PAS
Selangor tidak semestinya menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai
menteri besar (MB) malahan akan meletakkan wakilnya sekiranya Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim melepaskan jawatan tersebut, kata Mohd Khairudin
Othman.
Menurut setiausaha PAS Selangor itu, selagi tidak timbul isu
penggantian menteri besar, parti Islam itu hanya menjadi pemerhati
sahaja.
"Namun sekiranya berlaku kekosongan pada jawatan MB, maka PAS Selangor
akan mengambil bahagian dalam menentukan siapa calon yang akan diterima
oleh rakyat dan PAS Selangor akan turut menghantar senarai calon MB yang
dirasakan layak dan sesuai.
"Ini termasuk menamakan Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad sebagai calon utama kita," katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan dikeluarkan selepas sidang media PKR pagi tadi yang turut
disertai wakil PAS dan DAP yang memaklumkan Anwar akan bertanding di
kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang selepas dikosongkan.
Semalam bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang Lee Chin Cheh
meletakkan jawatan kerana dikatakan mahu memberi laluan kepada Anwar
yang mahu menggantikan Abdul Khalid sebagai menteri besar Selangor.
Menurut Mohd Khairudin, pihaknya mengikuti perkembangan politik di Selangor secara langsung dan berhati-hati.
"Kita akan menghantar nama ini untuk pertimbangan PAS Pusat dan
terserah kepada kepimpinan pusat untuk menentukannya kemudian. Mengapa
kita hantar calon kita? Kerana kita juga memiliki kerusi terbanyak dalam
DUN," katanya.
"Apa pun keputusan kita dalam Pakatan Rakyat (PR) kita yakin ia
mestilah membawa kepada kestabilan kerajaan negeri Selangor yang
dipimpin oleh PR," katanya.
PKR hari ini mengesahkan akan meletakkan Anwar sebagai calon bagi kerusi DUN Kajang yang dikosongkan oleh Lee semalam.
Keputusan itu diumumkan oleh Abdul Khalid di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor hari ini.
"Parti Keadilan dan Pakatan Rakyat setuju meletakkan calon Datuk Seri
Anwar Ibrahim yang akan bertanding di Kajang," kata Abdul Khalid. – 28
Januari, 2014.
The Malaysian Insider.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.