Syabas Mejar Zaidi, Tidak Ramai Anggota Tentera Yang Berani Sepertinya
KUALA LUMPUR 8 FEB: Shafinah Abdul Hamid, isteri kepada Mejar Zaidi Ahmad yang didakwa atas tujuh tuduhan oleh Mahkamah TUDM kerana dikatakan menghantar SMS berbaur politik dan hasutan berkata, apa yang dilakukan suaminya adalah hak sebagai rakyat Malaysia.
Beliau ketika ditemui di perkarangan Mahkamah TUDM semalam menyatakan sokongan penuh kepada suaminya dan menyifatkan tindakan mendedahkan isu dakwat kekal merupakan hak suaminya sebagai pengundi.
“Itu hak dia sebagai rakyat Malaysia. Dia (Mejar Zaidi) tahu apa yang akan berlaku jika buat pendedahan.
“Tapi baginya itu adalah hak dia untuk menyatakan pendirian sebagai pengundi,” kata Shafinah.
Sementara itu, Mejar Zaidi Ahmad yang segak beruniform hanya tersenyum sambil membuat simbol aman (peace) dengan tangan sebaik selesai prosiding pertuduhan di mahkamah, semalam.
“Saya tak boleh komen apa-apa,” katanya ringkas sambil tersenyum.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Mejar Zaidi didakwa “di perkarangan Balai Polis IPD Kepala Batas pada 1 Mei 2013 melanggar Perintah Majlis Angkatan Tentera No 13 Tahun 1961, Discipline and Security – Communication of Information and Publication of Articles by Members of the Armed Forces,” di bawah Para 5 dan Para 13.
Beliau didakwa “dengan membuat kenyataan media untuk menyatakan rasa tidak puas hati berhubung isu dakwat kekal yang sepatutnya perkara tersebut disiasat melalui saluran angkatan tentera”
Manakala dibawah Para 13 beliau didakwa “dengan membuat kenyataan media berhubung isu dakwat kekal tanpa mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Pertahanan”.
Bagi pertuduhan ketiga, keempat dan kelima, beliau di Taman Bertam Indah pada 3 Mei 2013 didakwa melanggar perintah yang sama di bawah Para 5 dan Para 13 serta satu lagi kesalahan di bawah Para 3, iaitu “dengan menyiarkan maklumat rasmi berupa kawat tumpangan keluar kepada pihak media tanpa mendapat kelulusan daripada Majlis Angkatan Tentera”.
Bagi pertuduhan keenam, beliau semasa bertugas di Pangkalan Udara Butterworth pada 1 Mei 2013 didakwa “telah melanggar perintah tetap pengkalan iaitu Perintah Bahagian 2 Perintah No 51, dengan menghantar khidmat pesanan ringkas berbaur politik dan/atau hasutan dengan menyatakan “Ayuh mempertahankan ibu pertiwi dri djajah oleh penipu dan perasuah, jgn jd bacul dan nnt anak cucu kencing d atas kubur kita” iaitu suatu perintah yang diketahui atau sepatutnya dia mengetahui.”
Bagi pertuduhan keenam pula beliau dituduh melakukan kesalahan serupa dengan kandungan SMS berikut “Sama2 lah kita berdoa agar Allah SWT memberi petunjuk dan hidayah kepada kita semua serta dilindungi negara kita yang tercinta ini dari diperintah oleh SIPENZALIM, PEMFITNAH, PERASUAH, PENIPU DAN PENGANJUR PGRM2 MAKSIAT”. -kD
Dakwat kekal: Mejar Zaidi mengaku tidak bersalah
Mejar Zaidi Ahmad hari ini mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau ekoran pendedahan mengenai dakwat kekal yang digunakan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tentera di pangkalan TUDM, Sungai Besi, petang tadi.
Biarpun pihak peguambela mengemukakan bantahan awal terhadap tuduhan yang dikenakan, mahkamah menolak bantahan itu dan memutuskan untuk meneruskan perbicaraan tersebut.
Hakim kemudiannya menetapkan 8 hingga 10 April depan bagi sebutan semula kes tersebut.
Lima daripada pertuduhan berkenaan di bawah Seksyen 50(2) Akta Angkatan Tentera 1972, sementara dua lagi membabitkan Seksyen 51 akta sama.
Seksyen 50(2) adalah membabitkan kesalahan tidak patuh kepada pegawai atasan yang boleh dipenjara tidak lebih dua tahun, manakala Seksyen 51 pula tidak patuh kepada perintah tetap yang boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau hukuman ringan lain.
Semua pertuduhan berkenaan merujuk pada tarikh 1 Mei 2013 di dua lokasi berbeza iaitu perkarangan Balai Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kepala Batas dan Pangkalan Udara Butterworth.
Sementara itu, isteri beliau, Shafinah Abdul Hamid ketika ditemui menyatakan sokongan penuh kepada suaminya dan menyifatkan tindakan mendedahkan isu dakwat kekal itu merupakan hak suaminya sebagai pengundi.
"Dia (Mejar Zaidi) tahu apa yang akan berlaku jika buat pendedahan itu, tapi baginya itu adalah haknya untuk menyatakan pendiriannya sebagai pengundi," ujar beliau ringkas.
Beliau kemudiannya enggan mengulas lanjut apabila ditanya tentang perasaannya dan harapan beliau terhadap perbicaraan yang akan bermula April depan.
Turut hadir pada sebutan kes petang tadi ialah Ketua dan Naib Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat dan Ir. Khairil Nizam Khirudin.
Semalam, PAS menggesa TUDM membatalkan tindakan pendakwaan terhadap Mejar Zaidi dan menyifatkan pendakwaan ke atas Zaidi adalah satu tindakan yang tidak wajar, malah akan memalukan institusi tentera secara keseluruhannya memandangkan anggota itu hanya menzahirkan haknya sebagai seorang pemilih yang sah.
"Kes ini adalah berkaitan hak dan kebebasan demokrasi berparlimen. Ianya bukan kes salah laku dalam tentera secara khusus.
"Dia buat atas dasar hak dia sebagai seorang rakyat, dan terpanggil untuk menyatakan kepincangan yang berlaku dalam pilihan raya yang dia alami sendiri.
"Jadi kita mintak pihak tentera membatalkan, atau tarik balik pendakwaan kes tersebut," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar kepada Harakahdaily. -HD
ULASAN GB
Semuga Allah melimpahkan kesabaran dan rahmatNya ke atas keluarga Mejar Zaidi serta dikurniakan kemenangan di dalam kesnya nanti. Allah sesekali idak akan mensia-siakan perjuangan orang yang menyatakan kebenaran dan berbuat kebaikan...
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.