Followers

Thursday, February 13, 2014

Mahkamah tolak permohonan Anwar panggil bekas polis jadi saksi


Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memanggil pegawai penyiasat menjadi saksi dalam kes liwatnya.

Hakim Datuk Aziah Ali yang mengetuai panel tiga hakim berkata, Anwar gagal memenuhi permintaan mengikut undang-undang untuk memanggil saksi.

Peguam, Karpal Singh kemudian memohon mahkamah menangguhkan kes rayuan liwat Anwar berikutan ketua pembangkang itu berniat membawa perkara berkenaan ke Mahkamah Persekutuan.
Bagaimanapun, permohonan itu dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Anwar terdahulu membuat permohonan untuk memanggil polis bersara, pegawai penyiasat Superintendan Jude Blacious Pereira memberi keterangan di kandang saksi.

Pada Januari, Pereira gagal dalam cubaannya untuk diakui sebagai peguam selepas Majlis Peguam memfailkan bantahan awal di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam bantahan awal itu, Majlis Peguam memberi alasan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mendapati bekas pegawai polis itu tidak layak menjadi saksi dalam perbicaraan polis menahan lima peguam pada 2009 di balai polis Brickfields.

Keputusan itu dibuat oleh tiga anggota panel Suhakam yang diketuai oleh Shafee semasa beliau menjadi pesuruhjaya Suhakam.

Kes pendakwaan akan bertumpu kepada bukti DNA yang ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas ia mendapati wujud kemungkinan ianya diubah.

Pereira yang mengambil sampel daripada doktor dan mahkamah diberitahu bahawa dia membuka pakej itu dan melabelnya berbeza daripada apa yang ditandakan oleh doktor pada asalnya, sebelum membawanya kepada ahli kimia.

Terdapat juga persoalan mengenai sampel itu tidak disimpan dengan betul. Menurut arahan Hospital Kuala Lumpur, ia perlu disimpan dalam peti sejuk, tetapi Pereira menyimpannya dalam almari besi di pejabatnya yang berhawa dingin.

Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan di kondominium Desa Damansara pada 28 Jun 2008. - TMI

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.