KUCHING: Dua orang anggota Rela yang
ditugaskan menjaga kediaman Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan
Junaidi Tuanku Jaafar adalah antara tiga suspek yang ditahan hari ini
kerana cuba memecah masuk kediaman berkenaan di sini pada 24 Dis lepas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, DSP Amihizam Abd Shukor berkata kedua-duanya mempunyai rekod jenayah lampau.
"Suspek pertama yang berumur 34 tahun
dan mempunyai 12 rekod jenayah lampau ditangkap di Meludam (kira-kira
250 km dari Kuching), manakala seorang lagi yang berumur 30 tahun
mempunyai dua rekod jenayah.
"Suspek ketiga berumur 36 tahun dan mempunyai dua rekod jenayah," katanya kepada media.
Beliau berkata mereka akan dibawa ke mahkamah esok untuk mendapatkan perintah reman.
Wan Junaidi memuji tindakan pantas polis
membuat tangkapan dan berkata beliau akan mengemukakan cadangan kepada
kementeriannya untuk mengkaji semula kaedah pengambilan anggota Rela.
"Ini adalah untuk memastikan mereka yang
memohon keanggotaan itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan
benar-benar ikhlas untuk menjalankan tanggungjawab mereka secara
sukarela.
"Penapisan yang lebih ketat perlu dibuat untuk memastikan jangan pagar makan padi," katanya.
Mengakui agak kecewa dengan penglibatan
anggota Rela dalam kes itu, beliau bagaimanapun berkata organisasi Rela
secara keseluruhannya tidak boleh dipersalahkan dalam perkara itu.
"Saya tak boleh marahkan (keseluruhan)
satu organisasi oleh kerana konsep Rela adalah berbentuk kesukarelawan
dan melalui pengalaman ini mungkin kita perlu adakan modul yang
berlainan untuk pengambilan anggota Rela selepas ini," katanya. -
Bernama
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.