Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata gesaan supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubuk Lee Khai Loon memohon maaf kerana dikatakan menghina Datuk Seri Najib Razak adalah sekadar cadangan daripadanya dan terpulang kepada Adun PKR itu jika menolak gesaan berkenaan.
Lim menegaskan Lee dalam kenyataannya telah berkata, beliau menafikan menghina Perdana Menteri berkenaan dengan menyuapkan kangkung ke dalam replika Najib, sebaliknya hanya menyampaikan mesej penderitaan rakyat disebabkan peningkatan kos sara hidup.
"Beliau nafi maksud (suap kanglung) menghina Najib. Beliau hanya nak sampaikan mesej tentang derita rakyat," kata Lim di Ibu Pejabat PAS selepas masyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Kuala Lumpur.
Penasihat DAP itu turut berkata, beberapa pihak jelasnya turut dilihat cuba menjadikan isu berkenaan sebagai isu perkauman kerana Lee didakwa menghina perdana menteri Melayu, sedangkan Najib adalah perdana menteri untuk semua rakyat Malaysia.
"Saya lihat ada orang yang cuba cetuskan isu perkauman dengan isu itu. Ia tiada kaitan, beliau tidak hina PM. Macam Cina hina pemimpin BN. Najib PM Malaysia, bukan PM Melayu," kata Lim.
"Ia (isu kenaikan kos) bukan hanya dirasai masyarakat Cina, rakyat Malaysia juga. Sebab itu ada ‘Tsunami Kangkung’. Rakyat rasa marah pada Najib," katanya.
Lee dalam kenyataannya menegaskan tidak akan memohon maaf atas perbuatannya menyuapkan kangkung ke dalam mulut replika Najib sebagaimana digesa Lim.
Beliau sekali lagi menegaskan salah satu objektif acara tersebut adalah bagi menagih keprihatinan Najib memahami kesusahan rakyat yang tertekan dengan kenaikan harga barang dan tidak bertujuan menghina sesiapa.
“Saya tidak akan tunduk kepada kenyataan perkauman dan keganasan Umno. Mereka adalah pencetus kepada apa yang berlaku baru-baru ini.
“Saya amat berterima kasih kepada Kit Siang atas keprihatinan beliau tetapi saya juga amat marah dengan tindakan Umno dan penyokongnya yang selalu memainkan isu perkauman untuk mengalihkan fokus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lim sebelum ini menggesa Lee memohon maaf supaya kumpulan ekstremis tidak menjadikan insiden itu sebagai modal mencetuskan tragedi berdarah seperti apa yang berlaku semasa 13 Mei 1969.
Katanya, Lee perlu mempertimbangkan permohonan maaf itu berikutan terdapat pihak tertentu termasuk dirinya melihat perbuatan tersebut sebagai melampau, kasar dan tidak sensitif. – 22 Januari, 2014.
The Malaysian Insider.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.