Followers

Wednesday, January 22, 2014

Dr Abdul Aziz Bari :Agong bukan ketua Islam, hanya Nabi Muhammad boleh tentukan undang-undang Islam Dicatat oleh ustazcyber



Abdul Aziz berkata, Malaysia tidak mempunyai ketua agama kerana Agong hanya ketua agama di negeri asalnya dan tidak terpakai bagi negeri seperti Kuala Lumpur, Labuan, Putrajaya, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai SultanPakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari (gambar) berkata, titah Yang di-Pertuan Agong adalah terhad dan  pemerintah tidak berkuasa seperti Nabi Muhammad untuk menentukan undang-undang Islam.


"Kenyataan yang dibuat oleh Agong dalam isu kalimah Allah minggu lalu tidak mempunyai kesan kepada bukan Islam yang menetap di negeri berkenaan," kata bekas pensyarah UIA itu dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Majlis Raja-Raja adalah platform terbaik untuk mewakili pemerintah dalam isu agama namun  bukan semua sultan sependapat dengan Agong dan Sultan Selangor dalam isu kalimah Allah.


Abdul Aziz berkata, resolusi yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1986 seperti yang dititah oleh Agong juga tidak terpakai daripada sudut perundangan.


"Ia tidak sah daripada sudut perundangan," katanya.


Katanya, hanya Nabi Muhammad mempunyai kuasa untuk menentukan undang-undang Islam, malah sahabat nabi dan kalifah juga tidak mempunyai kuasa sedemikian.


"Kedudukan sultan jauh berbeza dengan khalifah.


"Dalam mana-mana kes, hanya undang-undang Islam yang terkandung dalam Perlembagaan dan undang-undang relevan boleh dikuatkuasakan," katanya.


Beliau juga sekali lagi mengulangi pendirian bahawa kenyataan Agong tidak memberi kesan kepada bukan Islam kerana Perlembagaan Persekutuan menjamin hak kebebasan beragama.


"Tiada mana-mana pihak berkuasa boleh menyuruh bukan Islam bagaimana mereka wajar mengamalkan agama mereka.


"Malah untuk Muslim, hanya agama tersebut boleh mengatur bagaimana mereka mengamalkan Islam," katanya.


Selain itu, katanya, kenyataan mengenai kalimah Allah tidak mengikat semua Muslim kerana tidak mempunyai asas yang jelas.


"Terdapat  tokoh agama seperti Shaykh Yusuf al-Qaradawi yang mengatakan ia tidak menjadi masalah kepada bukan Islam untuk menggunakan kalimah Allah," katanya.


Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Sultan Abdul Halim Muadzam Shah pada hujung minggu lalu memetik keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1986 yang mengatakan sesetengah perkataan termasuk kalimah Allah hanya eksklusif kepada umat Islam, menimbulkan kebimbangan kepada bukan Islam berhubung hak beragama seperti dijamin Perjanjian Malaysia 1963.


Kenyataan Sultan Kedah itu dibacakan ketika berlaku ketegangan di antara umat Islam dan penganut Kristian berhubung penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian yang menggunakan bahasa Melayu di Malaysia.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri, berkata pada hujung minggu lalu, Putrajaya tetap memberikan komitmen terhada penyelesaian 10-perkara ditandatangani dengan Sabah dan Sarawak yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu.


Penyelesaian 10-perkara itu diumumkan pada April 2011 untuk menyelesaian isu berhubung penggunaan kalimah Allah dalam Bible berbahasa Melayu oleh majoriti penganut Kristian di Malaysia Timur.


Dalam perjanjian tersebut yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, Bible dalam semua bahasa boleh dicetak atau diimport ke dalam negara. – 22 Januari 2014.TMI


Ustazcyber.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.