kerana sifat media itu awal-awal lagi sudah diragu.

Wajarlah kalau negara luar mengecam kelemahan kita dalam menyediakan maklumat dan melaporkan perkembangan kehilangan pesawat berkenaan sehingga ia memberi beban kepada jutaan manusia. [wm.kl.12:34 pm 12/03/14]

- http://msomelayu.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.