Followers

Wednesday, January 22, 2014

Apakah PKR boleh mengelak episod Zaid Ibrahim berulang? - Timmy Say

Kerajaan Selangor kini menjadi medan bertempur pemilihan PKR yang bakal berlangsung tidak lama lagi.   Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah sudah lama tidak muncul di media berita. 
 
 
Kedudukannya sebagai Presiden PKR sudah hampir akan terlepas daripada tangannya.
 
Ada golongan yang sanggup menggelarnya sebagai ‘sleeping beauty’ tanpa melihat sejarah bagaimana Wan Azizah berdiri seorang diri ketika suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadapi hukuman politik.

Wan Azizah ketika itu, jika ingin menangis, beliau hanya boleh memastikan air mata mengalir keperutnya dan bukan daripada matanya kerana beliau perlu menampilkan ketabahannya didepan musuh-musuh politik suaminya.

Sebagai seorang ibu, beliau kena bertahan untuk anak-anaknya. Sebagai seorang isteri, beliau kena bersabar menggigit gusi untuk memperjuangkan keadilan bagi suaminya dan semangat itu dipikul dengan mendukung PKR dari kelahirannya sehingga kini.

Pengorbanan dan kekentalan jiwa Dr. Wan Azizah menjadi sanjungan semua, terutama golongan wanita.

Oleh itu, dalam pemilihan akan datang, Dr. Wan Azizah tidak patut menghadapi situasi yang boleh meremehkan pengorbanannya.

Kini ada dua pilihan untuk beliau, berundur secara terhormat ataupun kekal sebagai presiden tanpa bertanding.

Jika Dr. Wan Azizah terpaksa bertanding untuk mempertahankan kerusi Presiden PKR, sudah pasti golongan yang sanggup menggelarnya ‘Sleeping Beauty’ akan melondehkannya dan membiarkan beliau tersadai malu dengan pelbagai serangan menjengkelkan.

Banyak perkara buruk untuk menjustifikasikan mengapa Dr. Wan Azizah tidak layak terus menduduki kerusi Presiden PKR akan dikeluarkan untuk tatapan umum. 
 
Dalam politik, istilah simpati dan kenangan tidak mempunyai sebarang kesan apabila nafsu dahagakan jawatan membara.

Apakah Anwar akan membiarkan itu berlaku? Sudah tentu tidak. Tetapi, Anwar tidak akan dapat menghalang perkara itu berlaku sekiranya Dr. Wan Azizah terus mempertahankan jawatannya.

Apa yang Anwar boleh lakukan ialah mengelak peristiwa itu daripada terjadi di mana isterinya berundur secara terhormat.

Tetapi, ini bermakna kuasa yang ada pada kedudukan Anwar sebagai Ketua Umum PKR, satu jawatan yang sebenarnya tidak berjawatan di PKR, akan lenyap.

Anwar kini sebenarnya berfungsi sebagai Presiden PKR sebenar kerana yang memegang jawatan itu adalah isterinya.

Sekiranya jawatan itu jatuh pada orang lain yang berani ingkar arahannya, Anwar akan bertukar menjadi seorang pengikut dan bukan lagi seorang yang berkuasa penuh di PKR.

Bayangkan situasi ini berlaku ketika Himpunan Blackout, Ketua Umum PKR sokong Himpunan Blackout tapi Presiden PKR tidak sokong, ahli PKR hendak ikut suara mana?

Jadi, sudi atau tidak sudi, hendak atau tidak, Anwar terpaksa bertanding di kerusi Presiden PKR untuk mengekalkan penguasaannya pada PKR.

Bagaimana pula dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali? Jika Dr. Wan Azizah kekal ingin mempertahankan jawatannya, sudah tentu Azmin akan mencabarnya.

Jika Anwar inginkan kerusi Presiden PKR, Azmin sudah tentu tidak akan mengambil risiko untuk menaiki takhta PKR.

Tetapi, Azmin akan bimbang pada siapa yang bakal mencabarnya. Kehilangan jawatan sebagai pengarah PKNS, memberi tamparan kepadanya, walaupun ramai melihat itu sebagai satu perkara biasa kerana tiada undang-undang yang mengatakan jawatan PKNS perlu dikhaskan kepada seorang timbalan presiden.

Azmin menjadi lebih panas hati apabila Ketua Eksekutif PKNS ialah Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, orang yang ingin digantinya dengan diri sendiri sebagai menteri besar.

Sama ada apa yang berlaku di PKNS itu disengajakan mahupun tidak, Azmin mengesahkan bahawa ini adalah perbuatan musuhnya yang dikenali sebagai Mr U Turn. Dan Mr U Turn ini pula diura-urakan sebagai salah seorang yang bakal mencabarnya di kerusi timbalan presiden.

Siapa lagi Mr U Turn kalau bukan Khalid? Namun, apakah Khalid akan ke kerusi timbalan presiden?

Khalid tetap dipilih menjadi menteri besar Selangor walaupun tidak mempunyai apa-apa jawatan besar di PKR. Tambahan pula, Khalid mendapat sokongan istana dan rakyat.

Jika diadakan pilihan raya menteri besar di Selangor, Khalid akan menang mengatasi mana-mana Adun yang menang di Selangor. Oleh itu, sebarang cadangan untuk menukar Khalid akan mendapat reaksi besar daripada rakyat.

Khalid juga disokong PAS dan DAP pada awalnya, tetapi kini sokongan PAS dan DAP kepadanya juga agak rapuh kerana cara pentadbiran dan komunikasi korporatnya.

Namun, Khalid tetap akan menjadi pilihan PAS dan DAP jika mereka terpaksa memilih antara Azmin dan Khalid sebagai calon menteri besar.

Jiwa Khalid ialah seorang ahli korporat, dan bukan seorang ahli politik. Khalid tahu untung rugi untuk merebut jawatan timbalan presiden PKR.

Apa untungnya untuk masuk pertandingan ini? Selain sakit kepala dan membuka diri untuk ditembak musuh, tiada yang lain.

Apa untungnya Khalid susahkan diri dengan memenangi jawatan ini yang lebih memeningkan kepala tatkala pentadbiran Selangor menjadi semakin mencabar dengan peristiwa seperti serbuan JAIS ke atas BSM tanpa memaklumkan kepada kerajaan negeri terlebih dahulu?

Khalid tetap kekal sebagai menteri besar, dan PKR tetap bergelora, kerana pihak yang kalah tidak pasti sudi lagi ke tidak untuk duduk di dalam PKR. Masa itu, Khalid akan dikenang sebagai penyelamat, pembersih kotoran PKR atau perosak PKR?

Apa untungnya pula jika Khalid kalah pertandingan ini? Kalau bertanding untuk kalah, mengapa bazir masa? 
 
Untuk seorang ahli korporat seperti Khalid, masa ialah wang dan dengan sikapnya yang suka berjimat, sudah tentu beliau tidak akan membazirkan masa kerana beliau akan kekal sebagai menteri besar walaupun kalah.

Dilaporkan baru-baru ini bahawa ada kumpulan yang mencadangkan agar Khalid meletak jawatan sebagai menteri besar Selangor kerana kontroversi PKNS. Namun, cadangan itu ditolak Anwar.

Kumpulan yang membuat cadangan ini berfikiran pendek dalam hal ini. Mereka masih berpendapat bahawa kerusi menteri besar ini hak milik mereka. Anwar tidak berpandangan sedemikian.

Sudahlah Azmin tidak terpilih menjadi exco, Anwar pasti sedar kebarangkalian Azmin menggantikan Khalid sebagai menteri besar juga sangat malap sekiranya beliau bersetuju dengan rancangan untuk memecat Khalid.

Siapa di dalam PKR yang boleh menggantikan Khalid, yang diterima rakyat, PAS, DAP dan istana? Hampir tiada.

Siapa di dalam PKR yang boleh menggantikan Azmin? Banyak.

Atas sebab itu, Anwar tentu terhidu tanpa Khalid, kerusi menteri besar mungkin beralih parti. Pelantikan menteri besar perlukan persetujuan tiga parti dan juga istana.

Jadi Azmin bakal dicabar siapa? Apakah beliau boleh terima kekalahan secara terbuka jika tewas di tangan pencabar? Apa kata Rafizi Ramli yang menjadi pencabarnya?

Apakah Anwar akan menghalang hasrat Azmin untuk menjadi presiden PKR dengan bertanding kerusi presiden PKR sambil mempertahankan maruah Wan Azizah dengan mengelakkannya daripada diserang dalam kempen yang dijangka sengit dan panas?

Apakah Azmin akan ambil keputusan, ‘Do or die’, dan teruskan niatnya untuk mereformasikan PKR dengan bertanding kerusi presiden PKR, meskipun melawan Anwar?

Atau semua akan berbesar hati untuk meletakkan parti dulu daripada kepentingan peribadi?

Apakah PKR boleh mengelak episod Zaid Ibrahim berulang? Sama-sama kita saksikan.

Antara harga barang naik dan ketidakyakinan rakyat terhadap Pakatan Rakyat untuk memerintah akan menjadi penentu di PRU14.
 
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.